Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menerokai tapak warisan menarik di Terengganu

    Oleh Soon Li Wei

    KUALA TERENGGANU – Menjejakkan kaki ke Kampung Cina, Kuala Terengganu seolah-olah membawa penulis kembali kepada zaman 1960an seperti mana dalam kebanyakan drama Cina klasik Hong Kong dan China yang dipaparkan di televisyen.

    Seperti mana ‘Chinatown’ yang ada di seluruh dunia, pintu gerbang berlatar belakangkan naga dan elemen tanglung berwarna merah tidak dapat dipisahkan, memberi gambaran budaya masyarakat Cina di sini begitu menebal meskipun majoriti penduduk negeri ini orang Melayu.

    Perkataan ‘Selamat Datang Ke Negeri Terengganu Darul Iman’ dalam Bahasa Melayu dan Mandarin, menghiasi pintu gerbang, mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang ingin menikmati suasana kebudayaan masyarakat Cina Peranakan di negeri itu.

    Berkesempatan mengikuti lawatan media bersama Jabatan Warisan Negara pada akhir September lalu, membuatkan penulis agak teruja menerokai pelbagai lokasi menarik Kuala Terengganu yang didominasi masyarakat Melayu.

    Kami sempat berjalan kaki bermula dari Hotel Seri Malaysia yang terletak di Jalan Balik Bukit, menerokai kawasan yang pernah menjadi destinasi persinggahan pelayar Cina berdekatan dengan Sungai Terengganu, menyusuri deretan rumah kedai dan lorong-lorong kecil yang dihiasi dengan mural dan hiasan bertemakan penyu.

    Kelihatan pintu gerbang yang tertera perkataan ‘Selamat Datang Ke Negeri Terengganu Darul Iman’ dalam Bahasa Melayu dan Mandarin di kawasan ‘Chinatown’ di Kuala Terengganu dapat dilihat pada lawatan media ke negeri Terengganu bersama Jabatan Warisan Negara baru-baru ini. – Bernama
    Masjid Abidin, yang turut dikenali sebagai Masjid Puteh atau Masjid Besar sebelum ini adalah antara masjid tertua di negeri Terengganu yang pada asalnya merupakan istana kayu yang didirikan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793-1808. – Agensi

    Kebanyakan deretan rumah kedai sepanjang kira-kira tiga kilometer di Jalan Bandar itu dibina bercirikan kesenian serta kebudayaan kaum Cina, sekali gus meninggalkan seribu satu memori manis buat setiap pengunjung yang berada di situ.

    Paling menarik pastinya Lorong Kenangan apabila ukiran potret di atas kepingan batu memaparkan barisan pemimpin masyarakat Cina yang pernah menabur jasa di Terengganu.

    Selain itu, dekorasi payung yang digantung sebagai lelangit antara kedai menambah keceriaan di lorong berkenaan, sekali gus menjadikan lokasi itu begitu ‘instagrammable’ kepada pengunjung untuk mengabdikan kenangan mereka.

    Namun, siapa sangka Kampung Cina yang diselit dengan elemen moden di sebalik kesenian budaya kaum itu, pernah dicalonkan sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

    “Kita melihat banyak tapak warisan di negara ini, khususnya di Terengganu yang boleh dijadikan tempat pelancongan domestik, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih lagi belum membuka sempadannya ketika pandemik COVID-19.

    “Ketika inilah peluang terbaik untuk merancakkan industri pelancongan domestik khususnya dari luar negeri untuk melihat lebih dekat tentang warisan di Terengganu dan saya percaya masih ada penduduk berdekatan juga belum berkesempatan untuk terokai kawasan-kawasan itu,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop.

    Menurut beliau, pelancongan berasaskan warisan sememangnya dapat memberi pendedahan kepada pengunjung tentang sejarah sesebuah kawasan.

    Ianya juga sudah tentu bertambah tinggi nilai tarikan dengan pemandangan serta keindahan di sebalik seni bina struktur bangunan tersebut, di samping peluang menerokai hasil peninggalan arkeologi yang berkaitan dengan kawasan itu.

    Terengganu sememangnya terkenal sebagai tempat tumpuan membeli-belah pelbagai produk berasaskan batik dan ikan, di samping keindahan seni bina Islam serta tapak warisan bersejarah yang sentiasa dipenuhi dengan pelancong.

    Sebagai antara negeri terawal menerima kedatangan ajaran agama Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa buah masjid yang dianggarkan berusia sekitar 100 tahun.

    Sememangnya tidak lengkap datang ke Terengganu sekiranya tidak berkunjung ke masjid bersejarah dan terkenal dengan seni bina Islamnya yang begitu gah di negeri itu seperti Masjid Kristal, Masjid Abidin, Masjid Hiliran dan Masjid Terapung Tengku Zaharah.

    Menurut Mesran, Masjid Hiliran, Masjid Abidin dan Istana Maziah merupakan tiga daripada 14 lokasi tapak warisan di Terengganu yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

    Masjid Abidin, yang turut dikenali sebagai Masjid Puteh atau Masjid Besar sebelum ini adalah antara masjid tertua di negeri Terengganu yang pada asalnya merupakan istana kayu yang didirikan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793-1808.

    Menurut Imam Besar Masjid Abidin Negeri Terengganu Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim, pada tahun 1852, ketika pemerintahan Almarhum Sultan Umar, masjid ini diubahsuai dengan pemasangan batu.

    Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke masjid ini akan berasa kagum dengan seni bina bangunan masjid serba putih dan dikatakan menggunakan cat putih telur, selain ukiran khat Al-Quran di atas pintu dan sisi masjid.

    Wan Mohd Hazim berkata masjid ini bersedia menerima kunjungan sesiapa sahaja yang ingin mengenali dan mempelajari tentang agama Islam secara mendalam, termasuk pelancong asing dan bukan Islam.

    Masjid Hiliran turut dikenali dengan kewujudannya sejak lebih 200 tahun lalu antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808), berdasarkan catatan sejarah.

    Terletak di Jalan Hiliran, di sini, selain pernah menjadi sekolah Arab yang pertama di negeri ini dan dinobatkan sebagai tapak warisan kebangsaan pada tahun 2019, Masjid Hiliran juga mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat umum.

    Keunikan tersebut ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata.

    Sebanyak sembilan kawasan serta premis bersejarah di Terengganu dikenalpasti untuk diwartakan sebagai tapak warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

    Menurut Mesran, antaranya, Tasik Kenyir dan Gua Bewah di Hulu Terengganu, dan tujuh premis bersejarah yang terdapat di Bukit Besi, Dungun.

    Selain mendapat bantuan sepenuhnya daripada pihaknya untuk kerja-kerja pemuliharaan, status sesuatu kawasan dan premis sebagai tapak warisan dapat meningkatkan minat pelancong untuk melawatnya.

    Dari segi kriterianya, Mesran berkata apabila kerajaan bercadang untuk mewartakan tapak atau bangunan sebagai tapak warisan, pihaknya akan meuar-uarkan terlebih dahulu kepada umum untuk mendapatkan maklum balas.

    Beliau menambah, proses pewartaan sesuatu tapak atau bangunan adalah amat panjang kerana kajian menyeluruh serta kebenaran daripada tuan tanah atau tuan punya bangunan amat penting di samping strukturnya perlu dipelihara dan tidak pernah diubah suai.

    “Setelah kesemua kerja-kerja dokumentasi dan kajian sudah selesai, ia perlu melalui Peguam Negara dan setelah diberi keizinan, barulah kita boleh wartakan tapak itu dan diberi nombor daftar kewartaan tapak warisan negara,” katanya.

    Mesran berkata pihaknya akan memberi tempoh sehingga 30 hari sekiranya terdapat bantahan ataupun teguran daripada tarikh meuar-uarkan cadangan untuk mewartakan sesuatu tapak warisan.

    Apabila sesuatu tapak itu diwartakan, maka kawasan itu tidak boleh melakukan sebarang pengubahsuaian secara besar-besaran, oleh itu, sebarang pembangunan masih boleh dilakukan tetapi secara harmoni dan setuju bersama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda