Oleh Raz AS
Ikatan Improved Clinch Knot adalah teknik ikatan yang sangat popular di kalangan pemancing untuk menghubungkan tali pancing jenis monofilament dengan kili-kili atau mata kail. Teknik ikatan ini merupakan versi yang telah dinaiktarafkan daripada ikatan Clinch biasa.
Improved Clinch Knot sangat mudah dan cepat untuk dibuat, namun ia sedikit sukar jika anda menggunakan tali monofilament yang sangat tebal dan karau. Ikatan ini juga tidak sesuai digunakan untuk tali braided atau tali sulam yang mana ia mudah terlucut akibat permukaannya yang licin.
Cara-cara mengikat Improved Clinch Knot adalah pertama sekali masukkan hujung tali ke dalam lubang mata kail atau kili-kili, kemudian lilitkan ke pangkal tali sekurang-kurangnya sebanyak lima kali lilitan, mengikut ketebalan tali yang digunakan. Lebih tebal tali yang digunakan maka lebih kurang jumlah lilitan yang dibuat.
Setelah itu masukkan hujung tali ke dalam lingkaran pertama terhasil melalui lilitan tersebut di belakang bulatan lubang mata kail atau kili-kili. Langkah seterusnya adalah memasukkan hujung tali ke dalam bulatan besar yang terhasil (rujuk gambar).
Akhir sekali, basahkan tali dan tarik untuk mengen-cangkan ikatan dan potong lebihan hujung tali untuk mengemaskannya.
Ikatan ini pada pendapat penulis adalah sangat sesuai digunakan untuk set pancingan ringan di mana matakail dan kili-kili yang digunakan adalah bersaiz kecil. Meskipun boleh digunakan untuk set pancingan yang lebih berat namun banyak lagi teknik ikatan lain yang lebih sesuai dan lebih kuat untuk digunakan bagi tujuan tersebut, selamat mencuba.