Oleh Raz AS
Ketam Suri atau nama saintifiknya portunus pelagicus, juga dikenali di negara jiran sebagai ketam bunga, ketam laut atau rajungan.
Manakala dalam Bahasa Inggeris pula, ia lebih dikenali sebagai flower crab, blue crab, blue swimmer crab atau sand crab.
Ketam suri jantan mempunyai warna badan biru terang dengan tompok-tompok putih dan sepit yang panjang. Manakala ketam suri betina pula badannya berwarna kehijauan atau kecoklatan de-ngan bentuk cengkerang yang sedikit membulat berbanding ketam jantan serta sepit yang pendek.
Ketam suri jantan adalah bersifat territorial terutamanya di kawasan perairan yang sejuk.
Oleh itu selalunya ia jarang ditangkap berhampiran sesama sendiri.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/11/PAGE-21-2_28112020.jpg)
Berbeza dengan ketam kalok atau ketam nipah yang biasa didapati di kawasan paya bakau dan air bahal, ketam suri hanya menghuni kawasan laut dan masuk ke kawasan muara sungai apabila tahap kemasinannya tinggi.
Oleh itu apabila pada musim hujan atau tengkujuh ketam ini selalunya akan bermigrasi keluar dari kawasan muara ke laut.
Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa ketam suri juvenil tidak akan dapat bertahan lama sekiranya berada di kawasan perairan yang mempunyai tahap kemasinan rendah.
Bukan itu saja ketam suri, tidak kira usia, tidak dapat hidup lama di luar air seperti ketam kalok.
Pada waktu siang hari, ketam suri akan menghabiskan masanya berkubur di bawah pasir atau lumpur di dasar laut. Ia akan keluar mencari makan ketika air pasang besar untuk mencari makanannya yang terdiri daripada kerang-kerangan, ikan, algae dan lain-lain.
Ketam suri merupakan spesies ketam yang menjadi pasaran penting di Indo-Pasifik. Ia juga mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kerana rasa dagingnya yang sedap dan manis. Di teluk Arab ketam ini ditangkap secara besar-besaran untuk dikomersialkan dengan nilai ketam betina lebih tinggi berbanding ketam jantan.
Kerana sifatnya yang cepat membesar, senang dibiak dan mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap nitrat dan amonia menjadikan ia spesies ketam yang ideal bagi akuakultur.