SEOUL – Seorang ibu muda, Lee, 33 tahun, yang akan bersalin dalam tempoh empat minggu lagi telah pun membuat rancangan untuk bersalin melalui pembedahan cesarean.
Sungguhpun dia tidak mengalami komplikasi perubatan, tiada risiko yang diketahui dan tiada sejarah keluarga yang sukar hamil. Namun keputusan telah dibuat: jalani pembedahan untuk melahirkan anak pertamanya.
“Ramai bakal ibu di sekeliling saya memilih C-section kerana melahirkan secara normal datang dengan banyak kesakitan,” katanya. “Orang ramai berkata ia adalah satu pilihan. Jika awda melahirkan secara semula jadi, awda boleh pulih lebih cepat. Tetapi dengan pembedahan C, ia tidak menyakitkan pada masa ini, walaupun ia lambat pulih.”
Keputusan Lee mencerminkan trend yang semakin meningkat dalam kalangan ibu mengandung di Korea Selatan, di mana bersalin secara cesarean yang dahulunya adalah prosedur hanya apabila perlu, kini telah menjadi kebiasaan.
Menurut data, 67.4 peratus daripada semua 235,234 kelahiran di Korea Selatan pada 2024 adalah melalui C-section, menunjukkan kadar tertinggi dalam rekod.
Rekod berkenaan naik mendadak daripada 51.1 peratus pada 2019, dan jauh melebihi norma global: lebih dua kali ganda kadar di Amerika Syarikat pada 32.1 peratus, lebih tiga kali ganda Jepun pada 18.6 peratus, dan hampir empat kali ganda kadar yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 10 hingga 15 peratus.
Di sebalik anjakan pantas ini, terdapat gabungan antara kuasa sosial, perubatan dan undang-undang. Terdapat pelbagai sebab boleh timbul daripada ibu yang ingin mengelak sakit bersalin sehinggalah doktor yang takut akan liabiliti undang-undang.
Dalam komuniti dalam talian, kisah bersalin yang dikongsi sering membandingkan trauma sakit semasa bersalin dengan keselesaan menjalani pembedahan, yang mempengaruhi persepsi para ibu untuk memilih pembedahan sebagai kelahiran yang lebih terkawal dan kurang tekanan.

“Ramai wanita hamil kini meminta dibedah walaupun tidak diperlukan secara perubatan,” kata seorang profesor obstetrik di hospital universiti.
Para doktor juga berkata antara sebab lain adalah usia para ibu yang semakin meningkat.
Pada 2024, purata umur ibu di Korea Selatan ialah 33.7 tahun, meningkat daripada 32.0 sedekad lalu. Semakin tua ibu, semakin C–section menjadi pilihan: 59 peratus kelahiran di kalangan wanita dalam umur lingkungan 20-an adalah melalui pembedahan, meningkat kepada 64 peratus dalam umur 30-an dan 75.3 peratus dalam umur 40-an.
“Apabila usia ibu meningkat, pengecutan rahim menjadi lebih lemah dan risiko komplikasi meningkat, menjadikan kelahiran secara normal jadi lebih sukar,” kata Kim Jae-yeon, pengerusi Persatuan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Korea.
Tetapi ia bukan hanya keutamaan pesakit. Risiko undang-undang juga memainkan peranan penting dalam keputusan doktor.
Pada 2023, mahkamah Korea Selatan memerintahkan pakar perbidanan membayar ganti rugi 1.2 bilion won (AS$845,000) selepas seorang bayi mengalami cerebral palsy berikutan kelahiran semula jadi.
Sejak itu, doktor semakin memilih C-section, takut akan disaman atau berdepan tuduhan jenayah sekiranya berlaku komplikasi.
Budaya defensive medicine sebegini ditambah lagi dengan ketegangan berterusan antara doktor dan kerajaan apabila ramainya doktor muda meninggalkan hospital untuk berkhidmat di klinik-klinik, lalu banyak klinik pula memilih supaya menjalankan pembedahan walaupun terdapat risiko kecil.
Walau bagaimanapun, pakar perubatan memberi amaran bahawa C-section yang tidak perlu sebenarnya ada juga bahayanya.
“Wanita yang menjalani C-section lebih berkemungkinan mengalami komplikasi dalam kehamilan akan datang dan dianggap berisiko tinggi,” kata seorang profesor dari hospital universiti.
Kadar kematian ibu untuk kelahiran secara cesarean adalah 2.2 setiap 100,000 — 11 kali lebih tinggi daripada kelahiran normal. Pemulihan pula sememangnya mengambil masa yang lebih lama dan wanita yang menjalani pembedahan menghadapi risiko lebih tinggi dalam kehamilan akan datang.
Manakala, “kelahiran semula jadi, walaupun terpaksa ditukar kepada pembedahan semasa bersalin normal, selalunya mendapat hasil yang lebih baik daripada pembedahan yang telah dirancang dari awal,” jelas profesor itu.
Namun isu sebenarnya, ramai pakar berpendapat bahawa terdapat perlindungan undang-undang yang tidak berkesan sekiranya berlaku kemalangan berkaitan kelahiran yang tidak dapat dielakkan.
Sejak 2013, kerajaan telah mengendalikan sistem pampasan di bawah undang-undang baharu dengan tujuan ganti rugi melibatkan kes di mana doktor yang telah menjalankan usaha wajar tetapi kemalangan berkaitan pembedahan tetap berlaku.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan telah mengumumkan bahawa had pampasan maksimum akan dinaikkan daripada 30 juta won kepada 300 juta won.
Namun, persoalan kekal mengenai kekerapan kes yang sebenarnya diiktiraf dan diberi pampasan. Data menunjukkan bahawa antara 2021 dan Mac 2025, sejumlah 101 tuntutan berkaitan kemalangan kelahiran yang tidak dapat dielakkan sedang diproses— tetapi hanya kira-kira separuh dapat menerima pampasan.
Kerajaan telah mengakui wujudnya jurang tersebut dan mencadangkan memperluaskan perlindungan undang-undang untuk bidang perubatan termasuk obstetrik. Tetapi kebanyakan urusan terhenti kerana konflik berterusan antara komuniti perubatan dan pembuat dasar. – ANN
