Oleh Ak Zaki Kasharan
PERGI ke dua kota suci Mekah dan Madinah merupakan dambaan serta impian bagi semua umat Islam di seluruh dunia. Bagi yang sudah pernah ke dua kota suci tersebut pasti terasa rindu dan ingin kembali menjejakkan kaki ke sana buat kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya tanpa berasa jemu.
Meskipun kos untuk pergi ke sana bukanlah suatu yang boleh dikatakan murah, namun bagi mereka yang berpendapatan sederhana, mereka masih sedaya upaya untuk menjejakkan kaki mereka ke sana. Tidak kurang juga bagi mereka yang berpendapatan lebih atau mempunyai kewangan, terkadang ada daripada mereka ini yang belum berpeluang untuk berkunjung ke sana.
Pergi ke kota suci Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji atau umrah adalah tidak sama seperti kita bercuti atau berlayar ke negara asing lainnya kerana ia saling berhubung-kait dengan ibadah. Ia bukanlah suatu perkara yang dipandang remeh atau enteng dan juga bukanlah suatu perkara yang susah untuk dijadikan alasan kita tidak pergi ke sana.
Apabila saja tiba musim cuti persekolahan sudah semestinya ramai umat Islam bukan sahaja di negara ini malah dari seluruh pelusuk dunia akan berpusu-pusu dan mengambil kesempatan tersebut untuk membawa bersama kaum keluarga, anak-anak dan ibu bapa mereka bersama bagi mengerjakan ibadat umrah di Mekah dan menziarahi makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi di Madinah.
Fadilat mengerjakan amal ibadah di sana
Banyak kelebihan yang diperolehi bagi mereka yang mengerjakan ibadah di tanah suci Mekah dan Madinah, yang mana tidak dapat dirasakan oleh mereka yang belum lagi berkesempatan untuk pergi ke sana.


Apabila berada di sana, tumpuan mestilah kepada memperbanyakkan amal ibadah terutamanya solat berjemaah lima waktu di Masjidil Haram, melakukan umrah, tawaf sunat dan sebagainya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:
“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat yang lain melainkan Masjidilharam. Dan solat di Masjidilharam lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)
Ganjaran seperti ini tidak akan diperolehi di mana-mana tempat pun di dunia ini. Maka tidak hairanlah tiada satu saat pun dari kedua-dua tempat ini, sama ada di Masjidil Haram mahupun Masjid Nabawi itu sunyi tanpa adanya orang, yang mana tidak henti-henti menerima kunjungan untuk mengerjakan ibadah masing-masing.
Setiap umat Islam yang berkunjung ke sana tidak sama sekali melepaskan peluang merebut ‘bonus’ ganjaran untuk mengerjakan solat di Masjidil Haram mahupun Masjid Nabawi.
Jemaah haji ataupun umrah juga sungguh bertuah apabila berpeluang untuk menikmati air zamzam yang mana airnya adalah antara yang paling berkat dan bersih di muka bumi ini. Selain itu air zamzam juga mengandungi pelbagai kelebihan di mana apabila seseorang itu meminumnya dengan niat, Insya-Allah segala yang diniatkan akan dikabulkan.