ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
DALAM novel debutnya yang penuh lucu dan menyentuh perasaan, The Shortest Way Home, penulis Miriam Parker membawa pembaca mengikuti pengembaraan seorang wanita dari Iowa ke kota New York dan seterusnya California, untuk memahami erti menjadi diri sendiri yang sebenarnya.
Setelah bertahun-tahun lamanya dia mengimpikan dan berusaha untuk mendapatkan kehidupan yang stabil yang tidak pernah dimilikinya semenjak kecil, Hannah akhirnya semakin hampir kepada cita-citanya itu.
Memiliki pekerjaan yang bergaji besar, sebuah apartmen di Manhattan dan seorang teman lelaki yang ingin melamarnya, apa yang harus dilakukannya kini adalah untuk meluangkan minggu-minggu terakhir pengajian pasca siswazahnya dan masa depan yang dirancangnya selama ini akan menjadi kenyataan.
Akan tetapi apabila mereka mengadakan percutian di Sonoma, Hannah secara spontan telah ditawarkan pekerjaan dalam bahagian pemasaran di kilang pemprosesan wain, yang mempunyai masalah kewangan dan pertama mereka kunjungi.
Hannah tidak menolak tawaran tersebut, rancangan yang mereka atur dengan teliti sekian lama hancur luluh dan Hannah telah membuat keputusan yang terburu-buru dan tidak dapat dijangkakan. Hannah telah menolak tawaran pekerjaan di New York dan bercadang untuk menetap di California.
Selalunya apabila kita meninggalkan pekerjaan dan kehidupan yang kita idamkan, ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Namun bagi Hannah, ia adalah sebuah pengalaman yang membuka mata dan dia sedar bahawa mungkin selama ini, ketika dia sibuk mengejar cita-citanya, dia tidak pernah mengambil berat akan dirinya sendiri.
Kehidupan baharu di kotej dengan pemandangan yang indah dan dikelilingi ladang anggur itu seperti sebuah mimpi yang menjadi realiti bagi Hannah. Menemui rakan-rakan baharu yang mempunyai kisah hidup dan harapan yang tidak pernah ditemuinya. Dan William, anak lelaki pemilik kilang yang kacak dan bercita-cita untuk menjadi pengarah filem telah memikat hati Hannah dan membuatkannya lupa kehidupan bandar yang ditinggalkannya.
Misi untuk menyelamatkan kilang tersebut telah berubah menjadi misi untuk Hannah menyelamatkan dirinya daripada cita-citanya yang selama ini difikirkannya sesuatu yang benar-benar dimahukannya.
Gadis muda yang tidak sabar-sabar untuk meninggalkan Iowa dan meninggalkan kisah silamnya untuk kehidupan yang glamor kini mendapat peluang untuk menerima siapakah dirinya yang sebenar.