Oleh Raz AS
Ikan kitang atau juga dikenali sebagai spotted scat dalam Bahasa Inggeris, nama saintifiknya scatophagus argus, merupakan spesies ikan daripada keluarga scatophagidae, yang boleh ditemui di kawasan muara dan sungai, terutama di kawasan yang mempunyai hutan bakau.
Taburan ikan ini boleh ditemui di perairan tropika dan beberapa kawasan yang beriklim panas di wilayah Indo-Pasifik, dari Kuwait ke Fiji, Jepun hinggalah ke Selatan Australia.
Ikan kitang mempunyai bentuk badan seakan-akan segi empat, leper dan mampat, berwarna kehijauan, coklat atau keperakan hinggalah warna keemasan dengan kedua-dua sisi badannya mempunyai corak tompok-tompok gelap kehitaman. Sementara yang bersaiz juvenil pula mempunyai warna badan yang lebih gelap.
Ikan yang boleh membesar sehingga kira-kira 30sm panjang, dengan saiz kebiasaannya sebesar saiz tapak tangan, ini boleh hidup di perairan masin dan tawar, dengan anak-anak ikan kitang selalunya hidup di kawasan perairan tawar, dan kemudian berpindah ke kawasan perairan masin setelah meningkat dewasa.
Ikan kitang boleh ditemui di kawasan perairan cetek di kedalaman sehingga 13 kaki (4 meter), selalunya di kawasan-kawasan seperti berhampiran hutan bakau, pelabuhan, jeti dan struktur terapung, di mana diet utamanya yang terdiri daripada tumbuhan seperti algae, plankton, larva serangga, cacing dan juga krustasea senang ditemui.

Selain itu, ikan kitang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia sekiranya tidak dikendalikan dengan cermat.
Sirip dorsal dan pelviknya yang keras dan tajam boleh mengakibatkan kecederaan jika tercucuk, manakala bisanya pula boleh mengakibatkan rasa sakit yang kuat dan pening-pening.
Meskipun ikan ini tidak ditangkap secara komersial namun ikan kitang tetap diburu oleh penggemar-penggemarnya sama ada dengan menggunakan pukat, rambat atau pancing.
Selain dijadikan ikan hidangan di atas meja makan, ikan ini juga diperdagangkan di kalangan penggemar ikan hiasan dan akuarium.
Melayan ikan kitang menggunakan set pancing ringan atau ultralight sangat menyeronokkan dan mengasyikkan kerana renangan dan semangat juangnya yang tidak mudah mengalah boleh memberikan kepuasan kepada para pemancing.