Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meneroka keindahan Nepal ketika musim sejuk

    Oleh Helen Thu

     

    SETELAH berkunjung beberapa kali ke Nepal pada musim panas dan awal musim sejuk, kali ini saya telah memilih untuk ke sana pada bulan Januari, bulan yang dikatakan paling sejuk.

    Suhu di ibu negara, Kathmandu antara 3-15 darjah Celsius, dengan keadaan lebih sejuk pada waktu malam dan awal pagi.

    Seperti lawatan-lawatan sebelum ini, urusan permohonan visa semasa ketibaan sangat mudah dan cepat. Mengambil bagasi tergantung kepada bilangan penerbangan yang tiba. Walau tiba lewat malam atau subuh, pengangkutan awam seperti teksi sentiasa ada menunggu di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Nepal.

    Kali ini, berikutan Nepal berada di musim sejuk, saya tidak ada sebarang perancangan untuk pergi ke daerah pergunungan seperti lawatan yang dilakukan sebelum ini. Tempat seperti Muktinath yang berada di kaki gunung Thorong La dalam daerah Mustang yang setinggi 3749 meter di atas paras laut adalah terlalu sejuk untuk dikunjungi. Seawal Oktober kawasan tersebut sudah diliputi salji. Antara tempat yang saya lawati kali ini ialah perkampungan Kakani yang mengambil masa lebih kurang satu jam lebih perjalanan kereta dari Kathmandu. Kakani setinggi 2,073 meter di atas paras laut dan di beberapa tempat strategik kita boleh melihat pemandangan banjaran gunung Himalaya yang cukup mengagumkan.

    Di sini juga terdapat penternak ikan trout dan ladang buah strawberi yang berjaya menghasilkan 250,000 kg strawberi setahun. Buahnya agak kecil tetapi sangat manis.

    Restoran dan kolam penternakan ikan Rainbow Trout.
    Kotak-kotak penternakan madu lebah di kawasan kebun sayur.

    Banjaran gunung Himalaya yang boleh dilihat setiap hari di musim sejuk.
    Penulis bersama seorang pelajar setempat ketika melawat Kakani Memorial Park.

    Meneroka kehidupan masyarakat

    Kakani juga popular bagi pelancong yang suka kegiatan mendaki. Kita akan berpeluang bertemu dan melihat kehidupan salah satu puak etnik Nepal iaitu Tamang yang banyak mendiami kawasan ini. Selain itu terdapat Kakani Memorial Park yang dibina oleh pihak Thai Airways sempena memperingati 113 nyawa yang terkorban dalam nahas udara pesawat Thai pada 31 Julai 1992.

    Dari Kakani, keesokan paginya saya telah pergi ke daerah yang menjadi tumpuan para pelancong iaitu Pokhara. Perjalanan selama enam jam sangat selesa. Perjalanan untuk sampai ke Pokhara tidak menentu, tergantung kepada keadaan lalu lintas dan apabila berlaku kerja-kerja pembaikan jalan, ia boleh melambatkan perjalanan sehingga sembilan jam. Di Pokhara inilah berbagai-bagai aktiviti seperti paragliding, rafting, bungee jumping dan banyak lagi dijalankan. Pada musim sejuk,sebahagian daripada mereka yang tinggal di kawasan pergunungan seperti di Muktinath akan datang ke Pokhara. Ini disebabkan cuaca di sini tidak sesejuk sebagaimana daerah lain.

    Saya telah melawat ke sebuah kampung sejauh 16km di luar Pokhara. Pekerjaan utama penduduk kampung tersebut ialah bidang pertanian. Di musim sejuk ini banyak tanaman mustard kelihatan menguning di kampung ini. Sebahagian penduduk kampung juga menternak madu lebah. Lebah tersebut bebas terbang menikmati debunga yang tumbuh di kawasan hutan berhampiran. Hasil madu dijual dengan harga yang murah sedikit berbanding yang telah diproses dan dijual di kedai atau pasar raya.

    Cita rasa Nepal

    Untuk makan tengah hari kawan saya telah membawa saya ke sebuah restoran yang memelihara ikan jenis Rainbow Trout. Kolam dan air tempat ikan itu diternak sangat bersih. Pelanggan boleh memilih ikan dari kolam untuk sajian mengikut resipi yang disediakan oleh pihak restoran. Kami memilih ikan trout digoreng dan dimakan bersama perahan limau kapas (di sini tidak terdapat limau kasturi) dan cili Nepal. Sungguh enak sekali!

    Seperti di ibu negeri Kathmandu, di Pokhara juga terdapat banyak kedai buku sama ada buku baharu ataupun buku terpakai. Bagi ulat buku memang seronok sebab kadang kita boleh terjumpa buku yang lama kita cari untuk dibeli. Di salah sebuah kedai buku ini saya bertemu dengan sekumpulan empat orang siswa dari fakulti perubatan, Universiti Indonesia. Mereka sedang menghadiri East Asian Medical Students Conference bersama para peserta dari Australia, Jepun, Mongolia dan beberapa negara lain. Mereka juga terharu dengan sikap ramah penduduk setempat di samping dapat mengenali akan kebudayaan di Nepal.

    Seperkara yang menarik ketika mu-sim sejuk kita akan berpeluang melihat banjaran gunung Himalaya pada setiap hari. Berbeza musim panas di mana agak sukar untuk melihat pemandangan sedemikian. Kebanyakan kedai di pusat membeli belah pula banyak yang menjual pakaian musim sejuk. Januari adalah bulan paling sesuai jika awda ingin melancong ke Nepal di musim sejuk.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda