Sambungan dari minggu lepas
Begitu juga dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Uban adalah cahaya bagi seorang yang beriman, tidak beruban seseorang itu dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam melainkan bagi setiap helai uban itu satu kebajikan dan diangkat dengannya satu darjat.
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Hadits ini menerangkan bahawa uban itu adalah sebagai cahaya bagi orang yang beriman kerana ia boleh menghalang daripada perbuatan membangga diri dan kurang berhati-hati dan ia boleh mendorong kepada melakukan keta‘atan sehingga mendapat kebajikan dan ditempatkan pada darjat yang tinggi di syurga.
Selain itu, uban juga merupakan satu peringatan khususnya di usia tua dalam menambahkan dan meningkatkan kesedaran untuk lebih beramal dalam persediaan menghadapi ajal yang pasti tiba. Ini kerana uban itu juga adalah sebagai pemberi peringatan sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
(Dikatakan kepada mereka:) Bukankah Kami telah memanjangkan umur kamu untuk kamu berfikir bagi orang yang mahu berfikir pada hal kamu telah didatangi oleh pemberi peringatan? Maka rasailah (azab Kami), tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.
(Surah Fathir: 37)
Dalam ayat di atas uban disebut sebagai “sang pemberi peringatan” oleh sebahagian ahli tafsir seperti Ibnu ‘Abbas, ‘Ikrimah dan Qatadah Radhiallahu ‘anhum sebagaimana disebut dalam kitab tafsir Ibnu Katsir.
HUKUM MENCABUT UBAN
Hukum mencabut uban dari bahagian badan yang tidak dituntut untuk mencabutnya adalah makruh, sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Majmu‘. Tidaklah ada beza sama ada mencabut uban di janggut ataupun di rambut. Hukum makruh ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Syu‘aib Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya dan datuknya, dia berkata bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Janganlah kamu mencabut uban kerana ia adalah cahaya bagi orang Islam, tidak ada dari orang Islam itu yang beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam melainkan Allah menulis baginya dengan sehelai uban itu satu kebajikan dan mengangkatnya dengan sehelai uban itu satu darjat dan menggugurkan daripadanya dengan sehelai uban itu satu kesalahan.”
(Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)
HUKUM MEWARNA UBAN
Sunat mewarnai uban dengan inai yang berwarna kekuningan atau kemerahan sebagaimana yang telah disepakati oleh para ashab berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka.
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Sementara itu para fuqaha telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam. Pendapat yang shahih mengatakan bahawa hukum perbuatan tersebut adalah haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihad.
Dalil pengharaman mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya:
Pada hari penaklukan Makkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam.
(Hadits riwayat Muslim)
Sementara hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati. Mereka tidak dapat menikmati bau syurga.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam larangan mewarnai rambut dengan warna hitam itu melainkan bagi perempuan yang bersuami harus baginya mewarnai rambut yang beruban dengan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suami dengan izin suaminya menurut pendapat al-awjah sebagaimana disebutkan oleh Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullah dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj.
PEWARNA RAMBUT YANG DIJUAL DI PASARAN
Ada berbagai jenis perwarna rambut atau lebih dikenali dengan dye rambut dijual di pasaran. Namun perlu diambil perhatian mengenai dye rambut yang berjual di pasaran, bukan sahaja kesucian atau kehalalannya tetapi sifatnya yang meresap ke rambut dan bukannya melekat atau melapis rambut juga perlu diketahui supaya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan hadas besar.
Ini kerana dalam perkara mengangkat hadas besar seperti mandi junub ataupun mengangkat hadas kecil iaitu berwudhu, rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh.
Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidak sah mandi hadas dan wudhu berkenaan. Maka ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas itu tidak terangkat.
Sebab itulah bukan sahaja kesucian pewarna rambut malah sifatnya yang meresap juga perlu diambil perhatian demi memastikan ibadat yang kita lakukan tidak akan terjejas setelah menggunakan perwarna rambut tersebut. Demikianlah huraian mengenai hukum mencabut uban dan mewarnakannya. Janganlah malu dengan tumbuhnya uban kerana uban mempunyai kelebihan sebagaimana disebutkan sebelum ini.