Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengapa penanda aras kemiskinan masih belum dimuktamadkan?

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Isu kemiskinan nasional memerlukan perhatian serius dengan keperluan mendesak untuk membangunkan satu garis panduan dan definisi rasmi bagi membantu usaha pengagihan bantuan yang lebih adil, telus dan berkesan.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan semasa menyampaikan ucapan perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 di Mesyuarat kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2025.

    Yang Berhormat Haji Daud. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Yang Berhormat terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof atas pembentangan usul, serta menzahirkan penghormatan kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memperkenankan pelaksanaan tiga rangka tindakan utama negara.

    Menurut Yang Berhormat Haji Daud, tiga rangka tindakan utama iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint telah membawa kemajuan ketara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, dan kesihatan.

    Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kefahaman awam mengenai Wawasan Brunei 2035 yang masih rendah.

    “Satu tinjauan menunjukkan bahawa 95 peratus warga Brunei tidak benar-benar memahami maksud sebenar Wawasan Brunei 2035. Mereka hanya tahu menyebutnya,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Social Blueprint mendukung matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu “Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi” dengan menyelaraskan dasar dan tindakan melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

    MKIS telah mengenal pasti 12 isu sosial utama termasuk kemiskinan, rumah daif, pengangguran, keselamatan sosial, mentaliti masyarakat, kegiatan tidak bermoral, jenayah, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), institusi keluarga, wanita dan kanak-kanak.

    Pelan-pelan tindakan di bawah MKIS, menurut beliau, telah diselaraskan bersama Social Blueprint dengan penglibatan pelbagai agensi berkepentingan.

    Beliau menumpukan perbahasannya kepada isu kemiskinan, yang menurutnya masih belum mempunyai satu definisi rasmi dan ukuran nasional meskipun ia telah dibincangkan seawal tahun 2011.

     “Ketiadaan garis panduan yang seragam menyukarkan usaha mengenal pasti golongan benar-benar memerlukan bantuan dan menilai keberkesanan program kebajikan yang dilaksanakan,” jelasnya.

    Yang Berhormat mempersoalkan mengapa garis kemiskinan tersebut masih belum dimuktamadkan walaupun lebih satu dekad telah berlalu, serta mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembangunan penanda aras kemiskinan nasional yang bukan sahaja berasaskan pendapatan, tetapi juga faktor lain seperti akses kepada perkhidmatan asas dan kualiti kehidupan menyeluruh.

    Yang Berhormat turut mencadangkan agar pendekatan seluruh negara dilaksanakan, melibatkan semua pihak termasuk ketua-ketua kampung sebagai pemantau akar umbi untuk memastikan bantuan disalurkan secara lebih menyeluruh dan adil.

    Yang Berhormat yakin langkah ini dapat menyokong aspirasi negara ke arah sifar kemiskinan seperti yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035.

    “Kaola percaya bahawa pelaksanaan inisiatif ini akan lebih berkesan jika disokong kerjasama pelbagai pihak, demi memastikan tiada golongan yang tercicir,” tambah beliau mengakhiri ucapannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda