Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meneroka sosioekonomi Daerah Tutong

    Oleh Nurdiyanah R.

    BAGI menerokai sosioekonomi dalam kalangan masyarakat mukim dan kampung di Daerah Tutong, seramai 29 orang ahli majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk kampung di Daerah Temburong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Rombongan tersebut telah diketuai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu juga selaku penghulu Mukim Bokok.

    Dalam lawatan sehari itu, rombongan telah dialu-alukan oleh warga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong yang telah diketuai oleh pengurusnya, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali.

    Semasa lawatan tersebut, rombongan mendengar penerangan mengenai kegiatan dan aktiviti yang dijalankan oleh Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong termasuk menyaksikan pameran penghasilan kraf tangan daripada barang-barang terpakai dan demonstrasi pembuatan makanan tradisi seperti penyaram dan tumpi yang berasaskan sagu dan kelapa.

    Kemudian, rombongan membuat lawatan ke Galeri 1 Kampung 1 Produk (1K1P), Jabatan Daerah Tutong yang mempamerkan lebih 30 jenis produk dan barangan tempatan di daerah berkenaan.

    Gambar ramai rombongan Daerah Temburong yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Emran bersama ahli-ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong di Taman Ternakan Lebah, Tasbee Meliponiculture Farm, baru-baru ini.

    Selain itu, Galeri Lakaba Jaya yang menghasilkan produk pembuatan coklat daripada ahli-ahli MPK Sengkarai juga menjadi tumpuan rombongan tersebut dan diikuti pula dengan Taman Ternakan Lebah Kelulut, Tasbee Meliponiculture Farm di Kampung Sungai Kelugos.

    Meneroka kegiatan

    Semasa ditemui, Yang Berhormat Haji Emran menjelaskan bahawa lawatan tersebut berobjektif untuk mengetahui kegiatan yang dijalankan di Daerah Tutong terutamanya dalam golongan warga emas khususnya PKWE.

    Di samping itu, tambah beliau, ia juga bertujuan bagi melihat perkembangan sosioekonomi masyarakat mukim dan kampung khususnya kemajuan program produk dan barangan perekonomian 1K1P di Daerah Tutong sekali gus dalam sama-sama merancang pelbagai peluang kerjasama pada masa akan datang.

    “Walaupun di daerah-daerah lain termasuklah Daerah Temburong mempunyai keunikan ciptaan produk dan barangan tersendiri, namun dengan adanya lawatan ini, ia sememangnya mampu mendidik kami dengan aspek-aspek positif seperti dari segi strategi pemasaran dan penjualan.

    “Selain itu, ia juga telah dapat mendedahkan kami dengan nilai tambah terhadap produk-produk yang telah dihasilkan di Daerah Temburong untuk dikembangkan lagi seperti melalui nilai persembahan bungkusan produk yang dilihat begitu menarik diciptakan oleh para pengusaha di Daerah Tutong ini,” tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda