Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengaku cabul remaja, nasib diketahui 3 September

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seorang warga Brunei berusia 42 tahun kelmarin mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan cucu saudaranya yang berusia 13 tahun.

    Hakim Pengiran Masni Pengiran Haji Bahar menetapkan 3 September ini untuk menjatuhkan hukuman.

    Insiden yang berlaku pada Julai dan Ogos itu dijelaskan secara terperinci di mahkamah oleh Pendakwa Raya Aeny Zullizam.

    Defendan yang tinggal di Mukim Kota Batu telah diamanahkan menjaga mangsa semasa dia melawat rumah bapanya yang terletak berhampiran.

    Ibu bapa mangsa sudah bercerai. Meskipun diberikan tanggungjawab amanah berkenaan, mahkamah mendengar bahawa defendan menggunakan kekerasan terhadap remaja itu dalam dua kejadian berasingan.

    Gambar Freepik

    Dalam kejadian pertama iaitu pada 11 Julai, defendan menjemput mangsa ke rumahnya, dan mangsa bersetuju untuk datang dengan mengandaikan dia akan menghabiskan masa bersama anak perempuan defendan iaitu sepupu mangsa. Namun apabila mangsa tiba, defendan memeluknya dari belakang dan terus menyentuhnya secara tidak wajar. Mangsa berjaya melarikan diri dan terus pulang ke rumah bapanya.

    Kejadian kedua berlaku pada 7 Ogos. Mangsa melawat rumah defendan sekali lagi, di mana defendan memaksa mangsa duduk di atas ribanya sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh.

    Mahkamah mendengar bahawa defendan mengarahkan mangsa jangan memberitahu sesiapa tentang kejadian itu dan memberikannya $10 beberapa hari kemudian.

    Kejadian berkenaan terbongkar pada 11 Ogos, apabila mangsa memberitahu ibunya mengenai perbuatan tidak senonoh defendan itu. Ibunya segera membuat laporan polis, membawa kepada penahanan defendan.

    Semasa siasatan, defendan mengaku melakukan kesalahan itu. Mahkamah juga menyatakan bahawa dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Defendan kini berdepan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, berserta sebatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda