Melakukan aktiviti memancing boleh saja dilakukan di mana-mana kawasan perairan seperti sungai, laut, pantai ataupun di kolam pancing. Namun untuk mengasah teknik memancing, sesetengah kaki pancing mengatakan kawasan air masin atau laut merupakan tempat yang sesuai kerana jenis ikan lebih banyak berbanding tempat lain.
Walau bagaimanapun sebagai kawasan alternatif bagi kawasan laut adalah pantai bagi pemancing yang gering untuk turun ke laut menaiki perahu. Waktu air pasang adalah masa terbaik memancing kerana ketika ini banyak ikan pemangsa rapat ke pantai mencari makanan. Ikan semakin menjauh dari pantai apabila air bergerak surut. Namun sudah menjadi kelaziman pemancing pantai menggunakan joran panjang dan membuat lontaran pada jarak biasa tanpa mengira sama ada air pasang mahupun surut.
Teknik terbaik ialah membuat lontaran sejauh mungkin dan tunggu umpan diganggu oleh ikan. Jika tiada sebarang gangguan, kencangkan sedikit tali pancing sehingga umpan pancing berada hampir dengan pantai. Jika berlaku gangguan, anda perlu menghentikan menarik tali pancing anda.
Teknik ini ialah untuk mengesan lokasi ikan bermain ketika air pasang kerana keluasan laut menyukarkan kita untuk mengetahui lokasi ikan. Kalau boleh buat penandaan jarak yang berpotensi untuk mengetahui kawasan yang menerima gangguan. Sesetengah kawasan pula ombak akan menolak umpan ke pantai ketika air pasang. Jika ini berlaku, kita perlu memastikan tali sentiasa dalam keadaan tegang.
Jika kadar tolakan ombak dan arus kuat, gunakan batu ladung yang sesuai bagi mengelakkan perkara ini terjadi. Lontarkan umpan sejauh mungkin hingga ke tengah sambil menunggu sentapan berlaku.
Ikan yang besar amat jarang bergerak terlalu rapat ke pantai kecuali di kawasan air dalam.
Jika anda mengetahui struktur persisiran benteng dan dasar di pantai itu, mungkin ini satu bonus kerana dapat mengetahui lubuk ikan. Cara mengetahui kawasan dalam di pantai mudah dikenal pasti melalui perbezaan warna air. Jika terang memutih menandakan ia cetek, hijau dan biru gelap menandakan ia dalam manakala jika gelap kehitaman mungkin ada struktur karang di dasarnya. – Agensi
