ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
PENCIPTA siri drama Fargo, Noah Hawley kembali lagi membawakan sebuah siri drama terbaru iaitu Legion yang merupakan karya adaptasi daripada salah satu siri komik popular Marvel.
Sebagaimana di dalam Fargo garapan Hawley sebelum ini, beliau turut menggabungkan elemen saspen yang menguji tahap psikologi dan emosi para penonton
Pada dasarnya, siri drama Legion ini lebih cuba untuk membawa penonton bersama-sama untuk menyelami kisah kehidupan David Heller lakonan Dan Stevens, seorang lelaki yang telah bergelut dengan masalah mental yang seringkali membelenggu kehidupannya.
Sebelum ini Haller sering membayangkan bahawa beliau memiliki satu kuasa hebat sehingga akhirnya beliau telah didiagnosis menghidap penyakit skizofrenia paranoid.
Namun, hakikat sebenarnya beliau memang memiliki satu kuasa ghaib iaitu barang yang berada berdekatan dengan sekelilingnya akan terbang tatkala emosinya terganggu.
Lakonan yang ditonjolkan oleh Dan Steven dalam siri drama ini juga jelas terbukti sangat baik apabila beliau berjaya membawakan peranan seorang lelaki yang kelihatan seolah-olah berada di dalam dunia khayalan, dibelenggu oleh emosi dan seringkali dituduh gila oleh masyarakat disekelilingnya.
Di samping itu, siri drama ini juga turut dibintangi oleh Rachel Keller, Jean Smart, Katie Aselton, Jeremie Harris, Amber Midthunder, Bill Irwin, Aubrey Plaza dan Jemaine Clement.
Malah, Stan Lee yang merupakan bekas presiden dan pengerusi syarikat Marvel Comics juga turut melibatkan diri dalam kerja di sebalik tabir pembiknan siri drama Legion ini.
Justeru, apakah nasib yang bakal menimpa David Heller adakah dia berjaya membuktikan kebenaran sekaligus menepis segala tuduhan negatif yang ditujukan kepada beliau.
Bagi mengetahui kesudahan kisah dalam siri drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Legion sehingga ke penghujungnya.