Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengenali languran sirip biru

    Oleh Raz AS

    Languran sirip biru, Belokok sirip biru (Malaysia), Kwee sirip biru (Indonesia) atau lebih dikenali secara universal sebagai bluefin trevally, nama saintifiknya caranx melampygus, merupakan salah satu spesies ikan marin yang tergolong dalam keluarga carangidae.

    Ia adalah keluarga yang sama bagi spesies-spesies jack atau spesies languran lainnya seperti ikan bemasa, kalakitok, bebatik termasuklah pahat-pahat kuning dan lain-lain yang seumpamanya.

    Taburan languran sirip biru adalah di kawasan tropika dan subtropika Lautan India dan Pasifik, dari Timur Afrika ke Amerika Tengah di barat, dan dari Jepun di timur hinggalah ke Australia di selatan.

    Ikan ini boleh membesar sehingga lebih 1 meter panjang dan mencecah hingga lebih 40 kilogram berat, namun saiz kebiasaan yang ditemui adalah di bawah panjang 80sm.

    Ikan languran sirip biru mudah untuk dikenali kerana warna biru terang pada siripnya, kepala yang lebih munjung dan tompok-tompok hitam dan biru pada bahagian badannya. Walau bagaimanapun bagi yang bersaiz juvenil tidak mempunyai warna-warna terang tersebut dan perlu dikenal pasti melalui ciri-ciri anatominya seperti pada bahagian sirip atas dan sisik keras berdekatan ekornya.

    Ikan languran sirip biru mudah untuk dikenali kerana warna biru terang pada siripnya, kepala yang lebih munjung dan tompok-tompok hitam dan biru pada bahagian badannya.

    Ikan ini menjadikan kawasan-kawasan dalam dan luar pantai sebagai habitatnya seperti di kawasan teluk, lagun dan kawasan berbatu karang. Sementara yang bersaiz juvenil lebih menyukai untuk tinggal di kawasan perairan cetek dan terlindung, bahkan kadang-kadang boleh ditemui sehingga ke kawasan muara.

    Sebagai ikan pemangsa yang kuat, diet utama ikan ini adalah terdiri daripada ikan, moluska dan krustasea. Bagi yang bersaiz juvenil ia lebih suka memakan krustasea namun beralih kepada diet yang lebih berasaskan ikan setelah meningkat dewasa.

    Taktik berburu ikan languran sirip biru adalah dengan serangan agresif di kawasan pertengahan air, serangan hendap di sebalik batu-batu karang dan termasuk menghendap saki-baki makanan yang tertinggal oleh pemangsa-pemangsa yang lebih besar.

    Ikan ini merupakan spesies penting untuk komersial serta merupakan sasaran utama kepada pemancing-pemancing rekreasi dan dianggap sebagai salah satu gamefish terhebat di kawasan Indo-Pasifik meskipun kepopularannya dibayangi oleh sepupunya yang jauh lebih besar dan kuat iaitu ikan bemasa atau giant trevally.

    Renangan languran sirip biru yang bertenaga dan tidak mudah mengalah memberikan kepuasan dan tentangan yang hebat kepada pemancing yang menggunakan peralatan set pancing ringan.

    Ia boleh dipikat menggunakan umpan semula jadi seperti ikan dan sotong hidup, atau menggunakan umpan tiruan seperti popper, plug, spoon, jig, soft plastic dan fly.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda