KUALA LUMPUR, 24 FEB – Kerap kali kita mendengar tentang individu diserang strok ketika berada di dalam bilik air, dengan ada kes melibatkan kematian yang hanya disedari oleh kaum keluarga atau rakan selepas beberapa hari, khususnya mereka yang tinggal bersendirian.
Menurut pakar, individu yang diserang strok dapat diselamatkan jika dia menerima rawatan kecemasan pada kadar segera, namun berisiko meninggal dunia sekiranya serangan berlaku di dalam bilik air atas beberapa faktor termasuk kejadian tidak disedari oleh orang lain.
Kata pakar, antara komplikasi yang dialami oleh individu diserang strok ketika di dalam bilik air ialah terjatuh dan seterusnya menyebabkan kecederaan termasuk akibat hentakan pada bahagian tubuh seperti kepala, yang berisiko mengakibatkan pengsan, malah maut.
Strok juga mungkin mengakibatkan seseorang tidak dapat bergerak untuk keluar dari bilik air bagi mendapatkan bantuan, seterusnya memburukkan lagi keadaan individu itu.
Namun begitu, menurut pakar, hanya empat peratus kes serangan strok berlaku di dalam bilik air.

DEFINISI STROK
Pakar neurologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Shahir Mawardi berkata strok berlaku disebabkan oleh gangguan bekalan darah ke otak yang berpunca daripada penyumbatan salur darah.
Keadaan itu katanya akan mengakibatkan bahagian otak yang berkenaan tidak dapat menerima oksigen dan nutrien pada kadar mencukupi, dan seterusnya menyebabkan sel-sel otak mati hanya dalam tempoh beberapa minit.
“Terdapat tiga jenis strok utama, iaitu strok iskemik dengan kira-kira 78 peratus kes, strok hemoragik (18 peratus) dan serangan iskemik transien atau TIA sebanyak dua peratus, manakala baki dua peratus lagi melibatkan strok lain.
“Strok menyerang individu yang mempunyai risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, penyakit jantung, merokok, obesiti dan pengamalan gaya hidup tidak sihat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

MENGAPA TERJADI DI BILIK AIR
Mengulas kejadian strok di dalam bilik air, pakar itu berkata serangan boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira masa, sekalipun insiden di bilik air lebih mendapat perhatian.
Menurut Dr Ahmad Shahir, perkara itu berlaku mungkin disebabkan rutin harian seseorang yang akan ke bilik air sejurus bangun daripada tidur.
“Pada waktu awal pagi tekanan darah biasanya lebih tinggi dan menyebabkan risiko untuk mendapat strok lebih tinggi dalam kalangan pesakit.
“Selain itu, strok sering berlaku di bilik air kerana beberapa faktor risiko, seperti perubahan tekanan darah secara mendadak dengan mandi air panas, yang boleh menyebabkan pembuluh darah mengembang dan tekanan darah menurun secara tiba-tiba, sekali gus mengurangkan aliran darah ke otak,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, mandi air sejuk pula berisiko menyebabkan pembuluh darah mengecut, meningkatkan tekanan darah dan risiko salur darah di otak pecah, iaitu keadaan yang dipanggil strok hemoragik.
Beliau berkata serangan strok juga boleh berlaku apabila individu mengubah posisi secara tiba-tiba, seperti berdiri dengan cepat selepas duduk atau mencangkung dalam tempoh lama.
“Situasi ini boleh menyebabkan penurunan tekanan darah secara mendadak, mengurangkan bekalan oksigen ke otak dan mencetuskan strok,” katanya.
Menurut beliau, orang yang mengalami sembelit juga berisiko mengalami strok, iaitu berlaku ketika individu itu meneran.
“Meneran kuat ketika membuang air besar boleh meningkatkan tekanan dalam rongga dada dan mengganggu aliran darah ke otak, berpotensi mencetuskan strok, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau masalah jantung,” jelas beliau.
Sambil menegaskan strok mengancam nyawa tanpa mengira di mana serangan berlaku, Dr Ahmad Shahir berkata sekiranya bantuan segera tidak diberikan kepada seseorang yang mengalami strok, individu tersebut berisiko meninggal dunia.
“Justeru, rawatan segera amat penting bagi mengurangkan kesan strok dan meningkatkan peluang pemulihan,” katanya.
TIP BERJAGA-JAGA
Beliau turut berkongsi tip sebagai langkah berjaga-jaga, seperti mandi menggunakan air suam-suam kuku.
“Selain itu, cara bangun juga memainkan peranan,. Bangunlah secara perlahan-lahan dari posisi duduk atau mencangkung. Amalkan pengambilan serat yang mencukupi untuk mengelakkan sembelit.
“Jika ada sejarah tekanan darah tinggi atau masalah jantung, berhati-hati ketika berada di bilik air dan maklumkan ahli keluarga jika berasa pening atau lemah,” katanya, menegaskan tidak semua kes meninggal dunia di dalam bilik air disebabkan oleh strok.
Sebaliknya kata beliau, ada penyakit-penyakit lain yang menyumbang kepada insiden itu termasuk serangan jantung.

AWASI SIMPTOM
Justeru pakar perubatan itu menasihati masyarakat agar peka dengan gejala-gejala strok yang boleh diingati dengan mudah, menerusi akronim B.E.F.A.S.T.
“Simptom ini berlaku secara tiba-tiba. Tidak semua pesakit akan mengalami semua gejala ini pada masa yang sama. Huruf ‘B’ merujuk ‘balance’ (Keseimbangan), iaitu individu itu mengalami kehilangan keseimbangan. ‘E’ pula merujuk ‘eyes’ (mata) atau penglihatan kabur secara tiba-tiba.
“Sementara ‘F’ atau ‘face’ (muka) pula ialah sebelah wajah jatuh atau mengherot, menyebabkan individu mungkin tidak dapat senyum dengan betul. ‘A’ ialah ‘arm’, iaitu keadaan di mana individu tidak dapat mengangkat kedua-dua belah lengan yang menjadi lemah atau mengalami kebas,” jelasnya.
Huruf ‘S’ pula kata beliau, merujuk “speech” atau pertuturan. Individu diserang strok akan mengalami percakapan yang tidak jelas atau mungkin menggumam, menyukarkan orang lain memahami percakapan mereka.
“Manakala ‘T’ ialah ‘time’ (masa), iaitu apabila mengalami mana-mana simptom tersebut, maka awda perlu segera menghubungi hospital terdekat dan dapatkan bantuan. Jika awda mengalami TIA, simptom biasanya akan hilang dalam masa satu hingga lima minit. Pun begitu, awda masih disarankan berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” tegasnya.
Beliau turut menasihati masyarakat agar menitikberatkan penjagaan kesihatan bagi menghindari serangan strok.
“Walaupun strok tidak dapat diramalkan atau dicegah sepenuhnya, terdapat cara yang dapat mengurangkan risiko strok, antaranya mengelakkan diri daripada merokok dan minum alkohol, mengekalkan tekanan darah serta memastikan tahap bacaan kolesterol pada paras terbaik.
“Jika ada gejala strok, segera dapatkan bantuan perubatan kerana setiap minit sangat penting dalam mengurangkan kesan jangka panjang strok,” katanya. – Bernama