Oleh Raz AS
Ikan kaloi atau juga dikenali sebagai giant gourami (Osphronemus goramy) dalam Bahasa Inggeris adalah merupakan spesies ikan gourami besar yang berasal dari Asia Tenggara.
Ikan ini selain dibiakkan untuk dikomersialkan sebagai sumber makanan, ia juga diperdagangkan sebagai ikan perhiasan atau ikan peliharaan.
Kerana sifatnya yang lebih kepada diet herbivor, ikan kaloi telah digunakan untuk mengawal tumbuhan invasif di dalam kolam dan tasik.
Meskipun begitu ikan ini juga kadang-kadang akan memakan makanan berasaskan daging seperti cacing dan lain-lain.
Ikan kaloi mempunyai daya tahan yang kuat dan mampu hidup di kawasan yang mempunyai kualiti air rendah serta tahan di luar air untuk jangka masa yang sedikit lama kerana kebolehannya menghirup udara.
Dikenali sebagai spesies terbesar dalam keluarga gourami, ikan kaloi boleh membesar sehingga 70sm panjang iaitu kira-kira 28 inci, meskipun kebanyakannya hanya mencecah sehingga 45sm panjang atau 18 inci.
Badannya berwarna pucat daripada warna kuning keemasan, keperakan dan kebiruan. Ikan kaloi betina boleh dikenal pasti dengan bibirnya yang lebih tebal berbanding ikan kaloi jantan. Selain itu ia juga boleh dibezakan berdasarkan warna badan dan sirip dorsalnya dengan kaloi jantan mempunyai sirip dorsal yang lebih menajam dan warna badan yang lebih gelap terutama setelah mengawan.
Ikan ini juga membina sarangnya daripada rumput-rampai dan ranting-ranting.
Apabila kaloi betina mengeluarkan telurnya, ikan kaloi jantan akan mengeluarkan buih-buih kecil pada sarangnya sebelum telur tersebut disenyawakan.
Ikan kaloi biasanya didapati di sungai-sungai, jeram, tasik dan paya. Walau bagaimanapun sukar untuk dipastikan habitat asalnya kerana ikan ini telah banyak dilepaskan ke kawasan perairan bukan natifnya.
Selain di Asia Tenggara dan Asia secara amnya, ikan ini juga boleh ditemui di benua-benua lain kerana diperkenalkan ke sana satu ketika dahulu sama ada sebagai ikan makanan atau peliharaan.
Malahan di sesetengah negara barat ia dianggap sebagai spesies invasif, namun begitu mengikut kajian yang dijalankan oleh US Fish & Wildlife Service di Amerika Syarikat pada 2011 dan 2019, data yang diperolehi masih belum mencukupi untuk menentukan sama ada spesies ini memberi impak negatif kepada ekosistem di sana.