Pelakon dari Malaysia, Zizan Razak tidak selesa dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Nureen.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 40, berkata hubungannya dengan gadis yang juga model pakaian muslimah itu sekadar kawan biasa.
“Kami hanya kawan biasa dan kalau nak kata dialah rakan wanita paling rapat, tidaklah. Bagi saya, gosip cinta tak perlu saya buat.
“Kalau boleh saya tak nak jawab gosip ini kerana ia mengarut. Kalau betul kami bercinta, saya tak kisah untuk menjawabnya,” katanya ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di sebuah hotel di Kelana Jaya, di sini, baru-baru ini.
Pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu mengulas dakwaan mempunyai hubungan dengan wanita cantik manis dan dikatakan kerap dilihat menghadiri pelbagai acara dan meluangkan masa bersama.

Dalam pada itu, aktor kelahiran Dungun, Terengganu itu turut meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir pihak yang cuba menyebarkan fitnah berkaitan hubungan mereka.
“Kalau nak cakap soal isu keluar dengan rakan wanita, saya juga pernah keluar dengan beberapa wanita sebelum ini, bukan dia sahaja.
“Tapi saya tak tahu kenapa isu ini boleh timbul. Saya rasa macam ada orang tak puas hati dengan Nureen hingga sanggup menyebarkan foto lama kami dan berikan kepada media bagi tujuan sengaja nak mereka-reka cerita.
“Gambar ini sudah lama dan diambil ketika tayangan filem Polis Evo 3, tahun lalu. Tak baiklah buat benda macam ini.
Justeru, Zizan berharap semoga gosip itu segera dihentikan kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kerjaya seninya. – Agensi