TOKYO – Dalam usaha untuk memupuk bakat global, kerajaan telah menetapkan sasaran 120,000 jumlah pelajar sekolah menengah Jepun yang belajar di luar negara 10 tahun dari sekarang pada tahun 2033.
Perubahan ini bertujuan untuk membolehkan golongan muda meluaskan perspektif antarabangsa mereka, dengan menggunakan pengalaman tersebut untuk pilihan kerjaya mereka pada masa depan.
Berikutan kesan pandemik COVID yang telah mereda, trend belajar di luar negara dalam kalangan belia Jepun juga beransur pulih. Walau bagaimanapun, masih terdapat halangan bagi pelajar sekolah menengah, seperti persediaan mereka untuk ujian kemasukan universiti setelah pulang ke tanah air dan kos yang tinggi untuk belajar di luar negara.
Pasca COVID
“Apabila menulis esei dalam Bahasa Inggeris, adalah penting untuk menulis ‘objektif’ dalam pengenalan.”
Seorang guru Bahasa Inggeris dari New Zealand memberikan nasihat ini kepada kelas pelajar tahun kedua yang mengambil kurikulum pengajian antarabangsa di Kyoto University of Advanced Science’s Senior High School. Para pelajar sedang bersedia untuk belajar di luar negara bermula dari bulan September.

Beliau mengajar mereka pendekatan praktikal dalam menulis karangan Bahasa Inggeris supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam kehidupan sekolah di luar negara.
Di sekolah swasta ini, pelajar yang mengambil kursus dalam pengajian antarabangsa dikehendaki untuk belajar di luar negara. Sekitar 60 pelajar tahun kedua yang mengambil kursus ini dijadualkan belajar di negara-negara asing seperti United Kingdom dan Kanada selama tujuh hingga 10 bulan.
Saeri Kogita, 17, seorang pelajar tahun ketiga yang telah belajar di Kanada sejak musim luruh tahun lalu, berkata, “Setelah tinggal di luar negara, keinginan saya untuk terlibat dalam pekerjaan yang menyebarkan kepada dunia tentang kebaikan negara saya sendiri menjadi lebih jelas daripada sebelum ini.”
Dalam ‘Rancangan Asas Kedua untuk Penggalakan Pendidikan’ yang diluluskan pada tahun 2013, kerajaan menetapkan matlamat untuk meningkatkan bilangan pelajar sekolah menengah Jepun yang belajar di luar negara dari 30,000 pada tahun tersebut kepada 60,000 menjelang tahun 2020. Bilangan tersebut mencapai jumlah tertinggi sebanyak kira-kira 46,900 pada tahun kewangan 2017. Walau bagaimanapun, dalam tahun kewangan 2021 yang terjejas oleh pandemik COVID, bilangan tersebut merosot kepada kira-kira 3,100.
Kemudian, sekatan perjalanan dilonggarkan di banyak negara di seluruh dunia, termasuk Jepun. ‘Rancangan Asas Keempat untuk Penggalakan Pendidikan,’ yang diluluskan oleh kabinet pada 16 Jun, dengan jelas menyatakan penggalakan pelajar sekolah menengah yang belajar di luar negara.
Seorang pegawai kanan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi menekankan bahawa, “ia adalah satu perkara yang mendesak untuk membentuk sumber manusia global kerana persaingan antarabangsa semakin meningkat dalam dunia perniagaan dan bidang lain.”
Takut ketinggalan
Walau bagaimanapun, terdapat masalah berkaitan belajar di luar negara pada peringkat sekolah menengah. Salah satunya adalah peperiksaan kemasukan universiti yang diambil oleh pelajar setelah kembali ke tanah air.
Semasa belajar di negara asing, pelajar cenderung terlibat dengan tugasan sekolah tempatan mereka, menjadikan sukar bagi mereka untuk mengimbangi pelajaran di sana dengan persediaan untuk peperiksaan kemasukan universiti setelah pulang ke tanah air.
Seorang timbalan pengetua di sebuah sekolah menengah wilayah metropolitan Tokyo berkata, “kebanyakkan pelajar yang pulang dari belajar di luar negara jelas tertinggal dalam mata pelajaran sains dan matematik, yang berkembang lebih cepat di sekolah Jepun berbanding di negara asing dan dalam kesusasteraan Jepun dan klasik Cina.” – ANN/Japan News