Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menerapkan budaya membaca, asas penyuluh masyarakat berilmu

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    MASA itu emas, begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan betapa berharganya nilai masa itu.

    Ia akan tetap berlalu dan tidak akan berulang lagi walau sesaat. Ia akan terus bergerak tanpa henti mengelilingi kehidupan kita di alam fana ini.

    Alangkah indahnya sesebuah kehidupan itu jika ia dihiasi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

    Beruntung dan berjayanya seseorang individu apabila ia mengutamakan pengurusan masa dengan sebaik-baiknya melalui perlaksanaan amalan yang berfaedah.

    Tapi jika sebaliknya, maka itulah orang-orang yang lalai dan rugi sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Asr, ayat 1 hingga 3 yang kira-kira tafsirnya.

    Antara kanak-kanak yang menyertai aktiviti membaca bersama dan kraftangan anjuran DBP Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Antara murid dan juga penjaga mereka yang hadir bagi menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh DBP Daerah Tutong.
    Dayang Massuriawati menjelaskan bahawa dengan adanya penglibatan kanak-kanak dan muda-mudi dalam aktiviti sepanjang cuti persekolahan sebegini, ia sememangnya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta mendidik mereka erti ikatan silaturahim yang sebenar.

    “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

    Hal ini jelas membuktikan bahawa agama Islam juga menggalakkan umatnya supaya mengurus masa dengan bijaksana, lebih-lebih lagi apabila memiliki masa yang terluang.

    Oleh itu, dengan matlamat untuk mendidik generasi muda agar sentiasa memanfaatkan masa lapang dengan sebaik-baiknya, seluruh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negara ini yang merupakan sebuah institusi perpustakaan awam tidak kendur-kendur berusaha dalam mengungkayahkan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang dan menambah ilmu pengetahuan para pelajar melalui kegiatan luar sekolah.

    Oleh yang demikian, Perpustakaan DBP Daerah Tutong juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan yang proaktif dan efektif serta efisien dalam mengelolakan pelbagai aktiviti yang menarik.

    Aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah dibukakan kepada orang ramai yang terdiri dari peringkat kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun dan golongan muda-mudi pula dalam lingkungan umur 12 tahun ke atas.

    Baru-baru ini, wartawan Minda berkesempatan untuk meninjau suasana kemeriahan aktiviti cuti persekolahan yang dilaksanakan oleh Perpustakaan DBP Daerah Tutong antaranya ialah aktiviti membaca bersama dan kraftangan.

    Semai sikap tidak membuang masa

    Manakala atendan perpustakaan di Perpustakaan DBP, Daerah Tutong, Dayang Massuriawati binti Salleh menjelaskan bahawa setiap kali berlangsungnya cuti penggal persekolahan pastinya pelbagai aktiviti yang bermanfaat akan diungkayahkan oleh pihak perpustakaan setiap cawangan perpustakaan DBP di negara ini termasuklah cawangan perpustakaan di daerah ini.

    “Apa yang kami hasratkan sepanjang musim cuti persekolahan ini, generasi muda khususnya kanak-kanak dan muda-mudi sentiasa menyemai sikap tidak membuang masa dengan menjauhi kegiatan-kegiatan yang boleh mendorong kepada kelalaian dan memberi impak negatif seperti taksub terhadap permainan dalam talian atau menggunakan aplikasi rangkaian media sosial.”

    “Selain itu, penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti sebegini sememangnya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta mendidik mereka erti ikatan silaturahim yang sebenar sama ada dengan rakan-rakan yang dikenali mahu pun baru dijumpai,” tambahnya dengan penuh keyakinan.

    Dayang Aryesha Nur’ Zara menyatakan aktiviti kraftangan sebegini merupakan salah satu aktiviti yang diminatinya pada waktu lapang dengan bantuan ibu tersayang.
    Dayang Jamilah berpendapat ibu bapa atau penjaga sememangnya mempunyai peranan yang terpenting dalam memberi galakan positif kepada anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti yang mampu memberikan impak positif dalam perkembangan kemahiran anak-anak.
    Antara koleksi buku-buku bacaan bagi peringkat kanak-kanak dan muda-mudi yang disediakan di DBP Daerah Tutong.

    Mendidik diri

    Salah seorang peserta yang menyertai aktiviti membaca tersebut, Awang Eflin Snadenell bin Bilin mengemukakan perasaan teruja dan gembira kerana berpeluang untuk mengikuti aktiviti membaca buku bersama rakan-rakan baharu di perpustakaan itu.

    “Apa yang dapat saya pelajari dari salah sebuah buku yang telah dibaca ialah dalam kita menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini, kita mestilah sentiasa mengamalkan sifat sabar tidak kira sebagai seorang anak, murid dan juga sahabat,” jelasnya lagi yang merupakan murid Tahun 4 di Sekolah Rendah Bukit Udal, Daerah Tutong dengan nada penuh keceriaan.

    Kreativiti berkonsepkan kampung halaman

    Selain itu, salah seorang peserta kanak-kanak perempuan yang menuntut di Sekolah PERTAMA Tutong, Dayang Syafirah binti Azaman turut mengungkapkan perasaan seronok kerana berjaya menyelesaikan aktiviti kraftangan bersama adik-beradik dan juga teman-teman yang baru dikenalinya.

    “Apa yang saya hasilkan ialah menggambarkan suasana kampung halaman,” ujarnya lagi yang kini sedang menduduki kelas Tahun 3 dengan senyuman manis.

    Manakala bagi Dayang Aryesha Nur’ Zara iaitu salah seorang peserta yang kini berusia lima tahun yang sedang menuntut di Sekolah Rendah Muda Hashim Tutong menyatakan bahawa aktiviti kraftangan sebegini merupakan salah satu aktiviti yang diminatinya semasa waktu lapang dengan bantuan ibu tersayang.

    “Nanti saya akan terus mengikuti aktiviti sebegini apabila tibanya musim cuti persekolahan bersama kawan-kawan yang lain,” tambahnya lagi yang merupakan murid pra dengan penuh keterujaan.

    Lebih berkeyakinan dan berani

    Suasana kemeriahan juga semakin dapat dirasai apabila sokongan dan dorongan daripada pihak ibu bapa dan penjaga amat memberangsangkan dan menggalakkan, yang mana kebanyakan mereka turut serta dalam memeriahkan aktiviti-aktiviti yang disertai oleh anak-anak mereka dengan penuh kegembiraan.

    Dalam pada itu, Dayang Jamilah binti Haji Tahir bersama empat orang anak beliau yang menyertai aktiviti kraftangan tersebut menjelaskan bahawa para ibu bapa atau penjaga sememangnya mempunyai peranan yang terpenting dalam memberi galakan secara positif kepada anak-anak mereka untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang mampu memberi impak yang begitu baik dari segi perkembangan kemahiran dalam diri anak-anak seperti dari segi tahap komunikasi dan juga daya pemikiran serta nikmatnya sebuah pengalaman dalam kehidupan.

    Dayang Sawadah menyatakan budaya membaca adalah sangat penting untuk meningkatkan kefasihan dan kelancaran anak-anak menyebut perkataan-perkataan yang mudah sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks tidak kira dalam Bahasa Melayu mahu pun Bahasa Inggeris.

    Antara peserta kanak-kanak yang mengikuti aktiviti membaca buku di DBP Daerah Tutong, baru-baru ini.

    “Apa yang saya harapkan kepada anak-anak agar mereka akan sentiasa bergerak proaktif dari semasa ke semasa bukan sahaja sewaktu sesi pembelajaran di sekolah, malah juga di luar bidang akademik demi untuk menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan berani dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang,” jelas beliau lagi yang juga merupakan seorang guru di salah sebuah sekolah rendah di negara ini dengan penuh komitmen yang tinggi.

    Menaikkan semangat anak-anak

    Di samping itu, Dayang Sawadah binti Haji Tahir bersama suami beliau turut menyatakan bahawa dengan mengikuti aktiviti membaca bersama ini sudah setentunya merupakan masa untuk menaikkan semangat anak-anak terutama dalam menerapkan budaya membaca dalam kehidupan sehari-hari.

    “Hal ini amat penting disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi demi untuk meningkatkan kefasihan dan kelancaran mereka menyebut perkataan-perkataan yang mudah sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks tidak kira dalam Bahasa Melayu mahu pun Bahasa Inggeris,” jelasnya lagi.

    Perlu keseimbangan

    Ujar Dayang Massuriawati lagi, sambutan daripada para ibu bapa di daerah ini dilihat amat menggalakkan, di mana kebanyakan mereka telah memberikan sokongan dan dorongan sepenuhnya kepada anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh pihak perpustakaan.

    “Selain dari bermatlamat untuk memperkasakan budaya membaca, adalah besar harapan kami selaku pihak perpustakaan untuk melihat generasi muda kini mampu mengimbangi aktiviti bersifat indoor dan outdoor dengan sewajarnya meskipun zaman semakin dipenuhi dengan multimedia,” jelasnya dengan penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Minda, baru-baru ini.

    Oleh yang demikian, pengawalan dan pemerhatian daripada ibu bapa adalah amat penting sebagai pencetus kejayaan anak-anak untuk menyertai pelbagai aktiviti yang begitu bermanfaat, di samping sentiasa mengawal tindak-tanduk mereka daripada terjebak kepada kegiatan yang tidak sihat sehingga bertentangan dengan ajaran agama Islam.

    Ketahuilah pepatah Arab ada mengatakan ‘masa itu adalah ibarat pedang’, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita.

    Oleh itu, menghargai masa itu adalah amat penting kerana ia adalah aset yang bernilai dalam kehidupan kita dan ia tidak boleh diputar kembali walau sedetik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda