Sunday, January 29, 2023
23 C
Brunei

-

Mengenali habitat ikan emas

Oleh Raz AS

Black Moor, Bubble Eye, Comet, Fantail, Lion Head, Oranda, Ryukin, Shubunkin dan Vieltail adalah antara yang paling po- pular daripada ratusan variasi ikan emas di seluruh dunia.

Selain mempunyai warna-warna yang menarik, ikan emas boleh didapati dalam pelbagai bentuk, saiz dan jenis sirip.

Dipercayai berasal dari China semasa dinasti Tang, ikan emas asalnya merupakan ikan kap perak yang telah menjalani mutasi warna menjadi keemasan, ia kemudiannya melalui proses pembiakan selektif selama beberapa generasi sehinggalah semasa dinasti Song barulah warna-warna lain timbul.

Ikan emas mula diperkenalkan ke benua Eropah pada kurun ke-17 dan dibawa ke Amerika Utara pada kurun ke-19.

Ternyata ikan emas yang sangat biasa kita lihat terjual di kedai-kedai ikan hiasan dan menghiasi banyak akuarium di mana-mana ini sangat kaya dengan sejarahnya.

Ikan emas jenis Ryukin boleh membesar sehingga 8 hingga 10 inci panjang. – Agensi

Pada masa kini terdapat lebih daripada 200 jenis ikan emas yang secara amnya dibahagikan kepada dua kategori, ikan emas jenis biasa atau common dan ikan emas jenis mewah atau fancy, yang boleh diperoleh dalam pelbagai julat harga.

Apabila dijaga dengan baik, ikan emas boleh hidup sehingga 10 hingga 15 tahun lamanya, kadang-kadang boleh juga mencecah sehingga 20 tahun. Oleh itu seseorang yang ingin memelihara ikan emas perlu menyedari bahawa ia merupakan komitmen yang berpanjangan.

Namun sayangnya perkara sebaliknya sering berlaku, ramai yang mendapatkan ikan emas sebagai ‘ikan permulaan’ akhirnya berasa jemu atau tidak ‘tekabir’ sehingga ia tidak mencecah usia maksimum disebabkan kurangnya penjagaan.

Meskipun dianggap sebagai spesies ikan air tawar dari kawasan bersuhu dingin tetapi ia juga boleh dipelihara di kawasan yang mempunyai iklim panas.

Selalunya ikan emas dipelihara di dalam air yang menyamai suhu bilik tanpa sebarang alat pemanas atau penyejuk. Yang penting suhu air tidak berubah-ubah dengan mendadak dalam masa yang singkat.

Demi kesihatan ikan emas, air yang mempunyai kualiti baik sangat penting. Akuarium perlulah menjalani proses ‘kitaran’ sepenuhnya untuk mencambah bakteria berfaedah yang akan menukar amonia kepada nitrit kemudian kepada nitrat, sebelum ikan emas dimasukkan ke dalam akuarium tersebut.

Selain menggunakan sistem penapisan, pengudaraan air juga perlu untuk memastikan tahap oksigen tidak berubah-ubah. Pengudaraan ini boleh dilakukan dengan menggunakan pam udara dan batu udara.

Antara kesalahan yang biasa dibuat oleh pemelihara ikan emas yang kurang pengalaman adalah mereka menempatkan terlalu banyak ikan emas dalam sebuah akuarium. Ikan emas sebenarnya memerlukan saiz akuarium yang besar untuk habitatnya.

Seekor ikan emas perlu mempunyai sekurang-kurangnya 38 hingga 76 liter air bagi setiap seekor, varieti ikan emas yang lebih besar pula memerlukan kawasan yang lebih besar. Contohnya jenis Ryukin boleh membesar sehingga 8 hingga 10 inci, ini bermakna akuarium 200 liter hanya boleh menempatkan maksimum dua ekor sahaja tanpa diisikan dengan apa-apa perhiasan. Lebih baik lagi jika ia dipelihara di dalam kolam berbanding di dalam akuarium.

Sebagai ikan yang bersifat omnivor, ikan emas boleh diberi makan dengan brine shrimp, krill, cacing dan sayur seperti romain lettuce, manakala makanan palet daripada jenis yang tenggelam adalah lebih sesuai digunakan. Ikan emas yang terlalu kerap makan di permukaan boleh menghidap risiko isu-isu daya apungannya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -