Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengenali jenis-jenis mata kail

    Oleh Raz AS

    Memilih mata kail yang sesuai boleh menjadi satu hal yang memeningkan kepala dengan kehadiran pelbagai jenis lure dan teknik memancing yang ada pada masa kini. Satu ketika dahulu kebanyakan pemancing hanya perlu mengikat mata kail yang pertama mereka temui dalam kotak pancing mereka.

    Kini, hampir setiap kaedah pancingan dan setiap jenis lure dikatakan memerlukan penggunaan mata kail yang berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu tidak hairanlah kedai-kedai pancing dipenuhi, bukan sahaja puluhan malah ratusan, pelbagai jenis mata kail dalam bentuk dan saiz yang berbeza.

    Tidak kiralah apa pun jenis mata kail anda ingin beli, perkara utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat pembelian adalah ketajaman mata kail dan kebolehan mata kail tersebut mengekalkan ketajamannya.

    Salah satu cara untuk mengetahui sama ada sesu-atu mata kail itu cukup tajam atau tidak adalah dengan cara meletakkan bahagian hujung tajam mata kail itu di atas kuku. Setelah itu mata kail tersebut diseretkan, jika ia tidak meninggalkan bekas atau kesan pada kuku bermakna mata kail itu tidak cukup tajam, manakala jika mata kail itu melekat pada kuku ini bermakna mata kail tersebut berada dalam kondisi yang sangat tajam.

    Ketajaman sesuatu mata kail itu boleh bergantung dengan jenis hujung tajamnya (hook point). Sesetengah mata kail mempunyai hujung tajam yang melebar atau lebih dikenali sebagai cutting point. Manakala sesetengah lagi lebih menirus atau lebih dikenali sebagai spade-shaped point. Setiap satu daripadanya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

    Kini, hampir setiap kaedah pancingan dan setiap jenis lure dikatakan memerlukan penggunaan mata kail yang berbeza antara satu dengan yang lain. – Agensi
    Mata kail cutting point mempunyai hujung tajam yang lebih lebar, bertujuan untuk memastikan mata kail lebih mudah tertancap pada bahagian keras dalam mulut ikan. – Agensi

    Bagi hujung mata kail yang melebar atau jenis cutting point, ia adalah untuk memastikan mata kail itu mudah tertancap pada bahagian keras mulut ikan untuk solid hook set. Namun mata kail jenis ini juga berpotensi menghasilkan lubang tusukan yang besar dan mengakibatkan mata kail lebih mudah melucut keluar daripada bahagian tusukan itu semasa ikan mengoncang kuat badannya untuk melepaskan diri.

    Manakala jenis spade-shaped point pula menghasilkan lubang tusukan yang lebih kecil dan lebih sukar terlucut berbanding dengan mata kail yang mempunyai cutting point.

    Antara perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah ketebalan batang mata kail itu. Bagi kebanyakan situasi pancingan, mata kail yang mempunyai ketebalan batang yang standard atau nipis sudah cukup memadai. Jika anda memerlukan kekuatan lebih untuk memburu spesies ikan besar atau kuat dan ditakuti mata kail patah atau lurus, mata kail yang mempunyai batang tebal bolehlah digunakan.

    Mata kail berbatang nipis sangat sesuai untuk digunakan bersama tali nipis, dan hook set yang dilakukan juga tidak perlu kuat kerana ia lebih mudah menembusi mulut ikan berbanding mata kail berbatang tebal.

    Setelah itu, pemancing perlu mempertimbangkan mengenai saiz mata kail yang akan digunakan. Nombor saiz mata kail selalunya tercetak pada kotak mata kail seperti 3, 2, 1, 1/0, 2/0, 3/0 dan sebagainya.

    Selalunya semakin besar nombornya bermakna semakin kecil mata kail tersebut, contohnya saiz 3 adalah lebih kecil berbanding saiz 2 dan 1. Manakala untuk saiz yang lebih besar daripada saiz 1 pula sebaliknya. Iaitu saiz 3/0 lebih besar daripada 2/0 dan 2/0 lebih besar daripada 1/0. Meskipun begitu, saiz ukuran mata kail tidak semuanya sama. Sesetengah jenama mata kail mempunyai ukuran yang sedikit lebih besar atau kecil berbanding jenama-jenama lainnya yang memaparkan nombor yang sama. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya mata kail saiz 1 yang ada pada kotak pancing anda tidak sama ukurannya dengan mata kail saiz 1 daripada jenama lain yang baru anda beli.

    Perlu juga diingat, apa yang menentukan saiz sesuatu mata kail itu adalah hook gap atau ukuran jarak antara hujung tajam mata kail dengan batangnya. Tidak termasuk kepanjangan batangnya (shank). Semakin luas hook gap mata kail itu selalunya semakin dalam tembusan mata kail ke dalam mulut ikan dan lebih sukar untuk terlucut. Berbalik kepada kepanjangan batang mata kail. Sesetengah mata kail mempunyai batang yang panjang dan ada pula yang pendek.

    Mata kail berbatang panjang boleh mengelakkan tali terputus apabila spesies bergigi tajam menyambar pancing. Jika kawasan tempat anda memancing itu dikenali dengan kehadiran spesies bergigi tajam penggunaan batang panjang adalah lebih sesuai digunakan sekiranya tidak menggunakan perambut dawai.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda