ANGKATAN Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mula ditubuhkan pada 31 Mei, 1961. Pada awalnya ia dikenali dengan nama Askar Melayu Brunei sebelum dianugerahkan dengan gelaran ‘Diraja’ pada 31 Mei, 1965. Ia kemudian dikenali sebagai Askar Melayu Diraja Brunei. Setelah mencapai kemerdekaan pada 1 Januari, 1984, Askar Melayu Diraja Brunei dinamakan semula sebagai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Pencapaian Akademi Pertahanan ABDB 2013-2017
Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB) telah ditubuhkan sebagai organisasi yang membantu membimbing perkembangan profesionalisme di dalam ABDB. Ianya bertujuan untuk menerajui pembelajaran sepanjang hayat dan untuk menggalakkan perkembangan profesionalisme pegawai-pegawai ABDB. Akademi Pertahanan ABDB juga memainkan sebahagian peranan asas dalam bidang menjana kekuatan angkatan bagi memastikan agar ABDB sentiasa relevan dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
Sejak penubuhan awalnya pada tahun 2008 (penubuhan rasmi pada tahun 2011) dan melalui khidmat yang diberikan oleh sekolah-sekolah pendidikan di dalamnya (Maktab Turus ABDB; Pusat Pengurusan dan Kepimpinan; Sekolah Pegawai Kadet), lebih kurang 1,000 orang pelatih/siswa dari kalangan pegawai ABDB telah menghadiri dan menamatkan kursus-kursus latihan dan pendidikan, sekaligus mewakili 11 peratus daripada jumlah keanggotaan ABDB secara menyeluruh.
Kelulusan Kursus Maktab Turus ABDB yang dikendalikan oleh Akademi Pertahanan ABDB telah diiktiraf oleh Joint Services Command and Staff College, United Kingdom pada tahun 2014 dan Joint Professional Military Education Phase 1, United States pada tahun 2015.
Akademi Pertahanan ABDB juga telah dapat menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan tentera luar negara seperti Pakistan Naval College dan Bangladesh Defence Services Command and Staff College dalam penyampaian kuliah-kuliah yang berkaitan bagi Kursus Maktab Turus.


Selain dari itu, jalinan kerjasama juga telah dijalinkan dengan Officer Cadet School New Zealand bagi Eksesais Kepimpinan dan Officer Cadet School Singapore bagi Urban Operations Training.
Akademi Pertahanan ABDB akan berterusan mempertimbangkan objektif pada tahun-tahun mendatang seperti memastikan program pendidikan dan perkembangan profesionalisme ketenteraan yang koheren dan bersepadu; memastikan kerapian akademik dan akreditasi untuk perkembangan profesionalisme; membolehkan dan menggalakkan pegawai-pegawai ABDB untuk mengembangkan potensi intelek mereka.
Perkembangan Tentera Laut Diraja Brunei 2013-2017
Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah menjalani pelbagai perubahan dan perkembangan yang sangat ketara sejak penubuhannya pada 14 Jun 1965. Kini TLDB akan mencapai usia penubuhan yang ke-52 tahun pada 14 Jun 2017 nanti.
Latihan/Eksesais
Pelbagai penglibatan TLDB dalam menjalani latihan peringkat serantau yang mana salah satunya adalah Eksesais Bantuan Kemanusiaan dan Bencana dan Perubatan Tentera di bawah naungan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus HADR/MM) yang dilaksanakan pada tahun 2013 dengan melibatkan TLDB dengan Angkatan Tentera Laut dari negara-negara ASEAN dan juga negara-negara sahabat termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jepun, New Zealand Republik Rakyat China, India, dan Republik Korea.
Eksesais ini telah banyak melibatkan aset TLDB dalam memberi bantuan pengangkutan aset-aset dan anggota sekaligus meningkatkan profesionalisme anggota. Dalam hal ini, TLDB telah merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan diplomasi pertahanan peringkat antarabangsa. TLDB juga telah mengikuti latihan Rim of the Pacific (RIMPAC) Exercise buat julung kali pada tahun 2014 di Honolulu Hawaii, Amerika Syarikat yang mana ianya merupakan satu detik bersejarah bagi ABDB amnya dan TLDB khasnya apabila TLDB melancarkan peluru berpandu kapal kelas Darussalam semasa eksesais tersebut di samping membina persahabatan antara Angkatan Tentera Laut antarabangsa.
Pertukaran pangkat baru
Pada Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun TLDB yang ke-50, satu detik yang signifikan terukir bagi TLDB yang mana bermulanya pertukaran dan pemakaian pangkat baru mengikut sistem Tentera Laut United Kingdom.
Pemakaian nama pangkat baru ini juga adalah sebagai mengeratkan lagi penyatuan dengan Angkatan Tentera Laut serantau yang juga memakai nama pangkat yang sama.
Prasarana
Pada tahun 2016, Kompleks Integrasi Persenjataan Kapok telah dinaiktaraf yang mana pengubahsuaian dibuat di kawasan tersebut bagi penyimpanan senjata yang sesuai dan bergabung dengan Markas Pertahanan Pangkalan termasuk tempat bertugas bagi petugas-petugas Pertahanan Pangkalan.
Pada Januari 2017, TLDB telah melancarkan sebuah prasarana bagi Pusat Latihan Tentera Laut yang terletak di antara padang bola TLDB dan Pusat Koordinasi Antarabangsa (MNCC) dalam meningkatkan dan memperkembangkan lagi mutu latihan dalam meningkatkan profesionalisme anggota-anggota TLDB dalam menyediakan latihan yang bersesuaian.
Bangunan Pusat Latihan Tentera Laut ini dilengkapi dengan 22 buah bilik belajar termasuk bilik latihan peperangan, bilik latihan melawan kebakaran dan bengkel teknikal.
Perjawatan dan kerjaya
Seiring dengan perkembangan ini, Struktur Pekembangan Kerjaya TLDB telah dikemaskinikan yang mana telah diluluskan mengikut keperluan dan perkembangan TLDB.
Dengan adanya aset-aset baru TLDB dan perkembangan dari sudut infrastruktur pada masa yang sama, TLDB telah menubuhkan organisasi jabatan yang sangat relevan dalam perihal keselamatan iaitu Pertahanan Pangkalan.
Pertahanan Pangkalan ini terbahagi kepada empat platun dan ketua platun yang terdiri daripada pegawai yang berpangkat Leftenan Madya.
Perkembangan Tentera Darat Diraja Brunei 2013-2017
Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mencapai usia matang yang ke-55 tahun. Selaras dengan evolusi rancangan perkembangan, TDDB kini telah menjadi sebuah organisasi yang berketerampilan tinggi. Pelbagai pencapaian telah pun dikecapi dalam jangka masa lima tahun kebelakangan, yang mana ianya adalah merupakan hasil implementasi perancangan yang selaras dengan pelan strategik TDDB.
Menyentuh mengenai perkembangan lima tahun kebelakangan ini, TDDB telah menyaksikan peningkatan struktur yang merangkumi perkembangan unit-unit di bawahnya, iaitu penyerapan sub-unit – sub-unit penting ke Khidmat Bantuan Kombat, termasuklah penyerapan Skuadron Semboyan dan Kenderaan Pasukan pada 3 September 2013 dan penubuhan Markas Khidmat Bantuan Kombat dibawah naungan TDDB bersama-sama Unit Khidmat Perubatan dan Kesihatan, Khidmat Pergigian dan Khidmat Bomba dan Keselamatan pada 3 November 2013.
Penyerapan ini adalah bertujuan bagi memantapkan perintah dan kawalan unit-unit di dalam organisasi Khidmat Bantuan Kombat yang mana kini terdapat tujuh unit yang telah diserapkan di bawah naungan Markas Khidmat Bantuan Kombat.
Dalam pada itu, TDDB juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif-inisiatif dalam membantu mencorak unit tersebut menjadi sebuah organisasi yang moden dan efektif. Ini dapat dilihat dengan perkembangan struktur organisasi iaitu adanya ketetapan penubuhan E Kompeni, Batalion Pertama TDDB di Perkhemahan Bangar iaitu sebagai nukleus atau perintis awal bagi penubuhan Batalion Keempat nanti.
Ketetapan penubuhan E Kompeni ini juga telah membawa perubahan terhadap penugasan di Perkhemahan Bangar dan bagi penjagaan Pulau Baru-Baru yang mana kompeni tersebut telah mengambil alih penjagaan sepenuhnya bermula pada April 2015, yang mana sebelum ini ianya telah dilaksanakan secara putaran dari kompeni-kompeni batalion Tentera Darat. Ini setentunya membuatkan tugasan lebih fokus dan teratur.
Perkembangan lainnya juga termasuk penetapan satu kompeni di setiap Batalion Infantri sebagai Kompeni Istiadat yang mana kompeni-kompeni ini akan menjalankan tugas-tugas istiadat.
Penubuhan ini adalah penting bagi memastikan Batalion-batalion Infantri dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas dan peranan utama. Seiring dengan perkembangan tersebut, Markas Tentera Darat juga turut mencapai peningkatan dengan penyerapan jawatan-jawatan baru, khusus bagi pegawai-pegawai kanan, dalam usaha untuk meningkatkan kapisiti dasar serta sebagai sebahagian daripada usaha memantau implementasi perkembangan dan projek-projek Tentera Darat.
Markas juga turut berkembang selaras dengan perkembangan unit-unit di dalam TDDB. Bagi memastikan perlaksanaan operasi di peringkat taktikal berjalan mengikut sepertimana yang dirancang, Pusat Gerakan Darat (Land Operation Centre) telahpun ditubuhkan pada Januari 2015. Ianya memainkan peranan sebagai pusat Tentera Darat dalam menerima dan menyampaikan perintah, arahan serta menyalurkan maklumat kepada semua unit-unit operasi TDDB. Pusat ini juga menjadi penghubung utama ke Markas Angkatan Bersama khususnya dalam sudut operasi.
Selain dari perkembangan struktur organisasi, penumpuan peningkatan perkembangan lain yang telah diteruskan ialah penyeliaan projek-projek menaik taraf keupayaan Tentera Darat seperti menaik taraf kuasa tembakan taktikal seperti senjata Heavy Machine Gun (HMG) dan Anti-Tank Weapon jenis Recoiless Grenade Weapon (RGW). Selain dari itu, kenderaan jenis Ambulan Medan juga telah diserapkan ke Khidmat Perubatan. Dalam masa terdekat ini, TDDB juga akan merealisasikan perkembangan terhadap keupayaan taktikal lainnya seperti perolehan aset yang baru dan penggantian aset yang sudah lanjut usianya.
Menyentuh mengenai aspek kebajikan, ianya merupakan salah satu aspek yang dititikberatkan oleh TDDB. Justeru itu, TDDB telah mengambil inisiatif Sistem Tugasan Aktif Mandatori (STAM) yang pada masa ini sedang giat dijalankan bermula dari bulan Jun 2016. STAM adalah satu dasar yang dapat membantu menaikkan moral anggota-anggota infantri yang mana perancangan kerjaya yang lebih teliti dan sistematik telah dibuat dalam menjadikan perjalanan kerjaya lebih teratur bagi setiap anggota.
Dengan adanya STAM ini, kesemua platun di Kompeni Infantri akan diisi penuh dengan inisiatif tersebut. Manakala anggota yang sudah lama memegang pangkat sebagai Soldadu di platun telah dan akan ditukarkan ke jawatan-jawatan kosong di TDDB khususnya dan di ABDB amnya. Usaha dalam menjaga kebajikan anggota akan sentiasa diungkayahkan dan diusahakan dari masa ke semasa.
Perkembangan Institusi Latihan ABDB 2013-2017
Pada tahun ini, genaplah usia Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) ke-48 tahun sejak penubuhannya pada 7 April 1969. Unit ini memainkan peranan yang signifikan sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan kemahiran bagi anggota-anggota tentera dalam mencapai visi unit, iaitu untuk melahirkan individu terlatih dan profesional melalui latihan yang relevan dan realistik dalam memenuhi keperluan ABDB.
Unit ini terdiri daripada lima sub-unit, iaitu Kompeni Rekrut, Sekolah Infantri, Pusat Evolusi dan Sekolah Pertukangan Tentera. Manakala sub-unit Kompeni Pentadbiran pula merupakan tulang belakang Institut Latihan ABDB dalam memastikan segala keperluan pentadbiran harian dan latihan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam jangka masa lima tahun kebelakangan ini, IL ABDB telah pun menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang sangat positif dalam kemajuan latihannya. Antaranya, mengungkayahkan kursus-kursus baharu seperti Kursus Pegawai Kewangan ABDB, Kursus Asas Pegawai Logistik, Kursus Asas Logistik, Kursus Peningkatan Food Handling and Caterer, Kursus Penyelenggara Stor Peluru Unit, Kursus Kompeni Kuartermaster Sarjan, Kursus Pegawai Kenderaan dan Pegawai Waran Kenderaan, Kursus Pegawai Penguji Kelayakan bagi Kenderaan Tentera, Kursus Mortar Officer & Warrant Officer Command Post Operator & Mortar Fire Controller, Kursus Regional Signal Officer (RSO), Kursus Ketua Kompeni dan Kursus Batallion Tactic.
Tujuan pelaksanaan kursus-kursus tersebut adalah bagi memenuhi keperluan ABDB pada ketika ini, di samping menjadi inisiatif untuk melaksanakan kursus-kursus yang dulunya dilaksanakan di luar negara secara tempatan.
Pada tahun 2016, IL ABDB juga telah mengendalikan kursus Intermediate Officers Tactic Course (IOTC) dan Junior Officers Tactic Course (JOTC) bagi menggantikan format Peperiksaan Kenaikan Pangkat Pegawai-pegawai TDDB.
Sejajar dengan perkembangan latihan tersebut, IL ABDB telah mempraktikan penggunaan System Approach to Training (SAT) di dalam ABDB iaitu melalui pengeluaran SAT Handbook dan pengendalian Kursus SAT secara berperingkat kepada anggota ABDB.
Di samping itu, lantikan bagi Training Requirement Authority (TRA) bagi vokasyen masing-masing juga dilaksanakan. Dalam meningkatkan keupayaan jurulatih pula, Institut Latihan ABDB telah mengendalikan Kursus Instructor Development Program (IDP) untuk memastikan kualiti tenaga pengajar akan sentiasa relevan dan mempunyai standard yang tinggi. Ke arah itu, IL ABDB juga turut mengemaskini buku-buku latihan (handbook) ABDB mulai Ogos 2016 yang mana pelancaran buku-buku latihan bagi Institut Latihan ABDB telah dilaksanakan pada 7 April 2017 yang lalu.
Pada 19 November 2016, IL ABDB telah berjaya melakar sejarah apabila memperoleh pengiktirafan daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi Program NTec in Armament and Instrument Maintenance untuk anggota teknikal Teknisyen Armamen ABDB.
Program ini merupakan kolaborasi atau kerjasama latihan antara IBTE dan IL ABDB yang akan dijalankan selama dua tahun di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria dan Institut Latihan ABDB Penanjong Garison. Program NTec berkenaan sebanding dengan Level 3 berpandukan Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF). Program ini membolehkan anggota Teknisyen Armamen memperoleh kelayakan yang diiktiraf oleh kedua-dua institusi ABDB dan awam. Hal ini secara tidak langsung membolehkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam Kelayakan Kebangsaan.
Manakala pada bulan Mei 2017, kerjasama antara IBTE dan IL ABDB telah mencapai satu lagi mercu tanda dengan penerbitan program latihan yang menawarkan kelayakan dalam Kejuruteraan Automotif dengan kelayakan Sijil Pendidikan Teknikal Tertinggi Kebangsaan atau Higher National Technical Education Certificate (HNTec). Program HNTec berkenaan sebanding dengan Level 4 berpandukan Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF).
Pada Ogos 2016, IL ABDB telah menjemput Subject Matter Expert daripada Angkatan Bersenjata Republik Singapura dalam membantu mengemaskini dan meningkatkan modul latihan Kepimpinan dan Pengurusan yang dikendalikan oleh Cawangan Kepimpinan dan Pengurusan, Pusat Evolusi.
Transformasi yang amat ketara juga dapat dilihat dalam penstrukturan semula dan pengemaskinian pengendalian Latihan Asas Ketenteraan Rekrut Lelaki ABDB yang mana Sekolah Latihan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) akan memainkan peranan dalam menerapkan pengetahuan asas dan kemahiran ketenteraan mengikut jurusan dan bidang kerjaya yang diceburi.
Penstrukturan semula perjawatan IL ABDB telah dilaksanakan bagi memastikan IL ABDB lebih releven dan sustainable baik dalam hal pentadbiran mahupun perlaksanaan kursus-kursus dan latihan dalam memenuhi keperluan ABDB pada masa kini dan yang akan datang.
Pada awal tahun 2017 juga, IL ABDB menjadi Pengerusi Bersama kepada Regional Jungle Warfare Symposium (RJWS) 2017 pada 7 hingga 9 Mac 2017 dengan pihak British Forces Brunei (BFB). Sebanyak 11 buah negara telah menyertai simposium berkenaan termasuk Australia, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Simposium ini dirancang untuk dikendalikan pada setiap tahun. Kolaborasi tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman dalam pengendalian latihan ketenteraan serta bertukar pengetahuan dan perspektif mengenai spektrum latihan yang dijalankan.
Helikopter Blackhawk Sikorsky S70i
Helikopter Blackhawk Sikorsky S70i telah dilancarkan semasa Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa Negara Brunei Darussalam di BRIDEX kali ke-4 pada tahun 2013 menandakan satu lagi mercu tanda dalam usaha pemodenan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Selepas 40 tahun perkhidmatan di Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), seluruh armada helikopter Bell 212 telah ditamatkan perkhidmatan dan memberi laluan untuk Helikopter Blackhawk Sikorsky S70i baru yang dilengkapi dengan avionik dan sensor yang canggih.
Pesawat pelbagai peranan ini boleh melaksanakan pelbagai misi darat dan air, termasuk mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan, anti-lanun, pengangkutan anggota dan pemindahan perubatan, mengambil alih peranan Bell 212 dalam TUDB.
Pada September 2015, TUDB telah menyusun semula struktur organisasi dari lima bahagian kepada tujuh bahagian yang merangkumi No. 1 Wing (Operation Wing), No. 2 Wing (Air Regiment), No. 3 Wing (Support Wing), No. 4 Wing (Logistic Wing), No. 5 Wing (Maintenance Wing), No. 6 Wing (Administrative Wing), dan No. 7 Wing (Training Wing). Penyusunan semula ini termasuk penubuhan Support Wing dan pembahagian Unit Logistik TUDB kepada Logistic Wing dan Maintenance Wing.
Dengan struktur baru ini, TUDB juga telah menubuhkan tiga jawatan memerintah di atas tujuh bahagian Wing tersebut, iaitu Pemerintah Kumpulan Operasi, Pemerintah Kumpulan Bantu dan Pemerintah Kumpulan Latihan untuk mengukuhkan lagi peranan dan tanggungjawab semua bahagian.