Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Green Brunei
Usaha terus dilaksanakan bagi memberikan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan sekeliling dan memelihara keindahan persekitaran di mana kita termasuk golongan belia, boleh sama-sama memainkan peranan ke arah mencapai hasrat itu.
Ke arah menyebarkan mesej untuk memelihara kebersihan kawasan sekeliling dan bagi mengurangkan penggunaan botol plastik khususnya di kawasan Bandar Seri Begawan, Green Brunei buat kali kedua mengadakan Kempen Bandarku Bersih dan Kempen Bandarku Bebas Botol Plastik, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, sewaktu acara kemuncak sambutan pada 23 Februari lalu.
Kempen Bandarku Bersih merupakan kempen kebersihan yang melibatkan para sukarelawan dan ahli jawatan kuasa bagi mendukung usaha Jabatan Bandaran untuk membersihkan kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan sekitarnya sewaktu acara dijalankan.
Ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan di samping menggalakkan penglibatan orang ramai dalam sama-sama berganding bahu untuk mengekalkan kebersihan dan kehijauan Bandar Seri Begawan.
Sementara itu, Kempen Bandarku Bebas Botol Plastik ialah kempen yang menggalakkan orang ramai untuk membawa botol guna semula mereka dan mengisi semula air di mana-mana 10 buah dispenser air di lima buah stesen dispenser air yang disediakan di tempat-tempat yang tertentu di sepanjang jalan perbarisan menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien iaitu di Jalan McArthur, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dan Jalan Pretty.



Ia bertujuan untuk mengurangkan penggunaan botol plastik sepanjang acara sambutan diadakan dan juga sebagai satu inisiatif Bandarku Bebas Botol Plastik iaitu selaras dengan Inisiatif Bebas Botol Plastik pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, yang diperkenalkan pada Jun 2018 dan Protokol Hijau yang dilancarkan oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam pada Januari 2021.
Semasa kempen itu diadakan, antara hasil dapatan yang diperoleh pada kali ini ialah lebih daripada 250 liter air telah diminum oleh orang ramai melalui 10 buah dispenser air yang disediakan di lima buah stesen dispenser air, lebih dari 120 botol guna semula telah dicatat mengisi air dari dispenser yang disediakan, lebih daripada 1,400 gelas telah dicatat mengisi air dari dispenser yang disediakan, sebanyak 253 botol plastik dan enam beg sampah yang bersaiz 240 liter telah dikumpulkan di mana ia tidak termasuk sampah yang dikumpul oleh Jabatan Bandaran serta kempen itu telah menyaksikan penglibatan seramai 59 orang sukarelawan dan ahli jawatankuasa dalam kedua-dua kempen berkenaan.
Bagi memastikan bahawa prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Kementerian Kesihatan terus dipatuhi, Green Brunei juga telah mengambil langkah-langkah yang tertentu sewaktu kempen dijalankan seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter semasa berbaris di kem dispenser air.
Kempen itu merupakan inisiatif Green Brunei di mana rakan pengendali acara bagi inisiatif berkenaan ialah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan inisiatif turut disokong oleh Urus Setia Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, Tahun 2021, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); JASTRe, Kementerian Pembangunan; Bahagian Khidmat Bantu, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Urus Setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Kempen itu mendapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai yang tampil untuk menjayakan serta menyokong usaha berkebajikan berkenaan. Pihak penganjur kempen turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada sukarelawan-sukarelawan dan ahli Jawatankuasa Green Brunei serta mahasiswa dan mahasiswi UBD yang sedang menjalani Discovery Year Community Outreach Programme (COP) mereka di Green Brunei atas usaha mereka untuk menjayakan kempen berkenaan.