Oleh Raz AS
Kaedah pancingan ultralight atau juga dikenali sebagai UL sebenarnya sudah lama hadir di arena dunia pancing. Namun begitu, masih ramai yang kurang tahu atau keliru dengan setup peralatan yang sesuai digunakan untuk kaedah UL ini.
Ini sebenarnya adalah disebabkan oleh perbezaan pendapat di kalangan pemancing di seluruh dunia terhadap apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kaedah UL itu.
Sebelum kita menyentuh lebih mendalam lagi tentang kaedah UL ini, ada baiknya untuk kita sama-sama mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kaedah UL dan apakah yang menyebabkan terdapatnya perbezaan tafsiran terhadap kaedah pancingan ini.
Seperti mana namanya Ultralight atau ultraringan dalam Bahasa Melayunya memberi gambaran kepada kita bahawa kaedah pancingan ini membawa maksud kepada penggunaan peralatan pancing seperti tali, joran, reel, bahkan juga lure yang ringan atau kecil. Ringan dan kecil di sini boleh dikatakan membawa makna yang sama, ringan bukan bermaksud ringan dari segi berat peralatan yang digunakan.
Apa yang menyebabkan terdapatnya perbezaan pendapat terhadap peralatan apakah yang dimaksudkan sebagai UL itu adalah disebabkan makna namanya itu sendiri. UL merupakan kata sifat atau kata adjektif yang mana pengertiannya adalah subjektif.


Ini bermaksud apa yang ringan atau kecil bagi sesetengah pemancing yang memburu sesuatu spesies ikan itu tidak semestinya ringan atau kecil bagi pemancing lain yang memburu spesies berlainan. Sebagai contoh peralatan biasa untuk memancing ikan air tawar seperti bass dianggap sebagai peralatan yang sangat ringan sekiranya digunakan untuk memancing spesies ikan air masin yang jauh lebih besar.
Namun begitu di kebanyakan tempat secara amnya kaedah UL lebih dikenali berdasarkan penggunaan peralatannya seperti joran yang mempunyai rating UL. Jika begitu bagaimana pula dengan kekuatan talinya?
Adakah anda sudah boleh dikatakan menggunakan kaedah UL dengan menggunakan joran rating UL sahaja, sedangkan kekuatan tali tidak diambil kira? Contohnya memancing ikan seberat kira-kira 1-2kg sedangkan tali yang digunakan berkekuatan 8lb iaitu bersamaan dengan 3.6kg, yakni kekuatannya sudah jauh melebihi berat ikan itu.
Ataupun anda menggunakan joran rating medium tapi menggunakan tali berkekuatan 4lb (1.8kg) untuk menumpaskan ikan berat 3kg. Adakah ia juga boleh dianggap sebagai kaedah UL? Persoalan ini jika ingin dibincangkan secara mendalam memang boleh mengelirukan dan memeningkan kepala.
Tidak hairanlah timbul pelbagai pendapat yang berbeza mengenainya. Oleh itu menurut pemahaman universal kaedah UL itu adalah apabila kita menangkap ikan yang lebih besar berbanding kekuatan setup pancing yang digunakan.
Sebenarnya tidak kisahlah apa pun tafsiran seseorang itu terhadap kaedah pancingan UL, dalam hal ini tiada yang salah dan yang betul kerana ia bergantung pada seseorang itu berdasarkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing.
Itulah merupakan sedikit pengenalan dan perbincangan mengenai perbezaan pendapat terhadap kaedah UL untuk kita sama-sama membuka minda, kini tiba masanya pula untuk bercakap mengenai peralatan-peralatannya pula. Di sini penulis akan menyentuh mengenai setup peralatan UL yang dikenali secara am.
Joran rating UL yang banyak kita jumpa di pasaran dipercayai mula-mula dicipta dan diterajui penggunaannya oleh pemancing-pemancing di Jepun. Joran ini mempunyai batang yang sangat lembut dan halus, selalunya berkepanjangan 4 hingga 5 setengah kaki panjang dan mempunyai rating kekuatan 1-6lb. Berat maksimum lure yang digunakan untuknya pula adalah kira-kira 7gram kebawah.
Melihat daripada spesifikasi joran ini, dapatlah kita ketahui bahawa kekuatan tali yang perlu kita gandingkan bagi kaedah UL ini juga adalah berkekuatan 6lb ke bawah. Tali terbaik untuk digunakan adalah daripada jenis braided kerana ia lebih halus berbanding tali-tali lain dan lebih sensitif mengesan getuan.
Daripada saiz jorannya pula, gandingan reel yang sesuai adalah saiz 500-1000, dan sesetengah jenama reel mempunyai bentuk yang lebih kecil bagi saiz yang sama daripada jenama lain, dalam hal ini kadang-kadang anda bolehlah memadankannya dengan saiz yang lebih besar daripada jenama tersebut contohnya saiz 2000 atau 2500.
Namun begitu ia bergantung pada pemancing itu sendiri, kelebihan menggunakan saiz 500 adalah beratnya yang ringan dan tidak mudah penat untuk melakukan banyak lontaran, namun terpaksa mengorbankan sedikit kejauhan lontaran. Manakala saiz 1000 pula lebih besar dan sedikit berat, namun lontaran lebih jauh dan isi tali lebih banyak untuk digunakan semasa pertarungan.
Jadi persoalannya di sini, setup ringan-ringan ikannya juga kecil-kecil? Tidak semestinya. Kadang-kadang ikan besar juga akan memakan lure kecil. Dan jika ingin memancing ikan besar kenapa guna UL? Ia adalah untuk kepuasan. Menggunakan kaedah UL memberikan cabaran yang lebih hebat berbanding menggunakan peralatan yang biasa anda gunakan sebelum ini, jika ikan kerapu berat 1kg sebelum ini tidak memberi tentangan kepada anda cabarannya akan berlipat ganda.