Oleh Yusrin Junaidi
Meskipun Negara Brunei Darussalam masih di bawah ancaman penularan wabak COVID-19, pelbagai pencapaian dan peristiwa yang dilalui oleh negara dapat dilihat sepanjang bulan Mac dan April 2021.
Sorotan peristiwa bulan Mac
Tahun 2021, Negara Brunei Darussalam telah banyak mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi antaranya seperti Mesyuarat Retreat Menteri-menteri Ekonomi kali ke-27 melalui persidangan video pada 2 Mac awal tahun ini. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Mesyuarat ini merupakan mesyuarat kali pertama diadakan bagi Menteri-menteri Ekonomi ASEAN pada tahun 2021 di bawah Pengerusi ASEAN Negara Brunei Darussalam 2021. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi dari 10 negara-negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Mesyuarat retreat itu telah mengesahkan 10 Hasil Keutamaan Ekonomi yang dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 dengan mengikut tema We Care, We Prepare, We Prosper.
Negara Brunei Darussalam mempunyai ekonomi yang bergantung tinggi pada sektor minyak dan gas, justeru penekanan perlu dilakukan kepada usaha untuk mempelbagaikan ekonomi serta meningkatkan eksport produk bukan minyak dan gas negara.
Sehubungan itu, usaha untuk menangani isu mempelbagaikan ekonomi dan eksport negara berkenaan bukan sahaja harus ditangani oleh generasi akan datang tetapi generasi sekarang, tegas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa perkongsian pada Sesi Dialog Usahawan Muda edisi ke-2 yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi pada 4 Mac 2021.
Ke arah itu, jelas beliau lagi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah melaksanakan pelbagai strategi agresif untuk membawa kepada perubahan yang positif pada ekonomi negara bagi membantu menyelesaikan beberapa isu mustahak di mana ia dapat diselesaikan dengan cepat jika semua pihak dapat bekerjasama sebagai sebuah negara melalui pendekatan seluruh negara.
Sesi dialog yang bertajuk, Towards a Dynamic and Sustainable Economy, dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) di mana ia merupakan platform bagi usahawan-usahawan muda untuk berinteraksi secara konstruktif dengan pegawai-pegawai kanan mengenai isu-isu berkaitan ekonomi dan ekosistem sebagai sebahagian daripada inisiatif YEAB bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan usahawan serta perniagaan.
Sesi dialog berkenaan menyentuh isu mengenai dengan Brunei Economic Blueprint, yang bermatlamat untuk menyokong perjalanan Brunei ke arah menjadi sebuah ekonomi dinamik dan mampan melalui enam laluan dasar dan aspirasi yang jelas termasuk mempunyai perniagaan atau perusahaan yang produktif dan bersemangat yang berdaya tahan dan mampu untuk memanfaatkan peluang-peluang ekonomi yang dijana oleh Revolusi Perindustrian Keempat serta sekali gus menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi negara.
Pada 5 Mac 2021, Pusat Belia baharu yang terletak di Kampung Bolkiah B telah dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pembangunan masyarakat terutama para belia melalui inisiatif seperti program peningkatan kemahiran.
Projek yang telah bermula sejak November tahun lalu melalui kerjasama antara Ristaan Abadi Initiative, Blue Raincoat Collective serta Pertubuhan Ukur,Jurutera dan Arkitek (PUJA). Sebuah unit kediaman telah diubah suai menjadi sebuah ruang moden dengan konsep terbuka, dilengkapi dengan perabot dan beberapa kemudahan lain, yang dijadikan tempat untuk mengadakan bengkel-bengkel dan acara yang memfokuskan kepada peningkatan kemahiran khususnya bagi para belia Kampung Bolkiah B.
Sekretariat ASEAN juga buat julung kalinya telah melancarkan ASEAN Development Outlook (ADO) pada 16 Mac, iaitu sebuah penerbitan serantau yang bertujuan untuk menunjukkan perkembangan pembangunan masyarakat rantau ASEAN serta mengenal pasti cabaran-cabaran utama berpandukan amalan-amalan terbaik bagi masa hadapan.
Edisi 2021 ADO memfokuskan kepada pembangunan inklusif dan mampan ASEAN melalui empat bidang utama, iaitu Identiti ASEAN, Alam Semula jadi dan Alam Bina, Sumber Pendapatan, dan Kebajikan dan Kesihatan Sosial, bagi membantu dalam memandu dan memberikan hala tuju kerjasama serantau, serta pembentukan visi Komuniti ASEAN bagi tahun-tahun seterusnya.
Penerbitan ADO dihasilkan bersama oleh Universiti Cambridge dan Sekretariat ASEAN di bawah ASEAN Senior Official Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (SOMRDPE), dengan kerjasama negara-negara ASEAN, badan-badan sektoral di bawah tunggak-tunggak Komuniti ASEAN dan rakan-rakan strategik ASEAN. Penerbitannya telah dibiayai oleh Dana Kerjasama ASEAN-China (ACCF)
Pencapaian dalam penerbitan ADO adalah sangat bertepatan, khususnya dalam tahun yang mencabar disebabkan pandemik COVID-19. Ia juga akan menambah nilai terhadap pelaksanaan tugas ASCC ke arah pembangunan ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Sorotan peristiwa bulan April
Pada 1 April, pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah berkenan menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19.
Dengan suntikan dos pertama itu, Baginda Sultan juga telah memperkenankan bagi Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 untuk mula dibukakan kepada orang ramai secara berperingkat-peringkat mulai dari hari Sabtu, 3 April ini.
Negara Brunei Darussalam juga mementingkan mengenai dengan kesedaran kanser payudara, di mana Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Brunei Breast Cancer Support Group (BBCSG) telah mengadakan sesi perkongsian mengenai kanser payudara bagi pegawai-pegawai dan kakitangan AMBD pada 13 April.
Tujuan perkongsian tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara melalui penerangan sains di sebalik terjadinya kanser tersebut.
Selain itu, ia juga untuk mengongsikan langkah-langkah boleh diamalkan untuk pencegahan dan pentingnya membuat pemeriksaan sendiri dan klinikal dari semasa ke semasa.
Manakala pada 13 April 2021 juga, rakyat dan penduduk di negara ini yang beragama Islam buat pertama kali dalam musim penularan COVID-19 dapat sama-sama melaksanakan solat sunat Tarawih pada malam pertama bulan Ramadan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Pada hari yang sama, majlis Tadarus Al-Quran di Masjid-masjid, Surau dan Balai Ibadat di seluruh negara bermula dengan majlis pembukaan yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Majlis pembukaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, diikuti dengan Tadabbur Al-Quran oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Yussof bin Haji Majid sebelum tadarus Al-Quran dimulakan dari Surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian.