Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meneroka pameran animatronik dinosaur

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA – Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah mengadakan pameran animatronik sebenar beberapa jenis dinosaur yang terkenal di dunia dan didatangkan khas dari Scitech, Australia yang dinamakan sebagai Explor-a-Saurus yang bermula kelmarin untuk kunjungan orang ramai. Antara dinosaur itu seperti Stegosaurus, Triceratops, Tyrannosurus Rex dan banyak lagi.

    Pameran bertema dinosaur itu akan berlangsung selama lima bulan sehingga bulan April tahun depan dan apa yang pasti, pameran ini akan memberikan pengalaman yang baru kepada pengunjung untuk menyaksikan dinosaur animatronik yang mana boleh bergerak dan juga mengaum.

    Di samping itu, terdapat juga pameran-pameran yang lain turut dipamerkan seperti spesimen tengkorak dinosaur, spesimen tumbuh-tumbuhan zaman kuno, telur dinosaur, fosil serangga dan tapak kaki dinosaur serta persembahan teater dinosaur yang memaparkan bagaimana dinosaur menjadi pupus.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menyaksikan Pameran Explor-a-Saurus di OGDC.

    Sains dan teknologi

    Majlis Pelancaran Pameran Explor-a-Saurus itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong. Pameran Explor-a-Saurus diadakan untuk pertunjukan semua peringkat umur malah pameran ini bertujuan untuk penggunaan konsep-konsep seperti paleontologi dan forensik dalam mengungkap sisa-sisa dinosaur, pembelajaran biologi dalam menemui rangka-rangka dinosaur serta penggunaan kemahiran matematik untuk menguji kekuatan T-Rex dan banyak lagi.

    OGDC percaya bahawa objektif Explor-a-Saurus ini untuk menghubungkan pengunjung ke evolusi dunia melalui tema STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan ia adalah sejajar dengan misi utama pameran untuk memajukan STEM di Negara Brunei Darussalam, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

    Pameran ini merupakan sokongan pihak OGDC kepada industri pelancongan Brunei bagi menarik lagi lebih ramai para pelancong antarabangsa dan ia bukan hanya berbentuk pameran pendidikan selain itu, para pengunjung boleh berhibur dan sangat sesuai untuk kunjungan keluarga.

    Pameran Explor-a-Saurus disokong oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Pelancongan dan Lembaga Pelancongan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda