Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menerokai keindahan Chiang Mai di musim sejuk

    WALAUPUN terletak di rantau ASEAN, Chiang Mai, Thailand menjanjikan satu pengalaman baru dan sangat berbeza pada musim sejuk.

    Kawasan yang terletak di utara Thailand itu mengalami musim sejuk di antara bulan November sehingga Februari.

    Hakikatnya waktu tersebut merupakan waktu puncak kehadiran pelancong dari serata dunia yang agak ramai berbanding waktu biasa.

    Taman Negara Doi Inthanon merupakan puncak tertinggi di Thailand. Pengunjung perlu menempuh perjalanan selama dua jam sebelum tiba ke puncak setinggi 2,565 meter dari paras laut itu.

    Suhu paras beku

    Taman negara tersebut meliputi kawasan hutan hujan, hutan campuran dan hutan pain. Suhunya sejuk sepanjang tahun terutama pada musim sejuk.

    Air terjun Wachiratan mengalir sepanjang tahun dan memiliki aliran air yang deras.
    Pengunjung yang berjaya merentasi sehingga ke kawasan puncak setentunya berpeluang untuk menyaksikan panorama indah kerana seolah-olah terasa seperti berada di awan yang tinggi.

    Sekiranya pengunjung bertuah untuk datang pada waktu yang agak tepat setentunya anda berpeluang untuk menyaksikan keindahan fenomena mae kha ning atau bunga beku.

    Dalam perjalanan ke puncak, pengunjung disajikan dengan pemandangan kawasan padi bukit dan beberapa tapak perkhemahan di sepanjang laluan, malah ada juga yang terletak di tepi sungai.

    Ia menunjukkan komitmen pihak berkuasa yang menyokong aktiviti ekopelancongan seperti itu.

    Selepas melalui tempat pemeriksaan pertama, pengunjung boleh terus menuju ke puncak.

    Suhu yang dicatatkan di kawasan lapang itu adalah sangat sejuk iaitu sekitar 8 darjah Celsius, manakala di dalam hutan pula serendah 6 darjah Celsius.

    Malah, adakalanya suhu boleh turun sehingga mencapai paras beku iaitu 0 darjah Celsius.

    Selepas itu, pengunjung turut berpeluang untuk masuk ke dalam Ang Ka Nature Trail atau nama lainnya, Michael’s Trail sempena nama ahli biologi Kanada, Michael Walsh, yang pernah menjadi sukarelawan dan Pegawai Penterjemah dan Pemuliharaan Taman di situ.

    Walsh juga mengkaji dan membina laluan kayu sepanjang 360m yang melalui hutan lumut.

    Kembara dapat diteruskan lagi menuju ke Kew Mae Pan Nature Trail, yang memiliki ukuran sepanjang 3.2 kilometer dan sebaik sahaja berjaya merentasi jejak tersebut, pengunjung akan berpeluang untuk menyaksikan panorama indah kerana seolah-olah terasa seperti berada di awan yang tinggi.

    Menuju ke puncak setentunya satu kepuasan bagi aktiviti mencabar itu namun pengembara juga boleh memilih untuk melalui perjalanan dengan mendaki tangga yang agak meletihkan.

    Taman Negara Doi Inthanon merupakan puncak tertinggi di Thailand.

    Setibanya di lokasi tersebut, pengunjung setentunya akan berasa terpegun tatkala melihat panorama yang sangat cantik memukau. Awan yang berarak secara perlahan di depan mata seolah-olah membuatkan pengunjung seperti berada di dalamnya.

    Keindahan air terjun

    Setelah puas mengagumi keindahan kawasan pergunungan tertinggi di bumi Gajah Putih, pengunjung juga wajar mengambil peluang untuk mengunjungi Pagoda Berkembar Diraja.

    Pagoda Phra Mahathat Naphamethanidon ini disiapkan oleh Royal Thai Air Force sempena memperingati Hari Keputeraan ke-60 King Rama kesembilan pada 5 Disember 1987. Kemudian Phra Mahathat Naphapholphumisiri pula dibina untuk Permaisuri Sirikit pada tahun 1992.

    Dalam perjalanan turun, pengunjung juga boleh singgah sebentar di gerai tepi jalan di perkampungan Orang Asli Hmong.

    Di kawasan tersebut ada yang menjual cenderamata, sayur-sayuran, buah-buahan segar dan buah-buahan kering pada harga yang sangat berpatutan.

    Selepas itu, pengunjung juga berpeluang untuk singgah ke kawasan Air Terjun Wachiratan. Terdapat tiga air terjun utama di Doi Inthanon dan ia tidak kering sepanjang tahun.

    Tingginya lebih kurang 40 meter dan mempunyai arus deras sehinggakan percikan airnya menyebabkan kawasan berhampiran basah. Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan mandi di atas faktor keselamatan.

    Tatkala perut terasa lapar, pengunjung boleh memilih untuk makan malam di sebuah restoran halal, Baan Pi Huen Nong yang terletak berhampiran hotel.

    Lebih menarik lagi apabila pengunjung turut berasa terhibur dengan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan selama satu jam.

    Pendek kata, lawatan ke Chiang Mai khususnya ke Taman Negara Doi Inthanon setentunya akan memberikan satu pengalaman baru kepada para pengunjung. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda