Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menelusuri peristiwa penting di bulan Julai

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    MENGIMBAS kembali perkembangan yang dicapai oleh negara dalam pelbagai bidang sepanjang bulan Julai 2018.

    Lindungi negara dengan berhemah

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB bertitah menekankan bahawa tugas utama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah melindungi negara kerana ia merupakan satu kewajipan, maka ia perlu dilaksanakan dengan penuh berhemah, semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-57 yang berlangsung di Penanjong Garison pada 1 Julai yang lalu.

    Baginda Sultan berharap ABDB tidak ketinggalan mengikuti perkembangan-perkembangan persekitaran yang semakin dinamik, apa tah lagi usia ABDB telah pun mencapai 57 tahun, tentu sahaja ia mempunyai pengalaman dan asam garam yang menjadikannya lebih matang dan berkualiti.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyeru agar Kementerian Pertahanan dan ABDB mempamerkan kesungguhan dan keindahan kerjaya tentera sebagai satu kerjaya yang menarik dan menyakinkan, agar kerjaya tersebut diminati untuk diceburi oleh para belia harapan bangsa dan negara.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Raya Yayasan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 5 Julai yang lalu.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memeriksa pasukan-pasukan perbarisan semasa Upacara Perbarisan Raksasa Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-57 yang berlangsung di Penanjong Garison pada 1 Julai yang lalu.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Lencana Penerbangan kepada DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen pada 1 Julai yang lalu.
    MoU Operasi Pengesan Telemetri dan Stesen Telecommand bagi Satelit dan Kenderaan Pelancar dan Lapangan Penyelidikan Angkasa Lepas, Sains dan Aplikasi telah ditandatangani oleh Menteri Perhubungan, bagi pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, bagi pihak kerajaan Republik India pada 20 Julai yang lalu.
    Gambar ramai perwakilan dari pelbagai negara yang menyertai Dialog Delhi kali ke-10 di New Delhi, Republik India selama dua hari yang berakhir pada 20 Julai yang lalu.
    Profesor Zuruzi menyampaikan cenderahati kepada Dr Abdulaziz Othman Altwaijri dalam lawatannya ke UTB, pada 12 Julai yang lalu.
    Datin Paduka Hajah Jahrah menyampaikan cenderamata kepada ibu bapa anak-anak damit yang diraikan pada 16 Julai yang lalu.
    Hajah Pusparaini bergambar ramai bersama para pegawai, ibu bapa dan anak damit Hari Keputeraan di Daerah Belait.
    UPK, AMBD dan AMLIO meterai MoU semasa Mesyuarat Tahunan Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Penggubahan Wang Haram yang berlangsung di Kathmandu, Nepal pada 26 Julai yang lalu.

    Zaman kanak-kanak terjamin

    Negara Brunei Darussalam menduduki tempat ke-68 dalam indeks global ‘Save the Children’ membabitkan 175 buah negara dalam pelbagai petunjuk mengenai faktor-faktor yang menafikan golongan itu daripada menikmati zaman kanak-kanak mereka.

    Organisasi bukan kerajaan antarabangsa dalam laporan ‘Many Faces of Exclusion: End of Childhood Report 2018’ dalam indeks tahunan ‘End of Childhood’ kedua mereka yang dilancarkan pada bulan Jun melihat kepada beberapa petunjuk seperti perkahwinan, kehamilan remaja dan kematian sebagai faktor yang merampas zaman kegemilangan kanak-kanak.

    Laporan yang dibuat semasa 4 Julai yang lalu, Singapura menduduki tempat pertama dalam senarai dan Malaysia pula menduduki tempat ke-67. Laporan itu juga mendapati kira-kira 19.7 peratus daripada semua kanak-kanak di bawah usia lima tahun di negara ini dikategorikan sebagai bantut tumbesarannya dan sekitar 9.9 daripada 1,000 kanak-kanak tidak dapat meraikan ulang tahun kelima mereka.

    Kadar kelahiran remaja (kelahiran setiap 1,000 kanak-kanak perempuan berumur 15 hingga 19 tahun) berjumlah 20 peratus.

    Laporan itu juga menyerlahkan bahawa peratusan keciciran kanak-kanak sekolah rendah dan menengah di negara ini adalah sekitar 9.5 peratus.

    Swasta, graduan mampu memperkasa ekonomi

    Baginda Sultan bertitah bahawa sektor swasta dan para graduan tidak syak boleh menyumbang bagi merealisasikan pembangunan negara sehingga ke tahap dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam pada 5 Julai yang lalu.

    “Sektor swasta di mana-mana saja, memang sudah lama dikenali sebagai jentera penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Di negara kita juga tidak kurang mempunyai bisnes yang resilient dan sudah lama wujud mendepani cabaran membina ekonomi itu.”

    Data JobCentre Brunei menunjukkan bahawa terdapat 1,800 orang graduan yang berpotensi untuk membantu memperkasakan sektor swasta ke arah mencapai sasaran bisnes dan terdapat lebih 200 syarikat yang memerlukan perkhidmatan dalam kalangan graduan peringkat sarjana.

    “Maka dalam hubungan ini, Beta berharap, kedua-dua pihak, sektor swasta dan para graduan akan menggunakan peluang keemasan pada hari ini untuk menjalinkan silaturahim sambil saling mengenali di antara satu dengan yang lain. Di pihak sektor swasta, Beta yakin, mampu untuk tidak menghampakan harapan semua, dengan bersedia menerima berkhidmat anak-anak tempatan, khasnya para graduan kita yang sedang mencari atau menunggu pekerjaan.”

    Baginda Sultan bertitah, “Di pihak graduan pula, elakkanlah sikap memilih kerja, kerana apa pun pekerjaan adalah ia rezeki. Bukan bekerja di sektor kerajaan sahaja rezeki, tetapi di sektor swasta juga rezeki.”

    Brunei tetap bersedia

    Walaupun keluaran gas rumah hijau Negara Brunei Darussalam adalah kecil tetapi ia tetap bersedia untuk meningkatkan usaha menangani isu iklim yang telah menyaksikan negara mengemaskinikan Nationally Determined Contributions Brunei yang menggariskan pelan serta tindakan bagi pelaksanaan Perjanjian Paris.

    Komitmen negara ini dalam menangani perubahan iklim disambut baik oleh Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein dalam kenyataan pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Khusus mengenai Tindakan Iklim (SAMCA) yang dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap perubahan iklim di Singapura, pada 11 Julai yang lalu.

    Brunei ikon dunia Islam

    Takjub dengan Islam yang secara luasnya dipraktikkan dan diserap ke dalam budaya, dasar, pembangunan, pendidikan dan cara hidup rakyat di negara ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO), Dr Abdulaziz Othman Altwaijri memuji Negara Brunei Darussalam dan menyatakan bahawa negara ini wajar dijadikan sebagai contoh ikon bagi dunia Islam pada 12 Julai yang lalu.

    “Bandar Seri Begawan yang dicalonkan oleh ISESCO untuk menjadi ‘Capital City of Islamic Culture for Asia’ bagi tahun 2019 akan menjadi tarikan seluruh dunia Islam untuk melihat betapa unik dan menariknya negara ini,” jelas Dr Abdulaziz.

    Dr Abdulaziz kemudiannya turut menjelaskan bahawa dengan pengiktirafan Bandar Seri Begawan sebagai Capital City of Islamic Culture tahun depan, ia akan membantu mendedahkan lagi keunikan negara ini kepada negara Islam lainnya dan terhadap rakyat serta kepimpinan bijaksana Baginda Sultan dalam mencorak serta memimpin negara dalam mencapai kemajuan berdasarkan ajaran Islam.

    14 anak damit Hari Keputeraan

    Seramai 14 anak damit yang lahir pada 15 Julai di seluruh negara diraikan dalam Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-anak Damit yang lahir pada 15 Julai Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun bagi 2018 pada 16 Julai yang lalu.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, seramai 12 anak damit telah diraikan dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Bilik Seminar, Aras 2, Blok Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan bagi Daerah Belait pula, dua anak damit telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

    Tiada kelahiran anak damit dicatatkan di Daerah Tutong dan Daerah Temburong pada tahun ini.

    Bina Ekonomi Digital ASEAN-India

    Dalam usaha membangunkan bandar-bandar pintar dan mengukuhkan Perkongsian Strategik India-ASEAN, satu lagi memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India berhubung Kerjasama dalam Operasi Pengesan Telemetri dan Stesen Telecommand bagi Satelit dan Kenderaan Pelancar dan Lapangan Penyelidikan Angkasa Lepas, Sains dan Aplikasi.

    MoU itu telah ditandatangani oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Sushma Swaraj bagi pihak kerajaan Republik India yang berlangsung di Hotel Oberoi, New Delhi, pada 20 Julai yang lalu.

    Kerjasama banteras penggubahan wang haram

    Dalam usaha untuk memerangi kegiatan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan, Unit Perisikan Kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (UPK, AMBD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Perisikan Anti Penggubahan Wang Haram, Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Anti Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pengganasan Kewangan Republik Demokratik Rakyat Laos (AMLIO) semasa Mesyuarat Tahunan Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Penggubahan Wang Haram yang berlangsung di Kathmandu, Nepal, 26 Julai yang lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD, di bawah MoU berkenaan, kedua-dua agensi bersetuju untuk bekerjasama dalam pertukaran maklumat perisikan kewangan yang akan membantu dalam siasatan dan pendakwaan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

    MoU dengan AMLIO, jelas kenyataan itu, merupakan yang ketujuh ditandatangani oleh UPK, AMBD yang mana MoU berkenaan telah ditandatangani sebelum ini dengan unit-unit perisikan kewangan Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Bangladesh, Kemboja dan Singapura.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda