JOHANNESBURG – Wakanda sebagaimana yang ditonjolkan dalam filem Black Panther berjaya mendapat sambutan menggalakkan telah berjaya mencipta perspektif baru kepada Afrika apabila mempamerkan elemen kemajuan, landskap menakjubkan dan sebuah bandar raya berkonsepkan futuristik.
Hakikatnya, apa yang ditonjolkan adalah satu rekaan semata-mata namun masih banyak tempat menarik untuk diterokai dan dikunjungi di benua Afrika.
“Filem ini banyak menonjolkan sisi menarik mengenai kebudayaan dan puak Afrika,” jelas Meruschka Govender, seorang peminat Black Panther yang sering mendokumentasikan kembaranya di Afrika sehingga dikenali sebagai aktivis kembara Afrika.
“Saya sangat kagum dengan kostum futuristik, cara penerbitan dan tema yang ditonjolkan dalam filem itu dengan harapan agar ia dapat mengubah perspektif individu terhadap pengembaraan ke Afrika sekali gus memberikan inspirasi untuk menerokainya sendiri,” tambahnya.
Johannesburg
Terletak di Afrika Selatan, Johannesburg merupakan sebuah tempat terbaik untuk memulakan aktiviti kembara di benua itu.

Ia merupakan sebuah bandar raya dinamik, kosmpolitan, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti perdagangan, arkitektur yang berkembang maju serta menawarkan pelbagai hiburan yang hampir menyamai Wakanda dalam filem Black Panther.
Gautrain, keretapi berkelajuan tinggi boleh menghubungkan pelancong dengan cepat dari Lapangan Terbang O.R. Tamba menuju ke pusat kewangan terkemuka di Johannesburg, Sandton yang sangat dikenali dengan bangunan pencakar langit.
Seperkara yang lebih menarik adalah apabila keretapi itu memiliki tahap kepantasan tinggi, bersih dan juga sangat mudah digunakan.
Daerah Braamfontein pula ibarat sebuah bandar hipster, moden dan menawarkan pelbagai hiburan yang menarik.
Golongan muda setentunya berasa seronok untuk berada di bandar ini kerana ia menawarkan deretan kafe, restoran dan juga butik.
Jambatan Nelson Mandela yang menghubungkan terus ke pusat bandar Johannesburg jelas menjadi salah satu tarikan di kawasan itu.
Suatu ketika dahulu Daerah Braamfontein adalah suatu tempat yang suram dan kini ia telah berubah menjadi sebuah tempat menarik untuk dikunjungi.
Sementara, Rocky Street pula mengumpulkan barang-barang jualan menarik hasil buatan tangan tempatan yang unik dan tersendiri.
Lesotho
Filem aksi adiwira jelas menonjolkan kehebatan landskap kemajuan Afrika dan keseimbangan dengan suasana perkampungan secara fiksyen.
Kawasan pergunungan Lesotho, memiliki suasana perkampungan yang tetap mengekalkan kehidupan tradisi serta budaya yang tersendiri.
Lesotho memang memiliki panorama indah menghala ke kawasan pergunungan, tempat tinggal yang diperbuat daripada bahan-bahan mudah ditemui dalam alam sekitar.


Antara lain yang turut mendapat perhatian di kawasan itu adalah topi berbentuk kon dan selimut berwarna terang yang turut ditampilkan dalam filem aksi adiwira tersebut.
Lebih menarik lagi apabila barangan-barangan tersebut adalah hasil kreativiti penduduk tempatan sendiri.
Etiopia
Menawarkan beberapa tapak peninggalan sejarah seperti menara dan gereja yang dipercayai dibina seawal abad keempat.
Lebih menarik lagi apabila, negara itu juga tidak pernah dijajah dan ia setentunya menjadi satu kebanggaan kepada penduduknya sebagaimana yang ditonjolkan dalam filem aksi itu ketika kemerdekaan diisytiharkan terhadap Wakanda.
Antara keistimewaan Etiopia adalah pakaian jubah bersulam dan rasa kopinya yang unik dan tersendiri.
Sementara air terjun Victoria Falls yang terletak di antara sempadan Zambia dan Zimbabwe pula merupakan satu air terjun terbesar di dunia di mana ia memiliki tahap ketinggian 106 meter
Berada di kawasan air terjun setentunya cukup menenangkan tambahan lagi ia menawarkan suasana alam semulajadi yang sangat indah.
Kenya
Ibu negara Nairobi ini juga cukup menarik untuk dikunjungi kerana ia menawarkan pengalaman indah yang membawa seolah-olah pengunjung berada di kawasan kampung dan bandar.
Taman Kebangsaan Nairobi yang terletak kira-kira 6.4 kilometer dari kawasan bandar raya memberi peluang kepada para pengunjung untuk melihat pelbagai spesies badak, zirafah dan gajah secara lebih dekat.
Manakala kawasan savana di Afrika Timur pula memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat rimbunan-rimbunan pokok akasia yang memiliki struktur tumbuhan yang sangat unik. – AP