SANDAKAN – Kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja.
Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan.
Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan dan keagamaan. Hasil pengeluaran besar-besaran atau hasil kejenteraan bukan bersifat kraftangan.
Masyarakat Sabah kaya dengan seni ukir dan kraftangan. Kebanyakan seni ukir ini bermotifkan alam semula jadi, di mana kita dapat melihat pelbagai kraf tangan buatan tangan digunakan di rumah masyarakat Melayu di sini.
Antara hasil kraftangan tersebut termasuklah tenunan, anyaman, barangan seramik dan lukisan batik. Anyaman biasanya dibuat daripada rotan, buluh, daun mengkuang dan daun nipah.

Antara hasil anyaman termasuklah bakul, tikar, tudung saji dan sebagainya. Barang-barang seramik pula dibuat daripada tanah liat. Tanah liat ini akan dijadikan patung, pasu bunga atau tempayan.
Penduduk Sabah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Lun Bawang/Lun Dayeh, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Suluk dan lain-lain.
Kraftangan di kalangan masyarakat asli Sabah bermula dalam usaha mereka untuk berteduh, menutup tubuh dan mencari makanan dengan cara yang terbaik sekali.
Mereka menghasilkan berbagai-bagai barang yang banyak dengan menumpukan kepada fungsi bahan yang dihasilkan dan kurang perhatian pada hiasan.
Benda-benda yang dihasilkan meliputi kelengkapan rumah, pertanian dan pemburuan di samping benda untuk kegunaan ritual dan upacara keagamaan. Penghasilan kraftangan mereka bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.
Kaum lelaki dan wanita secara tradisi membuat berbagai-bagai jenis kraftangan. Di pedalaman Sabah, sebilangan besar kaum wanita membuat terendak, anyaman tikar, tenunan kain, sulaman, bakul-bakul kecil, nyiru dan benda-benda kecil untuk kegunaan seharian. Kaum lelaki pula membuat bakul yang lebih besar, parang, alat-alat membajak dan memburu, jala dan alat menangkap ikan yang lain dan senjata. Di kalangan masyarakat nelayan tepi pantai, kaum lelaki membuat perahu, ukiran kayu, alat penangkap ikan dan wanitanya menenun dan menyulam kain, mengayam tikar dan lain-lain. – Agensi