ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
PENULIS kegemaran ramai Molly Harper kini kembali dengan siri terbaru novel romantik kontemporari di dalam novel Sweet Tea and Sympathy. Novel ini mengisahkan tentang seorang perancang pesta di sebuah bandar raya besar yang menemukan cinta sejatinya di sebuah pekan kecil, Georgia.
Terletak di tepi tasik Sackett, Georgia, adalah rumah pengebumian dan kedai pancing milik keluarga McCready. Kedua-dua adik-beradik McCready telah menjalankan dua perniagaan berasingan di sebuah bangunan yang sama pada tahun 1928, dan kini ia telah menjadi hal terbesar keluarga itu. Di pekan kecil ini, hal keluarga adalah hal orang ramai.
Margot Cary telah banyak menghabiskan masanya di tempat yang sangat berbeza dengan pekan kecil itu. Sebagai seorang perancang pesta elit, Margot banyak bergaul dengan golongan atasan di Chicago, dan sangat terkenal di dalam bidang yang diceburinya itu. Kebolehannya dipandang tinggi sehinggalah terjadi sesuatu yang sangat buruk pada salah satu pesta yang dirancangnya.
Margot sangat memerlukan permulaan baru bagi membersihkan reputasinya kembali dan kebetulan juga keluarga McCready juga memerlukan khidmat perancang pesta.

Sesampai saja Margot ke pekan kecil itu, dia menyedari bahawa tiada rahsia yang boleh disimpan daripada penduduk setempat. Mereka bukan sahaja mengetahui nama semua penduduk di sana, bahkan juga termasuk makanan yang dimakan dan pakaian yang dipakai seharian.
Walau bagaimanapun Margot terpaksa mengakui bahawa terdapat sesuatu yang lebih baik yang ada di Sackett berbanding di Chicago. Ini juga termasuklah prospek teman hidupnya, pengetua di sebuah sekolah rendah di sana, Kyle Archer, yang menawarkan dirinya untuk menunjukkan selok-belok di sana.
Perhubungan mereka semakin mesra, namun bukan semua berasa gembira melihat orang luar cuba untuk menarik perhatian jejaka kegilaan ramai di pekan tersebut.