Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menelusuri kegemilangan mahligai cinta selama lima dekad

    Oleh Lenna N.B.

    KETIKA penulis menemui pasangan suami isteri ini, kelihatan mereka saling berpandangan, penuh kasih sayang seakan ada sebuah kisah yang sungguh bererti tidak terungkapkan. Hanya antara mereka yang mengerti dan memahami, bicara yang tidak perlu diucapkan dengan kata-kata.

    Garis-garis halus di wajah bukan sahaja menggambarkan perjalanan panjang yang mereka lalui bersama, tetapi pahit manis kehidupan, meninggalkan zaman remaja menuju ke usia yang kini kian lanjut, namun kehangatan cinta seperti baru semalam mendirikan masjid sebagaimana yang disertakan di dalam petikan puisi ‘Simpulan Kasih’ di bawah ini.

    Setelah kasih bertemu cinta,

    Madah bertukar sumpah,

    Janji beselang puji,

    Jika gunung sama di daki,

    Lurah sama di turuni,

    Dengan izin Allah pada tanggal

    21 Ogos 1966 (Masihi),

    Bercantumlah Dua Jiwa Satu Hati,

    Menjadi ‘Raja Sehari’ dan

    Resmilah kami menjadi Suami Isteri

    (Dipetik dari puisi ‘Simpulan Kasih’)

    Meraikan Jubli Emas Perkahwinan

    Baru-baru ini, Pengiran Haji Mohd Don bin Pengiran Haji Besar dan Hajah Armah binti Haji Ahmad telah meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-50 tahun. Walaupun acara dilaksanakan agak sederhana tetapi ia cukup meriah dihadiri oleh kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang berpeluang untuk menyaksikan pasangan itu bersanding di atas pentas sekaligus melambangkan ikatan cinta suci yang tetap segar walaupun telah mencapai lima dekad.

    Pengiran Haji Mohd. Don bukanlah nama yang baru kita dengar, kerana beliaulah antara seniman yang mewarnai industri seni tanahair selama puluhan tahun lalu.

    Bergiat dalam teater bangsawan sekitar 1950-an, dan seterusnya ke drama televisyen sekitar tahun 1970-an.

    Beliau juga dikenali dengan watak ‘Badik’ yang merupakan watak utama dalam sebuah drama televisyen yang diarahkan oleh beliau sendiri. Di samping itu, beliau juga pernah bergiat dalam drama radio iaitu rancangan Tuturan Diangdangan.

    Sejak beliau berkecimpung di dalam industri seni tanahair, Pengiran Haji Mohd. Don pernah diberikan anugerah Juruulas/juruacara Pangkat 1 pada tahun 1976 yang dianjurkan oleh BBC (British Broadcasting Cooperation), Anugerah Pelakon Nostalgia Tanahair 1999 dan Anugerah Tokoh Insan Seni 2010. Kejayaan dan pencapaian beliau turut menjadikan dirinya sebagai seorang insan seni yang dikagumi.

    Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa di sebalik jiwa keseniannya yang berkobar-kobar itu, beliau adalah seorang yang penyayang, menanamkan prinsip keluarga menjadi keutamaan, mengekalkan jalinan cinta yang ingin dibawanya hingga ke syurga suatu hari nanti.

    Acara Jubli Emas 50 tahun perkahwinan baru sahaja diraikan pada malam 30 Disember 2017 yang dihadiri kira-kira lebih daripada 100 jemputan bagi mengimbas semula detik-detik pertemuan beliau bersama isteri tercinta, 50 tahun lalu.

    Pengiran Haji Mohd Don dan Hajah Armah bergambar ramai bersama cucu.
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim atau dikenali dengan nama penanya Ibnu ‘Abdir-Raheem menghadiahkan syair ‘Demi Masa’ kepada Pengiran Haji Mohd Don dan isteri.
    Hadiah cenderamata kenang-kenangan khas untuk pengunjung yang merakamkan kenangan 50 tahun antara Pengiran Haji Mohd Don dan isteri tercinta.

    Pengiran Haji Mohd Don ketika mudanya beraksi dalam sebuah drama televisyen berjudul ‘Badik’.

    Idea anak-anak dan cucu

    Acara seperti ini, sebenarnya bermula dari sesuatu yang tidak dirancang. Kali pertama perkahwinan mereka diraikan adalah pada tahun 1996, bersempena dengan genap 25 tahun perkahwinan Pengiran Haji Mohd Don dengan Hajah Armah yang merupakan idea daripada anak-anak bersempena dengan acara perkahwinan anak beliau pada masa itu.

    “Dari kemeriahan acara perkahwinan anak saya, mereka ingin meneruskan acara dengan meraikan Jubli Perak perkahwinan kami, dan atas dasar itu, kami teruskan juga kerana ia setentunya mengeratkan lagi kasih sayang antara kami berdua suami isteri. Setelah itu, acara ini seakan menjadi tradisi. Acara seterusnya disambut pada 45 tahun perkahwinan kami dalam tahun 2011, dan yang terbaru, pada tahun 2017 sempena ulang tahun perkahwinan yang ke 50 tahun,” ujar Pengiran Haji Mohd Don ketika ditemuramah oleh Media Permata baru-baru ini.

    Menurut Hajah Armah, setentunya malam itu menjadi detik yang tidak akan dilupakan mereka, kerana seluruh ahli keluarga, anak-anak dan cucu-cucu berkumpul semata-mata bagi meraikan perkahwinan mereka. Itulah tanda kasih anak-anak yang begitu menyentuh hatinya, apatah lagi, seluruh acara diaturkan oleh mereka, cukup meriah dalam kesederhanaan.

    Melakonkan semula saat pertemuan

    Menariknya, sebuah tayangan video telah dimainkan semasa acara tersebut iaitu dilakonkan oleh cucu-cucu Pengiran Haji Mohd Don dan Hajah Armah sendiri, yang menggambarkan semula bagaimana Pengiran Haji Mohd Don bertemu dengan isterinya, iaitu sebuah perkahwinan yang diatur oleh ibunya. Walaupun pada mulanya, tidak ingin ditemukan, namun demi kasih ibu dan juga ketentuan takdir Ilahi, bersatulah mereka pada tanggal 21 Ogos 1966.

    “Saya jatuh cinta dengan kelembutannya, ketulusan hati, sopan santunnya, dan budi pekertinya, menjadikan perkahwinan kami aman harmoni hingga ke hari ini. Mungkin inilah maknanya, indah bercinta selepas bernikah. Lagipun, setelah kita menyatakan lafaz nikah itu, isteri menjadi amanah Allah, dan selaku hamba Allah, amanah itulah yang saya jaga hingga ke hari ini,” tambah Pengiran Haji Mohd Don.

    Melalui bait-bait puisi ‘Selingkar Kisah di Tasek Kasih’ dan ‘Simpulan Kasih’ hasil nukilan Pengiran Haji Mohd Don sendiri, tercoret bicara cinta yang diungkapkannya khas untuk si isteri. Kerukunan rumah tangga, bertambahnya generasi bangsa, semakin tergambarlah kebahagiaan yang begitu bererti, menjadi inspirasi kehidupan rumah tangga yang harmoni.

    “Bersatu aman dalam ikatan kekeluargaan, itulah yang saya pegang. Dalam hidup berpasangan, kita harus bertolak ansur, saling menyayangi dan buang yang keruh, kerana kepincangan rumah tangga adalah berpunca dari sikap ego. Biarlah kita hidup bersama insan yang disaya-ngi meniti hari-hari esok bersama,” jelas Pengiran Haji Mohd Don sambil memandang wajah isterinya yang penuh perasaan cinta.

    Pengiran Haji Mohd Don kini berusia 80 tahun dan isterinya 68 tahun, mempunyai empat orang anak dan 17 orang cucu, hidup harmoni dalam kekeluargaan, inspirasi destinasi generasi motivasi.

    Kasih mereka terus segar dengan kehadiran cucu-cucu, mengibarkan kisah cinta yang berpanjangan.

    Berbicara tentang air tangan isterinya, Pengiran Haji Mohd Don tersenyum riang. Katanya, isterinya pandai memasak makanan tradisi, menjadikannya semakin sayang. Antara masakan isterinya yang menjadi kegemarannya adalah masakan kari dan asam pedas, “pasti membuatnya hingga menjilat jari,” sampuk isterinya.

    “Saya dan isteri mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara dan sahabat handai yang datang pada malam meraikan perkahwinan kami. Kami sungguh terharu kerana mereka menjadi sebahagian daripada kasih sayang kekeluargaan kami.

    “Tidak lupa juga, penghargaan kepada Ibnu ‘Abdir Raheem yang menghadiahkan sebuah syair berjudul ‘Demi Masa’ bersempena dengan acara perkahwinan kami ini. Akhir kata dari saya, hiduplah dalam kerukunan aman damai, di bawah keberkatan Allah Ta’ala, InsyaAllah perkahwinan akan terus bahagia hingga ke Jannah-Nya..”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda