Oleh Ampuan Irma Susanti
TEMBURONG, 2 OGOS – Lima orang peserta Program Pertukaran Pegawai Penerangan ke-4 dari Singapura telah membuat kunjungan ke Daerah Temburong sebagai sebahagian daripada rangka lawatan mereka ke Brunei, baru-baru ini.
Ketibaan delegasi yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Kementerian Perhubungan dan Penerangan (Community Outreach) Republik Singapura, Nazrana Zainuddin telah dialu-alukan oleh Ketua Cawangan Penerangan Temburong, Pengiran Arsul bin Pengiran Haji Abdul Momin.
Turut menyertai lawatan ialah Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan. Semasa berada di daerah ini, delegasi turut menyertai Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong di mana mereka berpeluang menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Selain itu, delegasi juga di bawah menyaksikan suasana gerai perayaan dan persembahan pentas yang diadakan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73.
Nazrana Zainuddin ketika ditemu bual menyatakan, kunjungan selama empat hari ke negara ini bertujuan untuk mempelajari cara-cara pihak Brunei membuat outreach komuniti di samping melihat lebih dekat cara mereka berhubung bersama penduduk luar bandar.
Tambahnya, selama berada di sini, mereka mendapat satu pengalaman yang sangat menarik dan membuka mata kerana terdapat banyak perbezaan antara dua buah negara. Selain itu, mereka juga berpeluang menyaksikan kegiatan kebudayaan di Rumah Panjang Kampung Sibut serta menghadiri beberapa projek Jabatan Penerangan Temburong termasuk Program Sua Muka Jabatan Penerangan bersama Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Puni. Delegasi berkenaan telah berpeluang menyaksikan pemprosesan produk Satu Kampung Satu Kampung MPK Rataie iaitu makanan kering dan biskut. Kemudian mereka dibawa ke Pondok Riadah Memancing Kampung Belais dan Buda-buda bagi mengakhiri lawatan.
