TUTONG, 16 April – Dalam usaha untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini, Jabatan Penerangan di Jabatan Perdana Menteri semalam telah meneruskan lagi Program Sua Muka di Kediaman Pemangku Ketua Kampung Rambai, Awang Muhd Murat bin Haji Muhd Jamin berserta Penghulu Mukim Rambai, Awang Khairul Nurul Arsyad bin Haji Abdul Malek dan ahli majlis perundingan kampung (MPK) berkenaan.
Rombongan pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad itu telah dialu-alukan oleh Awang Muhd Murat.
Menurut kenyataan Jabatan Penerbangan, program berkenaan merupakan salah satu aktiviti berterusan jabatan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong dan Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.
Ia merupakan satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat.
Program itu merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

Ia juga untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan, memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara.
Melalui program berkenaan, pihak jabatan memberigakan tatacara penggunaan bendera, kain rentang dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.
Manakala itu, antara yang dikongsikan pihak MPK dan penduduk kampung adalah berkenaan prasarana, kebersihan dan kesejahteraan kampung.
Dalam membantu penduduk kampung untuk mengetahui, memahami dan menghayati maklumat-maklumat penting lebih terperinci seperti Wawasan Brunei 2035, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, keusahawanan dan sebagainya, Program Masyarakat Bermaklumat juga dikongsikan kepada ahli MPK.
Program itu adalah landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan, bukan sahaja melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan malah juga melalui lawatan-lawatan mengikut kesesuaian.