Oleh Scott Ervin –
Baru-baru ini, saya berada di atas kapal persiaran yang singgah di sebuah pulau persendirian. Ribuan penumpang lain, keluarga saya dan saya sendiri diberi peluang selama beberapa jam untuk menikmati syurga tropika di Bahamas itu.
Pulau berkenaan mempunyai pantai yang bersih, mungkin taman tema air paling menakjubkan di dunia, kolam renang terbesar di Bahamas, sebuah pelantar terapung di laut dengan bar di atasnya, belon udara panas yang boleh dinaiki, gelongsor kabel (zip line) dan mungkin tarikan kegemaran saya di dunia ini, iaitu bar terapung di dalam kolam renang.
Ia bagaikan syurga di bumi, namun sebahagian besar pengunjung bawah umur 25 tahun (ratusan orang) hanya terpaku seperti zombi menatap telefon bimbit dan tablet.
Dihadapkan dengan pilihan untuk merasai syurga yang mungkin tidak akan mereka lihat lagi atau terus menatap skrin yang boleh mereka lihat bila-bila masa sahaja, kebanyakan anak muda itu memilih skrin.
Masih adakah yang ingat ketika anak muda berusia awal 20an gemar berbual sesama mereka? Dahulu, ini membantu mereka untuk:
• Melatih diri bercakap dengan orang lain.
• Memahami maksud ‘persahabatan’.
• Belajar untuk tidak takut dengan orang.
• Berjumpa dengan seseorang yang mereka tertarik.
• Mengalami hubungan intim dengan manusia lain.
• Mengasah kemahiran sosial seperti memulakan dan mengekalkan kontak mata, membaca gerak-geri sosial dan menjadi menarik.
• Menemui hubungan jangka panjang yang membuahkan cinta, perkahwinan dan zuriat.

Sebaliknya, kini ramai anak muda yang, meskipun berada di syurga dunia, lebih rela menonton video orang yang tidak pernah mereka jumpa melakukan perkara yang tidak pernah mereka alami, serta mengulas tentang orang dan perkara itu.
Ketagihan terhadap skrin merampas bahagian terbaik daripada erti sebenar menjadi manusia.
Jika awda bertanya, “Adakah lelaki ini mengatakan bahawa keintiman, cinta, perkahwinan, anak-anak dan bar terapung ialah antara bahagian terbaik dalam kehidupan manusia?” jawapan saya adalah “Ya”.
Definisi awda mengenai pengalaman terbaik dalam hidup mungkin berbeza daripada saya, tetapi sudah tentu ia bukan semata-mata mengenai mendapatkan tanda suka, emoji senyum atau apa sahaja dalam aplikasi media sosial yang melalaikan.
Jika ya, kita boleh bersetuju bahawa awda tidak menjalani kehidupan terbaik.
Justeru, dengan semua ini dalam fikiran, inilah jawapan kepada persoalan awda dan mungkin mengejutkan awda:
Tiada sebarang sebab yang baik untuk anak-anak awda memiliki tablet sejak awal lagi. Langsung tiada.
Jika awda tidak setuju, awda salah.
Pengeluar tablet, telefon, aplikasi dan permainan (termasuk yang berlabel pendidikan) hanya mementingkan keuntungan. Tidak ada bukti bahawa mereka mengambil berat tentang anak-anak awda.
Mereka menggaji pakar untuk mencari jalan menggunakan sains ketagihan, sama seperti yang digunakan dalam mesin judi bagi membuatkan anak-anak awda ketagih kepada skrin.
Anak-anak yang ketagih mahu lebih banyak masa skrin dan awda pula membeli lebih banyak permainan atau aplikasi. Tumpuan serta minat mereka terhadap sesuatu yang tidak bising, tidak berwarna terang dan tidak menawarkan ganjaran secara rambang semakin merosot.
Apabila meningkat remaja, mereka pula beralih kepada media sosial, yang juga bergantung kepada sains ketagihan yang sama.
Syarikat-syarikat ini menjual perhatian anak-anak awda yang terikat pada skrin kepada pihak lain yang sekali lagi tidak peduli tentang mereka.
Hasilnya, anak-anak ke sekolah tanpa tumpuan, kecuali kepada skrin yang bising, terang dan ketagihan (tidak percaya kata saya? Tanyalah mana-mana guru tadika yang mengajar lebih 15 tahun tentang perubahan pelajar sejak iPad dicipta pada 2010).
Akibatnya, ramai anak muda menjadi tidak menarik, tidak terlibat dan kurang kemahiran sosial.
Akibatnya juga, orang sama ada kanak-kanak mahupun dewasa ketagih skrin daripada menikmati pengalaman sebenar yang kita sebut sebagai kehidupan.
Jika awda berada di tempat awam sekarang, lihatlah lautan manusia zombi telefon di sekeliling awda.
Sedarlah. Awda boleh menjadi sebahagian daripada usaha menghentikan keadaan ini.
Mengambil tablet daripada anak-anak awda pasti membuatkan mereka marah dan kecewa, kerana pada hakikatnya awda seperti mengambil dadah daripada penagih.
Mengasingkan mereka daripada skrin bukan mudah. Perkara penting selalunya sukar dilakukan.
Ambillah semula tablet itu. Kesihatan dan kebahagiaan anak-anak awda, serta dunia kita, bergantung kepadanya. – ANN/The Star

