Menelusuri rentetan peristiwa Jan-Feb 2021

Oleh Sim Y.H.

Semenjak penularan wabak COVID-19 pada tahun lalu dan berlarutan sehingga tahun ini, dunia dan tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam membuka lembaran baharu tahun 2021 dengan mengerahkan segala usaha ‘penyembuhan dunia’ yang penuh cabaran.

Sehubungan itu, menyoroti imbasan peristiwa bermula awal tahun, negara kita, pada 1 Januari 2021, mencatatkan sifar jangkitan tempatan COVID-19 dengan kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan pada 6 Mei 2020.

Pada tahun 2021 ini juga, Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN 2021 yang membawa tema, ‘We Care, We Prepare, We Prosper’ di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan agar keutamaan terus diberikan penekanan ke arah melaksanakan inisiatif-inisiatif yang membolehkan negara-negara ASEAN, khasnya ketika menghadapi sebarang krisis atau bencana pada masa-masa mendatang.

Sorotan peristiwa bulan Januari

Pada awal bulan Januari, negara kita telah digemparkan dengan berita kemunculan dua ekor buaya di dua buah lokasi berasingan iaitu Jalan Bebatik Kilanas pada 1 Januari dan di Masjid Kampung Kapok Kanan, Jalan Muara pada 2 Januari dengan kedua-dua ekor binatang itu berjaya ditangkap oleh anggota bomba dan penyelamat.

Meskipun negara masih di bawah ancaman penularan wabak, musim persekolahan 2021 telah dimulakan pada 4 Januari dengan pelbagai langkah telah dibuat bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan terus dipatuhi termasuk menggunakan pelitup muka dan pensanitasian tangan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Sekolah Penerbangan IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.
Hampir 4,000 peserta yang terdiri daripada 2,600 orang dalam acara perbarisan lalu dan lebih 1,200 orang dalam acara persembahan terlibat dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 yang penuh gilang-gemilang.
Panel suria yang dipasang di atas bumbung Ibu Pejabat BPC.

Sebagai salah satu usaha untuk menyokong inisiatif ke arah tenaga hijau, pada 5 Januari, Berakas Power Company Sdn Bhd (BPC) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengumumkan kejayaan pelaksanaan Sistem Fotovoltan (PV) atas bumbung pertamanya di Ibu pejabat BPC, Kampung Terunjing, Berakas.

BPC berhasrat untuk melaksanakan pemasangan solar PV dalam tahun-tahun akan datang dan juga untuk menyokong inisiatif Tenaga Hijau, Kementerian Tenaga bagi Daerah Temburong.

Pada 6 Januari, negara dikejutkan dengan berita warga asing yang membawa lari kereta bersama tiga orang budak. Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri berdepan detik-detik cemas apabila kenderaan bersama tiga orang anak mereka yang berada di dalamnya telah dilarikan seorang individu yang tidak dikenali dari sebuah kedai di kawasan Lumut, Sungai Liang. Tiga orang budak itu yang berusia empat hingga 10 tahun kesemuanya ditemui dalam keadaan selamat.

Pada 10 Januari, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui anggota peronda Balai Polis Bangar telah berjaya mematahkan percubaan menyeludup barangan tegahan ke dalam negara ini di kawasan Tanah Perkuburan Negalang Ering, Jalan Labu. Modus operasi menyorok barangan tegahan berupa rokok dalam tayar berjaya dibongkar.

Pada 27 Januari pula, PPDB mengesahkan penemuan mayat anak damit terapung di permukaan Sungai Kampung Kianggeh berdekatan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kianggeh di mana menurut kenyataan polis, mereka menerima laporan daripada talian kecemasan 993 pada pukul 1.45 petang.

Pada penghujung bulan Januari, penduduk di beberapa kawasan melaporkan mendengar satu bunyi letupan kuat dan mengalami sedikit gegeran dalam masa lima hingga lapan saat.

Berdasarkan komen-komen di laman media sosial dan laporan media, pengalaman pelik itu juga dirasakan di beberapa daerah di negara jiran seperti Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan. Punca bunyi dan gegaran kuat itu bagaimanapun belum lagi dikenal pasti.

Sorotan peristiwa bulan Februari

Pada 2 Februari, Baginda Sultan berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Politeknik Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei Kampus Bisnes dan Sekolah Penerbangan IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.

Baginda Sultan bertitah menyarankan supaya Politeknik Brunei sentiasa berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam meningkatkan mutu dan konsep membinanya yang memang diperlukan sepanjang masa itu.

Sebagai tanda jalinan kerjasama dua hala kukuh di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, Brunei telah menerima sumbangan vaksin Sinopharm dari China pada 9 Februari lalu.

Sumbangan berasaskan ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ itu juga menekankan kerjasama dua hala yang erat mencegah koronavirus dan komitmen memperkuatkan lagi kerjasama sempena memperingati ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik dua hala kedua-dua negara pada tahun ini.

Sebagai persediaan untuk menyambut Sambutan Hari Kebangsaan, pada 11 Februari diumumkan sambutan berkenaan diraikan dalam keadaan yang sedikit berbeza berbanding dengan sambutan-sambutan yang lalu iaitu dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19.

Untuk sambutan pada tahun ini, hampir 4,000 peserta yang terdiri daripada 2,600 orang dalam acara perbarisan lalu dan lebih 1,200 orang dalam acara persembahan terlibat dalam upacara perhimpunan agung yang diadakan pada 23 Februari di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Pada 21 Februari, menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, seramai 42 orang dicekup terlibat dalam kegiatan sabung ayam di Kampung Sungai Duhon, Kuala Belait. Dalam serbuan hasil kerjasama keanggotaan Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Kuala Belait, Seria, Panaga dan Balai Polis Sungai Liang telah berjaya menahan seramai 42 orang lelaki yang terlibat dalam kegiatan itu iaitu terdiri daripada tujuh warga tempatan, 21 penduduk tetap dan 14 warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 67 tahun.

Pada 23 Februari, semangat patriotisme segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dapat disaksikan dengan kehadiran ribuan peserta di ibu negara untuk sama-sama menunjukkan taat setia, dan hormat kepada raja dalam Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 yang penuh gilang-gemilang.

Ke arah mencapai visi dan misi bagi memastikan produk makanan di Negara Brunei Darussalam sentiasa selamat, bersih dan berkualiti, pada 26 Februari sebuah badan berkanun, Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) telah ditubuhkan sebagai pengawal selia dan competent authority ke atas keselamatan dan kualiti makanan di Negara Brunei Darussalam bermula 1 Januari 2021.