RENTETAN penerimaan positif dari penonton terhadap telefilem Din Sardin telah membuatkan Mache AllStar United Sdn Bhd untuk meneruskan cerita tersebut ke dalam sebuah siri drama berjudul Ops Cinta Din Sardin.
Siri drama arahan Nazir Jamaluddin itu dibintangi oleh Izzue Islam, Mira Filzah, Sasqia Dahuri, Delimawati, Kazaruddin Saisi, Bell Ngasri, Niena Baharun, Syazuwan Hassan, Taufiq Hanafi, Jaja Iliyes, Azhan Rani, Anne Ariffin, Amir Rajalawak, Iswan Ismail, Putra Amaris, Ucop Cecupak, Fetty Dzul, Din Glamour, Ariff Aziz dan Afzan A Rahman.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai Din Sardin lakonan Izzue Islam yang memang terkenal sebagai mat rempit di kampungnya.
Sejak mengenali Che Ta lakonan Mira Filzah, seorang Pegawai JPJ yang cantik manis, Din Sardin semakin minat bekerja dalam anggota beruniform.
Sahabat baik Din iaitu Amir lakonan Amir Raja Lawak masih lagi degil dan kembali merempit dengan budak-budak rempit kampung.

Walaupun Che Ta sudah dimiliki orang lain, perasaan Din pada Che Ta masih tidak berubah. Din nekad untuk menjadi menjadi pegawai JPJ walaupun tidak dapat memiliki cinta Che Ta, asalkan dia dapat bergandingan dan selalu bersama gadis itu pun sudah cukup baginya.
Pada mulanya, Din sudah berputus asa untuk mencari pekerjaan setelah acapkali permohonannya untuk menjadi anggota unit beruniform itu ditolak sehinggakan dia kembali merempit. Ditimpa malang akibat kedegilannya untuk kembali merempit menyebabkan dia kehilangan sahabat baiknya, Amir yang ditimpa kemalangan ketika mereka sedang berlumba secara haram.
Din nekad untuk berubah dan tidak mahu lagi untuk menjadi mat rempit. Che Ta turut membantu Din untuk berubah dengan menyerap Din menjadi sukarelawan Skuad Muda JPJ dalam kempen kesedaran yang dijalankan oleh JPJ.
Din Sardin menjadi anggota JPJ dan bercinta dengan Su lakonan Sasqia Dahuri sejak sama-sama dalam latihan.
Kebetulan pula Che Ta bertugas menjadi jurulatih di pusat latihan itu, menemukannya dengan Din Sardin.
Percintan Din Sardin dan Su berakhir. Din dipindahkan ke Putrajaya, dan diserapkan satu unit dengan Che Ta yang menjadi ketuanya. Namun dalam tempoh tersebut terdapat juga cabaran yang Din hadapi untuk mendapatkan cinta Che Ta hingga ada kalanya membuatkan dia tawar hati lalu berpaling ke arah Su semula.
Lalu apakah kesudahan kisah cinta Din Sardin ini dan wanita mana bakal menjadi pilihan hatinya. Untuk mengetahui kesudahan tersebut jangan terlepas untuk terus menonton siri Ops Din Sardin yang disiarkan pada setiap hari Selasa hingga Ahad pukul 8.30 malam di saluran TV9.