Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengebumikan mayat ketika malam dan di waktu yang ditegah sembahyang

    HUKUM MENGEBUMIKAN MAYAT DI WAKTU MALAM

    Perkara mengebumikan mayat di waktu malam ini sering terjadi di kalangan masyarakat terutama sekali apabila terjadi kematian di waktu petang. Ia terus disempurnakan pada malam itu juga tanpa menunggu keesokkan harinya.

    Menurut hukum syara‘, mengebumikan mayat di waktu malam hukumnya adalah harus dan tidak makruh.

    Ini kerana ‘Aisyah, Fatimah, Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Utsman Radhiallahu ‘anhum dikebumikan pada waktu malam. Bahkan dikhabarkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dikebumikan pada waktu malam.

    HUKUM MENGEBUMIKAN MAYAT DI WAKTU YANG DITEGAH MENGERJAKAN SEMBAHYANG

    Selain mengebumikan mayat di waktu malam, adakalanya pengebumian mayat itu dilakukan pada waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang.

    Apa yang dimaksudkan dengan sembahyang yang ditegah itu ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tiada mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah.

    Foto fail

    Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan seperti sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang sunat Hari Raya, sembahyang sunat Dhuha, sembahyang sunat Wudhu’ dan sembahyang sunat Tahiyyatulmasjid, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu.

    Menurut hukum syara‘, mengebumikan mayat di waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang itu adalah harus dan tidak dihukumkan makruh sekiranya tidak disenghajakan memilih atau mencari-cari waktu tersebut.

    Akan tetapi jika senghaja memilih atau mencari-cari waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang itu untuk mengebumikan mayat pada waktu tersebut maka hukumnya adalah makruh.

    Diriwayatkan daripada ‘Ulai bin Rabah bahawa beliau mendengar ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy Radhiallahu ‘anhu berkata yang maksudnya:

    “Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami untuk mengerjakan sembahyang atau mengebumikan mayat-mayat kami di dalamnya (waktu-waktu tersebut, iaitu): “Ketika matahari mula terbit sehingga meninggi, dan ketika bayang-bayang menegak (tiada bayang-bayang di timur dan barat) saat orang berdiri di tengahari (ketika matahari menegak) sehingga tergelincir matahari, dan ketika matahari condong untuk terbenam sehingga ia terbenam.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Hadits ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang untuk mengerjakan sembahyang dan mengebumikan mayat pada tiga waktu tersebut. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits di atas, bahawa maksud larangan mengebumikan mayat pada waktu-waktu tersebut ialah kerana senghaja mengakhirkannya ke waktu-waktu yang ditegah sebagaimana makruh mengakhirkan sembahyang ‘Asar dengan senghaja tanpa keuzuran ke waktu kekuning-kuningan.

    Oleh itu, jika mengebumikan mayat pada waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang itu tanpa disenghajakan maka hukumnya adalah tidak makruh.

    MAKA KETIGA-TIGA WAKTU YANG DITEGAH MENGERJAKAN SEMBAHYANG SEBAGAIMANA YANG DISEBUTKAN DALAM HADITS DI ATAS ADALAH SEPERTI BERIKUT:

    Waktu matahari mula terbit sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak.

    Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyamai dengan lapan belas inci.

    Waktu istiwa’ iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga tergelincir matahari.

    Waktu matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari di ufuk.

    Oleh itu, harus mengebumikan mayat pada waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang melainkan jika disenghajakan memilih atau mencari-cari waktu tersebut untuk mengebumikan mayat, maka hukumnya adalah makruh.

    WAKTU YANG AFDHAL MENGEBUMIKAN MAYAT

    Afdhal dan sunat mengebumikan mayat pada waktu siang iaitu selain waktu malam dan waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang.

    Ini kerana mengebumikan mayat pada waktu siang itu mudah orang berkumpul dan melakukan kerja pengebumian.

    Adapun jika ditakuti mayat itu akan berubah disebabkan mengakhirkan pengebumiannya ke waktu yang disunatkan maka haram hukumnya diakhirkan pengebumiannya itu bahkan wajib ia disegerakan walaupun bukan pada waktu yang afdhal.

    Sebagai contoh, mayat yang hilang ditemui di waktu malam jika ia dikebumikan pada waktu siang nescaya mayat itu akan berubah, maka wajib ia disempurnakan pada malam itu juga dan haram diakhirkan pengebumiannya ke waktu siang.

    Dari penjelasan di atas dapat difahami bahawa mengebumikan mayat itu adalah harus dilakukan pada bila-bila masa. Namun waktu yang dituntut dan afdhal ialah pada waktu siang.

    Sekalipun demikian, mengebumikan mayat pada waktu malam atau waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang juga adalah diharuskan tetapi jika senghaja untuk memilih waktu-waktu yang ditegah mengerjakan sembahyang maka hukumnya menjadi makruh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda