Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mendukung potensi belia tempatan

    Oleh Haniq Raffael

     

    SETIAP negara mempunyai hasrat dan keinginan untuk memiliki rakyat dan penduduk yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, keamanan, kekayaan dan pembangunan negara, tidak terkecuali juga negara kita Brunei Darussalam. Dalam hasrat membangun umat, bangsa dan negara, kita bukan hanya bergantung kepada kemantapan ekonomi semata-mata bahkan juga kepada sumber tenaga manusia yang antaranya adalah golongan belia memandangkan belia adalah aset negara yang amat berharga dan juga tonggak serta kekuatan masa depan bagi sesebuah negara.

    Tanggal 1 Ogos merupakan Hari Belia Kebangsaan kali ke-13 yang disambut setiap tahun di mana berlangsungnya perhimpunan belia dari seluruh negara dalam skala besar dari pelbagai peringkat persatuan belia dan sukan, pertubuhan beruniform, badan-badan sukarela dan institusi pengajian tinggi. Ia juga merupakan sebagai platform kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia.

    Pengisytiharan 1 Ogos sebagai Hari Belia Kebangsaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kepada pergerakan belia di negara ini yang merupakan aset penting bagi pembangunan sesebuah negara.

    ‘Belia Pemacu Brunei Maju’

    Slogan ini merupakan tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini selaras dengan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan secara berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana, infrastruktur dan bantuan fizikal dan fiskal kepada golongan belia di negara ini sebagai generasi penerus pembangunan negara yang memainkan peranan besar kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Jatuh dan bangunnya sebuah negara pada masa depan amat bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh belia yang merupakan tonggak kekuatan negara. Mereka perlu diasuh, dilengkapkan dengan ilmu dan memiliki kemahiran hidup, kepimpinan, agama, kerohanian dan perlu mempunyai minda serta fizikal yang sihat, bersedia untuk berdaya saing dan mempunyai sikap yang positif serta berdikari pada menghadapi sebarang cabaran.

    Apa pun usaha yang dijalankan oleh belia kita baik sebagai juruhias pengantin lelaki tetap ianya satu usaha yang membanggakan.
    Berusaha secara kecil-kecilan juga tetap satu usaha yang terpuji dalam menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan agar belia sentiasa melibatkan diri dalam peniagaan.

    Belia merupakan mekanisme penting di dalam memacu, membentuk dan menentukan hala tuju kemajuan sesebuah negara. Belia yang berkualiti dengan ilmu, kemahiran dan berakhlak mulia akan mampu menjadi sumber tenaga manusia yang diharap oleh negara dan mempunyai ciri-ciri generasi berwawasan yang mampu bersama dalam menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara.

    Penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan perlu terus digalakkan melalui latihan-latihan atau pendidikan, sama ada yang bersifat formal ataupun tidak, yang telah pihak kerajaan sediakan seperti dalam bidang keusahawanan dan pelbagai program-program lain yang mana sekali gus mampu untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia.

    Pihak kerajaan melalui pelbagai agensi menggembleng tenaga dalam penyediaan program-program ke arah membangunkan para belia di negara ini termasuklah dalam memperkasa bidang keusahawanan dalam kalangan belia. Contohnya Darussalam Enterprise (DARe) yang merupakan sebuah badan berkanun bagi mengasuh dan memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan sejak mula diwujudkan sehinggalah berkembang maju melalui program Startup Bootcamp yang mana merupakan program latihan serta bimbingan dalam pelbagai aspek termasuk penciptaan dan pelaksanaan idea, kemajuan produk, penyediaan pelan perniagaan, pengenalan perniagaan, termasuklah cara-cara mendapatkan pembiayaan dan teknik pemasaran serta penjualan produk.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan memberikan bantuan prasarana dan kemudahan sebagai lokasi pelaksanaan program-program yang dirancang oleh persatuan-persatuan belia di Brunei Darussalam di samping memberikan bantuan khidmat nasihat kepada persatuan dan pemimpin belia yang ingin melaksana program atau projek belia juga disediakan oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan termasuk kepada kumpulan belia yang bergerak secara individu.

    Ke arah memperkasa pergerakan belia di negara ini, satu program dibentuk khusus untuk penyertaan ahli-ahli persatuan belia iaitu Program Kepimpinan Persatuan Belia di Outward Bound diadakan sebanyak tiga kali setahun (bulan Mac, September dan Disember). Program ini adalah untuk meningkatkan jati diri dan kemahiran kepimpinan ahli-ahli persatuan dalam mengurus dan mentadbir persatuan masing-masing.

    Awang Aizat bersama kumpulan Isaac Spade antara belia tempatan yang berjaya menjalankan usaha niaganya.

    Selaras dengan Dasar Belia Negara, Pusat Pembangunan Belia memberikan peluang dan latihan kepada belia-belia yang tidak dapat meneruskan pendidikan formal dan tidak mempunyai pekerjaan untuk melahirkan belia berkemahiran, berdisiplin dan mampu berdikari sendiri melalui Program Latihan Kemahiran, Program Pembangunan Diri dan Program Penempatan Kerja Pendidikan & Perkembangan Diri melalui Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), pekerjaan dan latihan belia melalui Pusat Pembangunan Belia dan Gerai Ramadan Belia di samping memperkasa kepimpinan belia melalui Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA), Kursus Jati Diri Belia, Program Cabaran Belia dan sebagainya.

    Para belia juga didedahkan dengan program sukarelawan yang mencakupi sembilan kluster iaitu kemanusiaan dan kemasyarakatan, alam sekitar, pendidikan, keagamaan, keusahawanan, kebeliaan, kesukanan, kesihatan dan kesenian dan kebudayaan. Tidak kurang pentingnya program-program di arena antarabangsa seperti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSYEAP), Program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Brunei (SBYLEP), Program pertukaran Belia (Korea, Malaysia, China dan India, JENESYS dan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara.

    Merealisasikan hasrat negara

    Sesuai dengan matlamat Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2018 iaitu untuk mengiktiraf belia dan pergerakan belia di negara ini maka adalah diharapkan dengan pelaksanaan Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-13 ini akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan golongan belia di dalam aktiviti-aktiviti kebeliaan khususnya dan terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan negara amnya termasuk dalam kerja sukarelawan.

    Ke arah itu, para belia juga sama-sama berperanan merealisasikan hasrat negara, hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mempertahankan sistem berpemerintahan beraja, mendukung Melayu Islam Beraja dan menyahut Wawasan Negara 2035, merealisasikan negara zikir, menghargai pengorbanan para pemimpin negara baik yang dahulu dan sekarang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda