Monday, July 21, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menderma darah: Badan sihat, pahala dapat

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    MANUSIA sangat memerlukan bantuan dan pertolongan apabila ditimpa kesusahan. Bantuan dan pertolongan yang diperlukan manusia itu ada berbagai bentuk. Ia tidak hanya setakat dalam bentuk material seperti wang ringgit, harta benda dan sebagainya, bahkan ia merangkumi perkara-perkara yang bukan berunsurkan material seperti sumbangan tenaga, buah fikiran dan sebagainya.

    Manusia yang mengalami masalah kesihatan seperti kurang darah merah umpamanya, perlu kepada bantuan pemindahan darah daripada orang lain. Memberi bantuan atau derma dalam bentuk pemindahan darah sudah menjadi perkara biasa yang berlaku dalam dunia perubatan hari ini.

    Seruan untuk menderma darah sering disuarakan oleh pihak yang berkenaan untuk memastikan bekalan darah sentiasa ada dan mudah diperolehi bagi membantu orang-orang yang memerlukannya.

    Oleh yang demikian, perlu dijelaskan apakah hukum pendermaan darah dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.

    1. Hukum menderma darah

    Menderma darah merupakan suatu amalan yang mulia atas dasar tolong-menolong. Malahan perkara ini, secara umum bersesuaian dengan suruhan Allah Ta‘ala untuk berbuat kebajikan kepada sesama Islam sebagaimana firmanNya yang tafsirnya, “Dan hendaklah bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Ma’idah: 2)

    Di samping itu mengeluarkan darah dari tubuh badan itu hampir mempunyai persamaan dengan perbuatan berbekam. Telah sabit dalam hadis sahih daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berbekam lalu Baginda memberi upah kepada orang yang membekam Baginda. Sekiranya berbekam itu adalah haram, nescaya Baginda tidak memberi upah kepada tukang bekam tadi.

    Oleh yang demikian, adalah harus bagi orang Islam mendermakan darahnya dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa atau menjadikannya ubat kepada orang yang benar-benar memerlukannya; sama ada kepada orang Islam dan yang bukan Islam yang tiada bermusuhan dengan orang-orang Islam. Dengan syarat menderma darah itu:

    1. Tidak melemahkan atau membawa mudarat ke atas kesihatan orang yang menderma dan orang yang menerima darah.

    2. Tidak ada ubat lain melainkan darah itu.

    Sebahagian ulama menyandarkan hukum harus menderma darah itu kepada keumuman ayat Al-Quran yang berkaitan dengan keperluan (darurat). Ini sepertimana juga keharusan berubat dengan benda-benda yang haram yang akan diterangkan kemudian.

    2. Orang Islam menerima darah orang bukan Islam

    Menerima darah sebagai ubat dari orang lain kerana hajat untuk menyelamatkan nyawa atau menyembuhkan penyakit hukumnya adalah harus, sekalipun darah dari orang bukan Islam, apabila tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

    Sebab atau alasan mengapa menerima darah dihukumkan harus, walaupun dari orang yang bukan beragama Islam, adalah atas asas darurat dan berhajat kepadanya. Tambahan lagi jika diperhatikan bahawa darah manusia itu mempunyai berbagai-bagai jenis dan memerlukan kesesuaian pada tubuh badan individu yang menerimanya supaya tidak mendatangkan mudarat. Selain daripada itu, perkara ini adalah kerana mengikut nasihat atau rekomendasi daripada doktor atau pakar perubatan mengenainya.

    Walau bagaimanapun, terdapat pendapat yang mengatakan bahawa adalah disukai jika darah orang Islam digunakan kepada orang Islam dan lebih disukai bagi orang Islam menerima darah daripada orang Islam sendiri. Oleh itu, maka sayugia orang Islam menderma darah supaya bekalan darah untuk orang Islam itu sendiri sentiasa ada untuk mereka yang memerlukannya.

    3. Hukum berubat melalui pemindahan darah

    Darah dikategorikan sebagai najis dan hukum berubat dengan benda najis pada asalnya adalah haram. Sungguhpun demikian, sebahagian ulama Syafi‘iyyah mengharuskan berubat dengan benda haram atau najis dengan syarat tidak didapati ubat yang lain daripadanya dan tidak berlebihan berubat dengannya daripada kadar darurat (yang diperlukan).

    Antara ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan keharusan berubat dengan benda-benda yang haram atau najis disebabkan darurat itu ialah firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.” (Surah Al-An‘am: 119)

    Ayat Al-Quran di atas menerangkan mengenai keringanan atau rukhsah menggunakan benda-benda yang diharamkan serta tidak berdosa jika berada dalam keadaan darurat, seperti untuk menyelamatkan nyawa ataupun mengubati kesakitan melalui pemindahan darah dari orang lain, ketika mana tidak ada ubat selainnya.

    Dari ayat di atas dan ayat-ayat yang seumpamanya, para ulama fiqh menetapkan kaedah fiqh yang menyebut, “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

    Walau bagaimanapun, penggunaan najis sebagai ubat itu masih juga terikat dengan syarat, iaitu tidak melampaui batas, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan ke atas kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih dengan (menyebut nama) yang lain daripada (nama) Allah. Tetapi sesiapa yang terpaksa (memakannya) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Al-Baqarah: 173)

    Imam an-Nawawi Rahimahullah juga berpendapat bahawa harus berubat dengan najis selain arak. Ini berdasarkan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah SAW, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada RasulullahSAW.

    Baginda bersabda kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.”

    Mereka menjawab: “Baiklah.” Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah SAW itu dan merampas unta-untanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Dalam hadis di atas menunjukkan keharusan berubat dengan air kencing unta, yang merupakan benda yang dihukumkan sebagai najis, kerana hajat atau keperluan.

    Ganjaran dan faedah menderma darah

    Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa hukum menderma darah itu adalah harus.

    Bahkan menderma darah merupakan salah satu perbuatan yang berkebajikan dan sangat bermanfaat kerana terselindung di sebaliknya konsep tolong-menolong sesama saudara Islam.

    Menderma darah juga suatu amalan yang mulia kerana seseorang yang menderma darah itu tidak mengharapkan sebarang balasan, khususnya daripada segi kewangan ataupun material. Sekalipun hanya sebagai derma ataupun sumbangan sahaja, namun janganlah ia dipandang sebagai sesuatu yang sama sekali tiada mendatangkan keuntungan.

    Seseorang yang menderma darah pasti akan menikmati kepuasan hati kerana telah menyelamatkan nyawa lain dengan darah yang telah didermakannya. Perlu juga diketahui bahawa setiap satu pendermaan keseluruhan darah (whole blood) boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa.

    Selain itu, penderma darah akan mendapat manfaat kesihatan sebagaimana yang telah disahkan oleh pakar perubatan, antaranya seperti berikut:

    1) Menawarkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur.

    2) Memberikan maklumat mengenai pendidikan kesihatan dan menggalakkan seseorang untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat.

    3) Hasil daripada proses menderma darah dapat membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baharu dan seterusnya menyegarkan kembali sistem tubuh. Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan, yang mana akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah yang baharu bagi menggantikan darah yang telah hilang.

    4) Menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi yang berlebihan dalam tubuh, terutama dalam kalangan mereka yang mudah mengalami keadaan ini.

    5) Kajian mendapati menderma darah dapat mengurangkan zat besi yang berlebihan dalam tubuh, seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga. Ini adalah benar pada golongan lelaki yang tidak merokok dengan kerap atau berulang-kali menderma darah.

    Di samping manfaat dari segi kesihatan bagi penderma darah, mari kita perhatikan ganjaran dan balasan duniawi dan ukhrawi yang lain yang bakal diraih daripada perbuatan menderma darah berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

    Dalil mengenai ganjaran atau balasan daripada menderma darah ini diambil secara umum daripada sabda Rasulullah SAW yang dikhabarkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:

    “Seorang muslim itu adalah saudara seorang muslim yang lain. Dia tidak boleh berbuat aniaya dan menyakiti saudaranya tersebut. Barangsiapa yang menanggung (menolong) hajat saudaranya, maka Allah pun akan menanggung (menolong) hajatnya. Barangsiapa yang melepaskan salah satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahannya di antara kesusahan-kesusahan hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutupi (aib) seorang muslim, maka pada hari Kiamat kelak Allah akan menutupi (aib) nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Menderma darah kepada orang Islam termasuk dalam maksud melepaskan kesusahan orang Islam yang berhajat kepada penambahan darah. Oleh itu orang yang menderma darah itu mendapat jaminan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan berbagai jaminan, antaranya seperti yang disebutkan dalam hadis di atas, ditunaikan hajatnya, dilegakan kesedihannya, ditutup keaiban, kelemahan dan kecacatannya sama ada semasa di dunia atau di akhirat kelak.

    Sebagai kesimpulan, hukum menderma dan menerima darah itu adalah harus selama mana tidak mendatangkan mudarat kepada kedua-dua pihak, sama ada yang menderma atau yang menerima, dengan mengambil kira nasihat daripada pakar perubatan bahawa hanya dengan pemindahan darah sahajalah jalan atau cara untuk menyembuhkan atau menyelamatkan nyawa pesakit.

    Ganjaran dan balasan yang dijanjikan di dunia dan di akhirat, seperti yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, sewajarnya membuka hati mana-mana individu agar giat menyumbang atau menderma darah bagi kepentingan individu yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda