Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meneroka hotel terbaik di New York

    NEW YORK – Terdapat ratusan hotel di bandar raya ini yang terletak di kawasan, gaya dan kemudahan yang berbeza.

    Menyedari akan fungsi hotel pada abad ini bukan sahaja menjadi tempat penginapan, maka semakin banyak hotel yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik sekiranya pengunjung tidak berhasrat untuk tinggal bermalam di dalam bilik yang ditawarkannya dan antaranya adalah seperti menikmati makan malam dengan suasana yang indah atau hanya meluangkan masa di ruangan lobi yang jelas cukup menenangkan.

    Berikut adalah dikongsikan antara lima hotel terbaik di Manhattan yang menawarkan ciri-ciri keunikannya yang tersendiri.

    Menyingkap sejarah

    Baru dibuka pada tahun lalu, restoran Temple Court yang ada di dalam Hotel Beekman di Jalan 123 Nassau cukup terkenal dalam kalangan pengunjung yang berhasrat untuk menghilangkan rasa lelah selepas bekerja sambil menikmati hidangan.

    Keistimewaan bangunan hotel itu adalah tapak bangunannya yang telah dibina seawal tahun 1881 namun hanya dibiarkan kosong sebelum pihak pengurusan hotel mengusahakan kerja-kerja pemulihan dan seolah-olah berjaya menghidupkan kembali suasananya.

    Hotel Baccarat jelas menjanjikan pengalaman mewah kepada pengunjungnya bersesuaian dengan pengusahanya yang terkenal dalam menghasilkan kristal yang berkualiti. – AP

    Di samping itu, ruangan atrium setinggi sembilan tingkat turut menampilkan dekorasi indah terutama pada susunan pagar besi pada balkoni.

    Tatkala menjejakkan kaki di ruangan lobi, para pengunjung setentunya akan terpana ketika melangkahkan kaki di karpet oriental yang menawarkan pengalaman yang eksotik terutama apabila ia menghala ke arah potret Edgar Allan Poe di mana ia secara tidak langsung mengimbas kembali pada Persatuan Perpustakaaan Mercantile yang menjadi medan perkumpulan bagi Poe dan penulis-penulis terkemuka di dunia pada abad ke-19.

    Mengekalkan keceriaan

    Walaupun merupakan sebahagian daripada pengurusan Marriott, Hotel Moxy telah direka dengan konsep yang lebih ceria dan menyeronokkan namun masih tetap mengekalkan prestasinya.

    Mula dibuka pada September lalu, hotel yang terletak di 485 Seventh Ave itu telah dijadikan sebagai taman permainan bagi golongan dewasa di mana mereka berpeluang untuk mengikuti kelas interaktif seperti mengimbangi diri pada kuasa graviti.

    Bahkan di ruang bumbung hotel tersebut turut menawarkan beberapa jenis permainan lain seperti karousel, mini golf dan juga pemandangan indah yang menghala ke arah Bangunan Empire State.

    Ruang menarik

    Bersantai merupakan antara aktiviti yang cuba untuk diraih oleh kebanyakan pengunjung ketika berkunjung ke hotel dan ia tidak terkecuali bagi Hotel Public yang turut menawarkan konsep tempat duduk bertemakan seperti stadium di mana mereka berpeluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

    Malah sekiranya anda berhasrat untuk menghirup udara yang segar, terdapat juga sebuah taman yang menampilkan panorama indah dan segar di mana ia setentunya akan dapat memberikan rasa ketenangan kepada pengunjungnya.

    Sebanyak 6,000 buah buku tersimpan di dalam Hotel Library. – AP
    Ruangan atrium Hotel Beekman menampilkan tema sejarah dan cukup mengagumkan dengan binaan strukturnya yang mencecah sehingga sembilan tingkat. – AP

    Tema istimewa

    Terdapat 6,000 buah buku yang tersimpan dalam Hotel Library di mana para pengunjung akan berpeluang untuk melihat kehadiran buku di dalam lobi, bilik tidur, restoran dan bilik bacaan.

    Hotel Library itu terletak di 299 Madison Ave yang berhampiran dengan kawasan Perpustakaan Awam New York di mana terdapat beberapa buah bilik di dalam hotel menawarkan panorama yang menghala ke arah perpustakaan tersebut.

    Menariknya kesemua buku yang tersimpan di dalam Hotel Library ini dikawal melalui sistem Dewey Decimal yang menggunakan urutan nombor tertentu bagi mengklasifikasikan kategori dan jenis buku yang disimpan mengikut bidang tertentu seperti teknologi, sains sosial, sastera dan sebagainya.

    Malah bilik-bilik yang ditawarkan di dalam hotel tersebut juga mengikut kepada bidang tertentu mengikut kepada kategori pada buku yang tersimpan di dalam sesebuah bilik itu.

    Alami kehidupan mewah

    Bagi yang mengetahui akan Baccarat mungkin akan mengetahui bahawa syarikat itu memang cukup terkenal dalam menghasilkan kristal Perancis yang terbaik di dunia.

    Hakikatnya, syarikat tersebut juga turut menguruskan sebuah lagi tempat penginapan, Hotel Baccarat yang telah beroperasi sejak tahun 2015 di Jalan 28 W. 53rd berdekatan dengan Muzium Seni Moden.

    Bersesuaian dengan produk utama kepada syarikat itu Hotel Baccarat yang dihiasi dengan lampu Kristal indah itu setentunya menawarkan pengalaman penginapan berkonsep mewah di mana kadar sewa terendah bagi penginapan semalam adalah mencecah sehingga AS$855. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda