Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah tokoh pemimpin yang adil, sesuai untuk diteladani oleh mereka yang bergelar seorang pemimpin atau ketua yang menjadikan hari akhirat sebagai matlamat utama mereka.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa kekasihNya, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah contoh ikutan yang baik bagi manusia yang menginginkan keredhaanNya dan kejayaan Hari Akhirat sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:
“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)
Tauladan dan contoh baik yang dapat diambil daripada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu amatlah menyeluruh.
Antaranya pada kekuatan aqidah dan pendirian Baginda, pada perkara-perkara ibadat Baginda, pada kezuhudan, kerendahan diri dan tawadhu‘ Baginda, pada kekuatan dan keberanian Baginda dan tidak kurang juga pada urusan mentadbir dan memimpin hal ehwal umat Islam di zaman Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam urus tadbir Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, bukan kebijaksanaan demi kemajuan sahaja yang diaplikasikan, bahkan keadilan demi kesejahteraan umat sejagat amatlah diutamakan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kerana itu, dalam hadits-hadits Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak menyebutkan mengenai pemimpin yang adil serta ganjaran bagi mereka ini.
Pemimpin yang adil dan ganjaran bagi mereka
Di dalam Kamus Dewan, ‘pemimpin’ bermaksud orang yang memimpin. Maksud ini merangkumi keseluruhan orang-orang yang memimpin sesebuah institusi seperti pemimpin sebuah negara atau pemimpin sebuah kementerian atau pemimpin sebuah jabatan atau pemimpin sebuah agensi atau pemimpin satu kumpulan ataupun pemimpin sebuah keluarga.
Kesemua jenis pemimpin ini mempunyai tanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan orang-orang yang berada di bawah pimpinan mereka. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Setiap orang adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.
“Seorang lelaki adalah pemimpin atas ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang perempuan adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan juga anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.
“Seorang hamba adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya dan bertanggungjawab terhadap harta tuannya. Ingatlah, maka sekalian kamu adalah pemimpin dan akan ditanya perihal yang kamu pimpin.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adil pula adalah sebagaimana yang disebutkan dalam Kamus Dewan bermaksud: (i) Menyebelahi pihak yang benar (berkenaan sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dan sebagainya); (ii) Meletakkan sesuatu pada tempatnya (berkenaan sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dan sebagainya); (iii) Menepati hak seseorang atau sesuatu; atau (iv) Tidak menyebelahi mana-mana pihak (berkenaan layanan terhadap seseorang dan sebagainya), tidak berat sebelah.
Manakala di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, disebutkan bahawa adil membawa maksud salah satu daripada tiga perkara berikut: (i) Orang yang bersifat adil iaitu seseorang yang menjauhi dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil dan menjauhi perkara-perkara keji dalam segala tindakan; (ii) Sama rata atau tidak berat sebelah di antara manusia.
Adil dalam makna ini mempunyai banyak contoh dalam kehidupan, antaranya: (a) Seorang pemimpin orang-orang Islam berlaku adil di kalangan orang-orang yang dipimpin atau qadhi berlaku adil dalam menyelesaikan perbalahan; (b) Suami berlaku adil di kalangan isteri-isterinya dalam perkara nafkah atau tempat tinggal; atau (c) Ibu bapa berlaku adil di kalangan anak-anak mereka dalam pemberian; atau (iii) Meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Abu Bakr bin al-‘Arabi Rahimahullah berkata: (i) Adil seorang hamba terhadap Allah adalah dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya; (ii) Adil seorang hamba terhadap dirinya adalah dengan memperbanyak melakukan ketaatan atau perkara-perkara kebaikan dan memelihara diri dari perkara-perkara syubhat dan hawa nafsu; dan (iii) Adil seorang hamba dengan hamba yang lain adalah dengan menunaikan haknya.
Pemimpin adalah pemelihara yang dapat dipercaya, berkewajipan melaksanakan dengan baik apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan apa yang di bawah pemantauan atau perhatiannya.
Maka setiap orang yang mempunyai sesuatu yang berada di bawah pemantauannya, maka dia adalah bertanggungjawab terhadap orang yang di bawahnya itu dengan melaksanakan keadilan dan memelihara maslahahnya iaitu agamanya, dunianya dan apa yang berkaitan dengannya.
Bersifat adil bermakna orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas itu perlu berlaku adil dalam semua perkara dan menolak segala kezaliman. Menurut Islam, keadilan itu perlu ada dalam diri setiap orang yang beriman.
Sifat zalim, pilih kasih, berat sebelah, menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, memberi hak kepada yang tidak berhak, membuat perkara keji dan mungkar tidak boleh wujud dalam apa jua termasuk perkara hal ehwal pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil.
“Berlaku adillah, kerana sifat adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah: 8)
Pemimpin yang adil amat menjaga amanah Allah Subhanahu wa Ta‘ala demi mencari keredhaanNya, bukan menjadikan redha manusia, kedudukan, wang ringgit dan apa-apa sahaja kesenangan dunia sebagai matlamat hidup semata-mata. Kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjanjikan ganjaran bagi para pemimpin adil ini di akhirat kelak, antaranya:
Ganjaran Pertama: Diberikan perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di hari akhirat kelak
Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Ada tujuh golongan yang akan bernaung di bawah naungan Allah pada hari di mana tiada lindungan Allah kecuali yang ada di dalam naunganNya iaitu pemimpin yang adil, pemuda yang rajin beribadah kepada Allah, seorang lelaki yang hatinya selalu terikat (cenderung) kepada masjid, dua orang yang saling kasih mengasihi kerana Allah baik ketika bertemu mahupun ketika berpisah, seorang lelaki yang diajak (melakukan zina) oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan namun dia menolak dan berkata: “Saya takut akan azab Allah”, seseorang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berdzikir mengingati Allah seorang diri sehingga bercucuran airmatanya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits di atas menjelaskan tentang tujuh golongan yang diberi perlindungan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala di hari akhirat kelak. Salah satu dan yang pertama disebut dalam hadits di atas adalah pemimpin yang adil.
Ganjaran Kedua: Dikurniakan kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala
Ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Amru bin al-‘Ash Radhiallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya, mereka berada di samping kanan ar-Rahman (Allah) ‘Azza wa Jalla. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan mereka, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka.” (Hadits riwayat Muslim)
‘Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar’ membawa maksud bahawa mereka duduk di atas mimbar dan mereka berada pada kedudukan yang tinggi.
Dalam Syarh Muslim oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah, para ulama berbeza pendapat dalam mentakwil maksud ‘kanan ar-Rahman (Allah) ‘Azza wa Jalla’.
Sebahagian mereka, antaranya jumhur as-Salaf mengatakan bahawa mereka tidak berkata apa-apa dalam mentakwil maksud ‘kanan’ dan tidak mengetahui maknanya, namun makna sifat tersebut amat layak bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sebahagian mereka pula mentakwilnya sebagai apa-apa yang layak dengan sifat tersebut.
Al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah, salah seorang ulama hadits pula menyatakan bahawa menjadikan orang-orang yang adil itu di samping kanan bermaksud menjadikan orang-orang yang adil itu pada keadaan yang baik dan kedudukan yang tinggi.
Adapun orang-orang Arab menyandarkan perbuatan terpuji dan terbaik kepada sebelah kanan.
Yang jelas, kelebihan yang disebut di dalam hadits ini berupa kebaikan dan kedudukan tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini dikurniakan kepada para pemimpin yang adil dalam pemerintahan, dalam pimpinan, dalam keputusan dan hukuman, dalam kiraan dan timbangan, dalam memeduli anak yatim dan orang-orang susah yang memerlukan perhatian dan perlindungan, dalam menunaikan hak-hak keluarganya dan sebagainya yang berkaitan tanggungjawab di bawah kepimpinan mereka.