Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengambil wuduk dalam keadaan berhadas besar

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Orang yang berhadas kecil diwajibkan mengambil wuduk untuk mengangkat hadasnya itu bagi membolehkannya melaksanakan ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, tawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya.

    Namun tuntutan tersebut tidak hanya pada ibadah yang menjadikan wuduk sebagai syarat sah perlaksanaannya, malahan juga dituntut pada keadaan-keadaan yang lain walaupun tuntutan itu hanya berupa sunat semata-mata seperti ketika sedang marah, membaca Al-Quran (bukan dengan memegangnya) atau mendengar Al-Quran, membaca dan mendengar Hadis, memegang kitab-kitab agama seperti kitab-kitab Tafsir atau Fiqh, membaca atau belajar ilmu-ilmu syarak dan membacakannya, ketika masuk atau duduk di dalam masjid, ketika hendak tidur dan sebagainya.

    Di samping itu disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wuduk kerana amalan mengekalkan wuduk mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya seperti meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

    Mengekalkan wuduk bagi orang yang berhadas kecil bukanlah suatu perkara yang susah. Mereka boleh saja berwuduk semula jika batal wuduknya atau terus memperbaharui wuduk mereka jika masih dalam keadaan berwuduk bila-bila masa saja yang mereka kehendaki.

    Melihat kepada tuntutan dan keutamaan wuduk ke atas orang yang berhadas kecil, apakah orang yang berhadas besar juga dituntut dan boleh melaksanakannya? Bagaimanakah kedudukan mereka dalam hal wuduk ini?

    Disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wuduk kerana amalan mengekalkan wuduk mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya. – Gambar hiasan

    Hukum bagi orang yang berhadas besar mengambil wuduk?

    Orang yang berhadas besar itu adalah mereka yang berada dalam keadaan berjunub dan perempuan yang dalam keadaan haid atau nifas. Namun dua keadaan ini mempunyai kedudukan hukum yang berbeza kerana keadaannya masing-masing.

    Orang yang berjunub

    Disunatkan bagi orang yang berjunub yang belum mandi wajib untuk mengambil wuduk apabila hendak tidur, makan dan minum dan juga ketika hendak mengulang semula persetubuhan.

    Diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha, beliau menceritakan yang maksudnya, “Rasulullah SAW apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan mengambil wuduk (sepertimana wuduk) untuk sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Dalam riwayat lain pula, Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya, “Rasulullah SAW apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wuduk sepertimana wuduk Baginda untuk sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kedua hadis di atas adalah dalil mengenai sunat bagi orang yang berjunub untuk mengambil wuduk sebelum tidur atau sebelum makan dan minum. Manakala dalil mengenai dengan sunat berwuduk sebelum mengulangi semula persetubuhan bagi orang yang berjunub itu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wuduk.” (Hadis riwayat Muslim)

    Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa hadis-hadis tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wuduk serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwuduk). Beliau juga menyebut bahawa para ulama asy-Syafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwuduk.

    Hikmah sunat berwuduk ke atas orang yang junub

    Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hikmah disunatkan berwuduk ke atas orang yang berjunub jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh. Antaranya:

    Pendapat pertama: Untuk meringankan hadas kerana wuduk berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wuduk. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan.

    Pendapat kedua: Dengan wuduk merangsang seseorang untuk mandi apabila air terkena pada anggota-anggota wuduk.

    Pendapat ketiga: Bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci dari salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur.

    Hukum perempuan yang dalam haid dan nifas mengambil wuduk

    Hukum berwuduk bagi perempuan yang dalam haid atau nifas itu terbahagi kepada dua:

    Jika darah haid atau darah nifasnya masih keluar (belum kering), tidak disunatkan baginya untuk berwuduk.

    Ini adalah kerana wuduk tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haid atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haid atau nifas masih keluar.

    Jika darah haid atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib, maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wuduk jika dia hendak tidur, makan atau minum.

    Ini kerana apabila darah haid atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wuduk jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

    Berdasarkan penerangan di atas, tiada halangan bagi orang yang berjunub dan juga perempuan yang kering haidnya tetapi belum mandi wajib untuk mengambil wuduk pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadis.

    Sekurang-kurangnya dengan melakukan wuduk dapat meringankan hadas yang ditanggung oleh keduanya sebelum mandi untuk mengangkat hadas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda