Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mencari berkat masa dengan amal baik

    KITA sudah berada di tahun baru 2018 Masihi. Rasa begitu pantas masa berlalu, seolah-olah baru semalam menyaksikan percikan bunga api menyambut ketibaan tahun 2017 dan tiba-tiba kita sudah berada di tahun 2018.

    Inilah juga antara tanda-tanda akhir zaman seperti diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Baginda S.A.W bersabda: “Tidak berlaku hari kiamat sehingga masa menjadi cepat, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari pula dirasakan seperti sejam dan sejam pula dirasakan seperti kerdipan cahaya api.” (Riwayat Tirmizi)

    Ketika Baginda S.A.W melafazkan kata-kata mulia ini 1400 dahulu, sahabat ketika itu mungkin tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan Baginda S.A.W kerana pada masa dahulu ia tidak begitu memberi makna seperti mana yang kita fahami hari ini.

    Hari ini kita merasakan sendiri dan mengakui hakikat kita begitu miskin apabila bercakap mengenai masa. Setiap hari kita mendengar ungkapan atau mengungkapkan sendiri kata-kata, “saya tidak sempat”, “saya tidak ada masa” atau seumpamanya.

    Manusia semakin sibuk

    Manusia dahulu, kehidupan mereka diatur mengikut peredaran masa. Mereka bekerja apabila matahari mula terbit dan ketika matahari tenggelam mereka bersiap untuk tidur kerana suasana gelap menyebabkan mereka tidak boleh melihat apa-apa, begitulah seterusnya.

    Kehidupan mereka berasaskan kepada masa tabii yang ditentukan melalui peredaran matahari serta terikat dengan persekitaran dan cukup harmoni dengan alam. Inilah yang disebutkan dalam Firman Allah S.W.T: “Kami jadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian.; dan kami jadikan siang masa untuk membina kehidupan.” (Surah an-Naba’, ayat 10-11)

    Apabila berlaku revolusi industri dan terciptanya jana kuasa elektrik serta lampu, manusia tidak lagi terikat dengan perubahan masa yang diatur melalui peredaran matahari kerana manusia boleh bekerja hatta pada malam hari.

    Manusia menjadi semakin sibuk, matahari naik atau tenggelam tidak memberi apa-apa makna lagi kepada kehidupan. Kita menjadi semakin terpisah dengan peredaran matahari, masa bolehlah dikatakan ‘masa mekanikal atau industri’, bukan lagi masa semula jadi mengikut fitrah tabii.

    Hari ini, masa berubah menjadi masa siber apabila manusia semakin sibuk sepanjang masa, ada restoran, kedai runcit, klinik, siaran televisyen yang beroperasi 24 jam. Siang dan malam seolah sudah tiada beza lagi.

    Tetapkan masa, jadualkan diri dengan amalan tertentu akan menambah keberkatan masa.

    Cabaran teknologi

    Bahkan hari ini kesibukan kita semakin menjadi-jadi. Masa berlalu sepantas kilat, selaju kelajuan internet atau lebih laju lagi. Semuanya menjadi semakin pantas dan laju.

    Anak tidak lagi tidur pada waktu yang sepatutnya, hingga dipaksa tidur kerana sibuk dengan gajet permainan elektronik.

    Ibu bapa pula sibuk dengan telefon pintar masing-masing. Masa siber 24/7 membuatkan kita sibuk sehingga tiada masa untuk satu sama lain.

    Kita berkejar ke sana ke mari, sudah hilang nilai dan hakikat masa yang sebenarnya.

    Hakikatnya, masa yang kita miliki amat berharga sekali. Nilaian masa bukan sekadar emas, tetapi masa itu nyawa, sebahagian daripada diri kita. Setiap kali menghembuskan nafas, maka sebahagian daripada umur telah berlalu dan semakin pendek usia kita, semakin dekat dengan kubur.

    Ibarat jam gelas yang diisi pasir, begitulah usia kita sekarang. Butir-butir pasir itu ibarat usia yang sedang berlalu dan setiap saat kita menghampiri kematian, sehingga butir pasir semuanya jatuh ke bahagian bawah gelas masa.

    Jangan sia-siakan masa

    Imam Hassan al-Basri berpesan: “Sesungguhnya kamu adalah himpunan hari-hari, apabila berlalunya hari, maka berlalulah sebahagian darimu.”

    Namun manusia sering leka dan lalai dengan membuang masa seperti mana sabda Baginda S.A.W: “Dua nikmat yang ramai manusia sering sia-siakan iaitu kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari)

    Sekiranya kita menghargai masa, sudah pasti kita akan menjadi orang yang tidak mensia-siakan waktu dan mengisinya dengan perkara bermanfaat yang memberi keuntungan untuk kehidupan dunia serta akhirat.

    Kita sering menyalahkan masa, tidak cukup masa sedangkan jika diatur dan disusun mengikut keutamaannya, nescaya masa akan memberi barakah kepada hidup kita. Apabila kita tidak menjaga, suka membuang masa, maka hilangkah berkatnya.

    Atur ikut keutamaan

    Malangnya, kita menyalahkan masa walhal kesalahan itu dalam diri sendiri. Imam Shafie mengungkapkan, “Tidaklah masa itu bersalah, tetapi kita yang bersalah bukan yang lain.”

    Ahli falsafah Stoic pada kurun ke-3 Masihi bernama Seneca pernah berkata, masalahnya bukan kerana kita diberi masa yang pendek, tetapi kita banyak membuang masa. Hidup ini cukup panjang untuk kita mencapai kejayaan jika setiap saat digunakan sepenuhnya.”

    Justeru, untuk mendapatkan manfaat masa sepenuhnya, Imam al-Ghazali menyarankan masa itu perlu diatur, disusun dan dijadualkan, bukan membiarkannya berlalu begitu sahaja. Tetapkan masa, jadualkan diri dengan amalan tertentu akan menambah barakah masa.

    Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah S.A.W bersabda: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara. Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang matimu.” (Riwayat al-Hakim). – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda