Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) kelmarin telah mengadakan Pembarigaan Program-program Pusat STEP 2025 di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.
Dalam program berkenaan, 50 orang pemimpin sekolah serta wakil dari sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dari Kluster 1 di bawah Kementerian Pendidikan telah menghadiri sesi pembarigaan tersebut.
Pegawai Pelajaran Kanan dari Pusat STEP, Awang Misli bin Moksin, menjelaskan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) adalah sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sesi diteruskan dengan perkongsian mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat STEP, termasuk program STEAM dan Inisiatif Hijau, serta hubung kaitnya dengan program-program yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Di acara tersebut diselajurkan dengan pengumuman dan penyampaian sijil kepada para penerima STEAM Active School 2024.
Pengiktirafan ini diberikan kepada sekolah-sekolah yang giat dan aktif menyertai program-program anjuran Pusat STEP pada tahun 2023 dan 2024.
Penerima STEAM Active School 2024 bagi Kluster 1 dalam Kategori Sekolah Rendah ialah Sekolah Rendah Amo, manakala bagi Kategori Sekolah Menengah dan Pusat Tingkatan Enam ialah Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Pemimpin sekolah semasa sesi berkenaan turut diberikan peluang untuk bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP.
Perbincangan itu bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kandungan dan kepentingan program-program STEAM serta inisiatif hijau yang telah dibarigakan dan melalui sesi ini, ia diharapkan pemimpin sekolah dapat memahami dengan lebih jelas tahap pelaksanaan program STEAM dan inisiatif hijau di sekolah masing-masing.
Pembarigaan Program-program Pusat STEP 2025 itu antara lain bertujuan untuk membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Pusat STEP dan para pemimpin sekolah.
Inisiatif itu juga dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan dan menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam perkhidmatan serta program-program yang disediakan Pusat STEP, bagi memastikan pelaksanaannya di peringkat sekolah berjalan dengan mantap dan berkesan dalam jangka masa panjang.
Sesi itu turut disampaikan kepada pemimpin-pemimpin sekolah serta wakil dari semua kluster di bawah Kementerian Pendidikan dan akan dilaksanakan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.