Oleh Nurdiyanah R.
Menjejakkan kaki di Kampong Ayer pas-tinya mampu mencetuskan kenangan mengenai keindahan warna-warni kehidupan masyarakat Melayu dahulu. Suasana anak-anak muda berpakaian cara Melayu bersinjang sambil berjalan di atas jambatan berdekatan dengan rumah-rumah lama seperti jenis ‘Rumah Belah Bubung’, ‘Rumah Berhidong’ dan ‘Rumah Tungkup’ yang sungguh unik.
Begitu juga suasana riuh-rendah kanak-kanak berlari-lari bermain permainan tradisional seperti kikik di atas jambatan pail-pail kayu dengan diserikan kehadiran golongan padian mendayung sampan dari rumah ke rumah menjual pelbagai jenis barang keperluan harian yang kini pupus ditelan zaman.
Hakikatnya, zaman silih berganti, hampir segalanya hanya tinggal kenangan. Kenangan yang tersimpan memori suka dan duka yang bagaikan suatu yang pergi lalu meninggalkan jejak.
Apa yang menariknya, walaupun Kampong Ayer ketika ini sudah jauh berubah daripada Kampong Ayer dahulu tetapi tetap tidak akan mengubah kemeriahan suasana persekitarannya dengan kebisingan perahu tambang, orang-orang kampung berjalan di jambatan-jambatan mahu pun orang mengail di pantaran rumah dan begitu juga dengan keindahan perairan Sungai Brunei di sekitarnya sehingga mampu menjadi satu tarikan destinasi pelancongan di negara sehingga kini.
“Bersantai sambil menimba pengetahuan khazanah silam, itulah menariknya destinasi ini yang sememangnya mampu mewujudkan pengalaman terindah menerokai keindahan perairan Sungai Brunei yang pastinya memiliki khazanah pulau-pulau penuh bersejarah,” ujar Awang Mohammad Wafi bin Haji Kudil selaku travel consultant, Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) ketika ditemui penulis semasa berlangsungnya acara lawatan pelancongan destinasi dalam negara yang terbaharu mereka menerusi ‘Brunei Tour Island Discovery Familiarisation Trip’ yang turut disertai oleh lebih 10 orang pengamal media tempatan dan beberapa orang pegawai dan kakitangan DHSB, baru-baru ini.




Menelusuri khazanah perairan Sungai Brunei
Dengan menaiki bot laju bermula dari Jeti Queen Elizabeth II, Kampung Dato Gandi, Jalan Kota Batu, Bandar Seri Begawan, destinasi pelancongan yang berkonsepkan Kenali Negara Kitani itu seawal jam 9 pagi, menyediakan aktiviti menarik seperti sesi pengembaraan ke pulau-pulau di perairan Sungai Brunei dengan mengenali sejarah dan budaya yang sememangnya begitu penting untuk diketahui oleh para generasi penerus.
Sambil menikmati keheningan pagi dengan hembusan bayu angin dan desiran ombak di perairan Sungai Brunei yang menenangkan itu, kami bukan hanya dapat menyaksikan keindahan panorama persekitaran alam semula jadi yang penuh kehijauan bahkan lebih istimewa lagi kami juga berpeluang melihat tujuh buah pulau dan beberapa destinasi yang menyimpan sejarah serta legenda yang tersendiri.
Diwarnai bait-bait folklor keBruneian
Meskipun cuaca panas, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan bahkan penerokaan di sekitar perairan Sungai Brunei semakin mengasyikkan, lebih-lebih lagi dengan adanya kisah-kisah folklor di sepanjang destinasi-destinasi yang dituju antaranya Pulau Keingaran, Pulau Chermin, Pulau Baru-Baru, Pulau Berambang dan juga Makam Di Luba.
Salah satu sejarah diketengahkan oleh Haji Hasnal Bolkiah bin Haji Abdul Kadir selaku pemandu pelancong, DHSB pada ketika itu ialah mengenai Lumut Lunting. Terletak di antara Pulau Sibungur dengan Pulau Berambang di kawasan Sungai Brunei yang mana ia merupakan legenda yang dikaitkan mengenai dengan kisah persabungan ayam di antara Brunei dengan Majapahit seperti yang terdapat dalam Syair Awang Semaun. Cerita persabungan ayam ini telah menjadi cerita lisan yang terkenal di kalangan masyarakat Brunei dan dipertuturkan daripada satu generasi ke satu generasi.
Sebuah kisah bersulam pedoman
Sebuah batu seolah-olah berbentuk bahtera yang senget terdampar dan selebihnya ditenggelamkan air di salah satu kawasan perairan Sungai Brunei. Dinamakan Jong Batu, salah satu cerita rakyat yang masih segar dalam ingatan masyarakat walaupun ia sudah lama berlalu.
Cerita ini berkisarkan anak derhaka yang tidak mengakui ibunya disumpah menjadi baAtu bersama seluruh bahteranya di Sungai Brunei. Itulah pembalasan azab terhadap anak yang menderhaka yang disebut sebagai ‘anak ketulahan’ oleh masyarakat Brunei. Inilah cerita rakyat yang dapat dijadikan iktibar kepada kita semua agar sentiasa menghormati orang tua.
Warisan budaya bangsa dilupa jangan
Sehubungan dengan itu, Awang Mohammad Wafi turut menjelaskan bahawa menerusi pakej destinasi berkenaan, setiap perjalanan yang diadakan kebiasaanya pada setiap hujung minggu dan hari-hari tertentu dengan dua sesi pilihan iaitu 9 pagi dan 2 petang akan mengambil masa selama tiga jam.
“Adapun pakej sememangnya bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat termasuklah para pengunjung secara berkumpulan dan ahli-ahli keluarga ketika mengisi masa lapang musim cuti dan juga aktiviti sampingan semasa mengadakan perbincangan, persidangan dan juga pameran yang sekali gus pastinya mampu merakamkan pengalaman manis yang tidak terhingga.”
Apa yang penting, menerusi lawatan sebegini, ia juga dapat menyemai dan mendidik diri kita untuk lebih menghargai khazanah warisan budaya bangsa seperti sejarah sejarah dan cerita rakyat kita yang sememangnya perlu dipertahankan warisannya, agar tidak luput ditelan zaman dan dilupakan oleh generasi muda dan akan datang.
“Walaupun arus kemodenan semakin menghiasi kehidupan kita, namun alangkah baiknya jika nilai-nilai tradisi tetap diperkasakan sejajar dengan perkembangan semasa antaranya melalui karya seni yang unik ini,” ujar lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.