Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menelusuri kerjaya dalam bidang seni hiburan, Fakhrul Razi

    Oleh Adiman HT

     

    BANDAR SERI BEGAWAN – Jika disebut sahaja nama Fakhrul Razi, pastinya penduduk di negara ini akan mengenali siapa diri beliau malah nama beliau juga turut terkenal di persada industri muzik antarabangsa.

    Fenomena ini sekali gus memberikan pendedahan hebat khususnya industri muzik di tanah air. Baru-baru ini, pihak Media Permata berkesempatan bertemu dengan beliau dan berkongsi pengalaman bersama pihak media.

    Insan seni yang berasal dari Kampung Serasa, Daerah Brunei dan Muara itu mula berkarya secara profesional pada tahun 2004 melalui program hiburan MoU kerajaan di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara luar.

    Daripada pengalaman tersebut, beliau mula memberanikan diri untuk berdikari sendiri secara peribadi untuk menempa nama di negara-negara luar seperti di Thailand dan pada tahun 2013 di Hollywood melalui pertandingan World Championship of Performing Arts di mana beliau menyanyikan lagu Senyuman Gelapmu. Dari sana timbulnya keinginan untuk melihat sejauh mana beliau dapat berdiri dalam bidang nyanyian.

    Penyanyi yang terkenal dengan lagu Salahkah Aku juga telah mengeluarkan album sulungnya berjudul Mutlak pada tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia yang mengandungi sembilan buah lagi iaitu Senyuman Gelapmu, Cerita Cinta, Andai Ada Bahagia, Mutlak, Salahkah Aku, Ku Tak Pernah Sendiri, SHSM, Mutlak (Revisited) dan SHSM (Versi Larut Malam).

    Fakhrul Razi bersama perwakilan belia Brunei ketika menghadiri Sidang Kemuncak Belia India-ASEAN baru-baru ini.

    Antara rancangan realiti TV yang diikuti oleh Fakhrul Razi.
    Fakhrul Razi turut melibatkan diri sebagai seorang komentator bagi rancangan Dangdut Akademi Asia pada tahun 2015 dan Dangdut Akademi Tiga Indonesia pada tahun 2016.

    Lagu-lagu beliau juga menjadi lagu tema dalam drama-drama di Malaysia. Atas usaha gigih beliau, beliau kemudian dicalonkan dalam Kategori Artis Baru Terbaik di Malaysia.

    Mencipta nama di Indonesia

    Setelah mencipta nama di Malaysia, nama beliau kemudian meletup di negara jiran Indonesia apabila melibatkan diri sebagai seorang komentator bagi rancangan Dangdut Akademi Asia pada tahun 2015 dan Dangdut Akademi Tiga Indonesia pada tahun 2016.

    Populariti beliau juga naik mendadak sehinggakan kini beliau mempunyai 1.2 juta pengikut dalam laman Instagram ‘fakhrulllraziii’.

    Dari sana, kebolehan beliau mula dilihat yang bukan sahaja tertumpu dalam bidang nyanyian dan penulis lagu, tetapi juga mampu menjadi pengkritik, penasihat dan pakar motivasi bagi artis-artis dalam dan luar negara.

    Ketika ditanya mengenai perkembangan terbarunya, beliau berkata bahawa baru-baru ini beliau telah mengikuti rancangan realiti nyanyian Dil Hai Hindustani pada hujung tahun 2016 hingga April tahun ini yang diadakan di Mumbai, India.

    Dalam rancangan berkenaan, beliau telah menjadi satu-satunya peserta mewakili negara ASEAN dan telah mara sehingga peringkat tujuh terbaik (top 7).

    Menurut beliau, tujuan utama mengikuti program itu bukanlah untuk mempromosi negara, tetapi untuk merasa bagaimana rasanya mengikuti sebuah rancangan realiti TV dan bagaimana rasanya menjadi seorang peserta. Hasil daripada pengaruh yang beliau dapat daripada pertandingan tersebut, beliau telah menerima jemputan untuk menyanyikan lagu Hindi bagi masyarakat India di New York pada bulan November ini.

    Fakhrul yang terkenal dengan lagu Salahkah Aku juga telah mengeluarkan album sulungnya berjudul Mutlak pada tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia.
    Fakhrul Razi baru sahaja mengikuti rancangan realiti nyanyian Dil Hai Hindustani pada hujung tahun 2016 hingga April lalu yang diadakan di Mumbai, India.

    Fakhrul Razi ketika mempersembahkan nyanyian Kuch Kuch Hota Hai bersama salah seorang komentator Dangdut Akademi Asia, Rosalina dari Singapura pada tahun 2015.

    Aktif dalam acara tertentu

    Selain itu, beliau juga aktif mengikuti acara-acara di dalam dan luar negara dan turut menyumbang salah sebuah lagu tema bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang akan disambut pada bulan Oktober ini.

    Selain bidang nyanyian, beliau juga aktif menjadi juri program Ceria i-Star bagi saluran Astro Ceria dalam memilih peserta-peserta dari Negara Brunei Darussalam. Selain itu, beliau juga aktif dalam memberikan pendapat dan juga pandangan, menjadi pengulas dalam rancangan realiti televisyen di luar negara dan belajar memahami bagaimana untuk mengembangkan industri seni muzik tanah air.

    Ketika ditanya mengenai golongan belia pula, beliau menyarankan agar golongan belia tidak mengamalkan sifat pemalas dan perlu berfikir di luar kotak serta memiliki fikiran yang progresif. “Jangan tunggu apa yang negara dapat buat kepada kitani, tapi kita buat sesuatu kepada negara tanpa mengharap sedikit pun balasan,” ujar beliau.

    Saranan kepada belia

    Menurut beliau, golongan belia perlu mula memikirkan cara untuk memberikan sesuatu kepada negara dan bukannya menunggu peluang datang sendiri serta membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Beliau juga menyarankan agar para belia tidak melakukan sesuatu untuk mendapatkan pengiktirafan, tapi lakukanlah sesuatu itu dengan keikhlasan.

    “Memang ia adalah sesuatu yang sukar namun yang sukar inilah yang menjadi sesuatu yang berbaloi akhirnya,” ujar Fakhrul Razi.

    “Memang tidak dapat disangkal apa yang kita lakukan adalah demi mendapat ganjaran, namun rezeki itu boleh datang dalam apa jua cara,” ujar beliau.

    Fakhrul Razi ketika mewakili Brunei dalam Sidang Kemuncak Belia India-ASEAN 2017.

    Menurut beliau lagi, apa yang sukar adalah untuk mencapai keseimbangan yang bermaksud bagaimana kita bersyukur dan mencapai kehidupan yang sentiasa cukup dan bahagia. “Jika kita bersyukur, semuanya akan rasa cukup, yang penting kita ikhlaskan sahaja apa yang kita lakukan untuk membangunkan diri sendiri. InsyaAllah apa yang kita lakukan itu akan membuat masyarakat, belia-belia dan individu lain teraspirasi dengan apa yang kita buat,” tekan beliau.

    Di samping itu, beliau juga memberikan pendapat bagaimana memperkemaskan lagi industri kreatif di Negara Brunei Darussalam. Menurut beliau, caranya adalah untuk berbincang dengan mengumpulkan ahli-ahli kreatif yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang nyanyian, lakonan dan tarian sahaja tetapi golongan-golongan kreatif lain seperti pembuat roti, mekanik, ahli puisi dan sebagainya.

    Dalam perkumpulan itu, orang-orang kreatif ini diberi peluang untuk mengongsikan apa yang mereka lalui dalam bidang mereka agar sama-sama memahami apa yang dilalui oleh pihak masing-masing. Melalui perkumpulan itu, orang-orang kreatif ini akan tahu apa yang dihadapi dan dimahukan oleh orang-orang dalam bidang itu.

    Secara tidak langsung juga, perkumpulan ini juga memasarkan kreativiti masing-masing dan boleh mencipta pelanggan sesama golongan kreatif.

    Beliau juga menekankan agar golongan kreatif tidak mengehadkan diri terhadap bidang yang dimahukan sahaja. “Adalah tidak salah seorang penyanyi untuk belajar ilmu-ilmu lain yang di luar daripada bidangnya kerana pada akhirnya semuanya berkait dengan hubungan sesama manusia,” tegas beliau.

    Beliau juga menekankan antara faktor yang membuatkan beliau kekal bertahan dalam industri muzik sehingga kini adalah kerana orang-orang yang beliau hiburkan bukanlah daripada golongan orang muzik sahaja, tapi orang-orang dari pelbagai sudut. “Oleh itu kita mesti mencipta hubungan dengan orang lain, dalam erti kata lain seorang mekanik perlu mengetahui apa kemahuan orang bergiat dalam nyanyian, bagaimana membuat strategi pemasaran dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda