Oleh Lenna N.B.
Gambar Oleh Muiz Matdani
BANGUNAN ini merupakan sebuah bangunan di mana tersimpannya peninggalan sejarah Adat Istiadat Perpuspaan Diraja, Salasilah Raja-Raja Brunei, bibliografi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-29, alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja, pesambah-pesambah para pemimpin dan rakyat khas untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia, serta adat-istiadat diraja yang diwarisi sejak turun-temurun.
Terletak di tengah-tengah ibu negara, bangunan ini mempunyai sejarah mencecah 25 tahun sejak ia dibuka rasmi pada 30 September 1992 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Reka bentuk bangunan ini menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja yang kini telah menjadi salah satu mercu tanda di ibu negara, Bandar Seri Begawan serta tarikan pelancong sebagai salah satu lokasi yang mesti dikunjungi ketika berada di negara ini.
Penukaran nama
Sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam Menaiki Takhta, Baginda Sultan telah memperkenankan penukaran nama Bangunan Alat Kebesaran Diraja kepada Muzium Alat Kebesaran Diraja mengambil sukut baik genap 50 tahun Baginda di atas singgahsana.


Dengan penukaran nama ini juga, Muzium Alat Kebesaran Diraja telah mengalami satu perubahan yang ketara, lebih berunsurkan interaktif dan mesra pengunjung. Antaranya adalah menaiktarafkan dan penambahan nilai pameran-pameran dengan menggunakan kaedah yang terkini selaras dengan zaman teknologi dan kualiti muzium-muzium di luar negara, iaitu melalui penataan cahaya dan kesan bunyi, menggunakan aplikasi IT, teknologi mesra sentuh bagi menaiktarafkan penyampaian maklumat dan pendidikan, sonic ray, projektor-projektor, rakaman-rakaman video asal yang berkenaan dengan pameran membawa pengunjung menikmati dan menghayati perjalanan sejarah penting adat istiadat diraja dan pengemaskinian dari segi teks penerangan pameran-pameran, label-label dan panel maklumat.
Perubahan dan penaiktarafan ini secara langsung turut meningkatkan pengalaman pengunjung, menarik lebih ramai golongan muda dan kanak-kanak menyaksikan serta memahami sejarah-sejarah adat istiadat diraja, menanamkan semangat cinta kepada warisan negara yang diperturunkan dari generasi kepada generasi, malah mendorong rasa kasih, taat setia rakyat kepada raja, agama, bangsa dan negara.
Sekitar galeri pameran
Ketika melangkah ke ruang pintu utama muzium, penulis terpegun seketika melihat Usongan Diraja yang bersulamkan corak-corak tradisi Brunei berwarna keemasan dipamerkan di ruang tengah muzium, sementara cahaya luar dari cermin-cermin lut sinar bangunan masuk memancar ke dalam bangunan seakan menyinarkan lagi keindahan seni Usongan Diraja tersebut.
Reka bentuknya melambangkan kebesaran, kepimpinan, keperwiraan dan kemuliaan raja yang menaiki usongan tersebut, mengimbas detik Kebawah Duli Yang Maha Mulia diarak semasa Istiadat Perarakan Diraja mengelilingi Bandar Brunei (sekarang Bandar Seri Begawan) sebagai sebahagian Adat Istiadat Perpuspaan Diraja pada 1 Ogos 1968.
Di Galeri Pameran Diraja pula merangkumi bibliografi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa kecil, hinggalah Baginda Sultan ditabalkan menjadi Sultan Brunei yang ke-29, pameran replika Pataratna dan alat-alat kebesaran diraja yang berkaitan dengan istiadat perpuspaan antaranya adalah Mahkota Baginda Sultan, Mahkota Raja Isteri, Keris Sinaga, Cogan Istiadat, Cogan Ugama, Tongkat Ajai, Kuching Emas dan sebagainya, rata-rata diperbuat daripada emas.
Sementara itu, Galeri Pameran Jubli Perak mengetengahkan Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada tahun 1992 yang mempamerkan Usongan Diraja yang digunakan sebagai kenaikkan semasa perarakan Baginda Sultan di ibu negara diiringi dengan pembawa alat-alat kebesaran diraja seperti senipit, taming, cangkah, perhiasan tunggal, pedang, perisai, tombak benderangan dan sebagainya.



Seterusnya, pengunjung akan melalui replika Pemajangan Istana yang dihiasi dengan alat-alat perhiasan diraja dan bendera-bendera aneka jenis serta warna semasa adat istiadat diraja dilangsungkan hinggalah tiba di ruang Balai Singgahsana Indera Buana, di mana pengunjung dapat melihat kegemilangan sambutan Jubli Perak melalui gambar tetamu-tetamu khas yang hadir semasa majlis Istiadat Mengadap dan Persantapan di Istana Nurul Iman.
Pameran ini seakan-akan membawa pengunjung mengalami satu peristiwa sejarah 25 tahun lalu, ketika Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta diraikan penuh gemilang dan adat istiadat yang menjadi ristaan hingga ke hari ini dan generasi seterusnya.
Ruang-ruang dalam muzium turut mempamerkan Pesambah-Pesambah yang dipersembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh raja-raja dan sultan, pembesar-pembesar negara, institusi-insitusi dan organisasi-organisasi dan juga rakyat jelata sepanjang tempoh pemerintahan Baginda melambangkan persahabatan dan keeratan silaturahim yang terjalin.
Galeri Pameran Jubli Emas
Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta, sebuah galeri pameran baru telah dibukakan iaitu ‘Galeri Pameran Jubli Emas; Lima Dekad Di Atas Takhta Kerajaan’ yang mempamerkan 50 tahun sejarah perkembangan dan peristiwa penting sepanjang pemerintahan Baginda.
Dari Baginda ditabalkan menjadi Sultan pada 5 Oktober 1967, perlangsungan Istiadat Pertabalan di Balai Singgahsana Istana Darul Hana, diikuti dengan peristiwa usaha Baginda menuju ke arah kemerdekaan, hingga Brunei mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984, peristiwa pada malam perisytiharan, diikuti dengan jalinan persahabatan antarabangsa bagi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang antaranya adalah politik, perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan sosial apabila Baginda membawa negara menyertai pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Negara-Negara Komanwel (The Commonwealth) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Seterusnya mempamerkan kemajuan pembangunan di setiap daerah, seperti sekolah-sekolah, masjid-masjid, pusat-pusat perubatan, perumahan-perumahan dan sebagainya.



Perintah mempertegakkan syiar Islam di negara ini, peranan belia-belia yang mula dititikberatkan, serta banyak lagi sumbangan Baginda termasuk cita-cita Baginda dalam mencapai Wawasan 2035.
Ringkasnya, galeri pameran ini memperlihatkan usaha jerih payah Baginda dalam menyumbang bakti kepada bangsa, agama dan negara sepanjang pemerintahan 50 tahun ini, melambangkan peribadi Baginda sebagai pemimpin yang sungguh prihatin dan berjiwa rakyat, sentiasa menjadi khalifah di tanah Darussalam yang dikasihi dan dicintai.
Lebih 100,000 pengunjung
Sejak penubuhannya, Muzium Alat Kebesaran Diraja ini telah diberi dua penghormatan iaitu ‘Best Attraction’ pada Asia Travel and Tourism Creative Awards 2006 dan ‘Certificate of Excellence for the Year 2012’ daripada TripAdvisor for Business. Muzium ini juga menjadi Mercu Tanda ASEAN sempena Penandaan Ulang Tahun ke-50 ASEAN pada 8 Ogos 2017.
Jumlah pengunjung telah dicatatkan mencapai 100,000 orang setahun sejak lapan tahun mutakhir ini, dan lebih 70 peratus daripada jumlah pengunjung terdiri daripada pelancong-pelancong luar negara.
Muzium Alat Kebesaran Diraja ini dilihat sebagai penyimpan ristaan dan peristiwa penting adat-istiadat diraja, menjadikan pengunjung lebih rapat dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang tidak pernah letih menerajui pembangunan negara.
Melalui transformasi-transformasi yang telah dilakukan, Muzium Alat Kebesaran Diraja bercita-cita untuk menarik lebih ramai generasi kita sama-sama menghayati kepimpinan Baginda, setentunya melahirkan generasi yang taat setia kepada pemimpin Darussalam, untuk sama-sama berjuang demi keharmonian dan kejayaan bangsa, agama, dan Negara.