Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengaku bersalah tumbuk, tendang anak kandung

    GERIK, 7 NOV – Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Gerik hari ini atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya dengan menendang dan menumbuk mangsa yang berusia 12 tahun, minggu lepas.

    Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak lelaki itu di sebuah rumah di Jalan Pasir Buaya, Kampung Perah di Gerik pada 5 petang, 29 Oktober lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya dan boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nor Atiyah Shafiee memohon tarikh baharu bagi menunggu laporan perubatan mangsa dan menawarkan jaminan RM5,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Murni Che Mood yang mewakili duda dua anak itu memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang berpendapatan tidak tetap, perlu menanggung anak dan ibu bapanya.

    Majistret Savinder Singh membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes.

    Semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang di tepi jalan Kampung Perah, Gerik, kira-kira 3:45 petang, 30 Oktober.

    Pada 30 Okt, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera akibat ditumbuk dan ditendang bapa kandung semasa berada di rumah ibu saudaranya di Kampung Perah, pada petang 29 Oktober.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood memaklumkan siasatan awal mendapati suspek bertindak menumbuk dan menendang belakang badan kanak-kanak itu, serta melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir mengenai mangsa. – Bernama

    Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya yang berusia 12 tahun pada minggu lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda